AIR MATA SEMALAM
oleh: suteraungu
BAB 11
Dosa Yang Terkubur
Songsang melintang haluan hembusan angin kota sudah tidak dirasakan lagi oleh Salihah. Kini kedinginan sepoi-sepoi bahasa angin kampung yang permai dan indah mula meresap ke tubuh Salihah. Sejuk dan dingin angin malam yang bertaup bersama sang embun membuatkan ianya menyerap menyusuk masuk hingga ke tulang sumsum. Kalau di kota, dia didinginkan dengan penghawa dingin. Di kampung, dia tidak perlukan itu lagi. Sudah cukup kesejukam malam mencengkam ke setiap sudut tubuhnya, mencecah ke ubun-ubun, lebih dingin dari penghawa dingin. Meringkok Salihah dikatil usangnya tidur lena hingga jejak ke siang. Kalau tidak dikejutkan oleh ibunya, mungkin sampai matahari terpacak 90 darjah dilanggit, barulah dia bangkit dari tidurnya.
“Dah subuh ni, awak tak kejutkan Salihah solat ke?” Tanya Wak Johar pada isterinya.
“Dah bang, tapi dia tak bangun lagi.”
“Kejut lagilah...” suruh Wak Johar. Mencebik berot bibir Esah bila bila dipaksa Wak Johar.
“Alaa, biarlah dia tidur, letih kot. Lagipun lama dia tak tidur kat katilnya tu.”
“Suka hati awaklah...” Malas Wak Johar nak memaksa isterinya lagi. Sebenarnya dia ingin bersarapan pagi dengan Salihah, macam dulu.
Sudah seminggu Salihah di kampung. Selama itu juga dia tak keluar rumah. Asyik terperap dan kadang kala dia lebih senang menolong ibunya masak dan mengemas rumah. Sesekali dia hanya lebih senang bermenung di jendela, melepaskan pandangan matanya, melontar jauh kedearah kecil sekitar rumahnya.
“Lama kau kat kampung ni Sal?” Tanya ibunya. Salihah diam tidak menjawab. “Kau tak ingin ke nak bersiar-siar kat kampung ni, mak tengok asyik terperap je kat rumah.” Sekali lagi ibu Salihah bertanya. Salihah terus membisu. Dia malas nak menjawab.
“Aku tanya, sepatah haram pun kau tak jawab.” hairan benar Esah dengan perangai Salihah.
“Entahlah mak, malaslah.” Mahu tidak mahu terpaksalah Salihah membuka mulut.
“Bila kau nak balik ke Kuala Lumpur Sal?”
“Tak tahu lagilah mak.”
Sesekali Salihah mengintai keluar jendela rumah, terpandang olehnya kehijauan daun pepohon yang merimbun seolah-olah melambai-lambainya ketika ditiup hembusan angin. Pepohon dan dedaun itu seolah-olah memanggil-manggilnya agar turun ke tanah. Terdengar dicuping telinga desir air parit yang mengalir. Di parit itulah tempat dia mandi masa kecilnya dulu. Ketika itu kampungnya belum ada kemudahan bekalan air paip seperti sekarang. Salihah mula resah. Hatinya mula merasakan sesuatu yang kurang selesa. Tambah pula sejak kembalinya ke kampung, dia tak pernah menunaikan solat lima waktu.
“Awak nampak tak anak kita tu tak solat lima waktu pun. Saya hairanlah. Cuba awak tanyakan kenapa dia tak buat langsung suruhan tuhan tu.” Terdengar sekali imbas oleh Salihah ketika ayahnya Wak Johar berbual dengan ibunya tentang dirinya. Rasa serba salah Salihah ketika itu.
“Awak ni, mestilah ada sebab kenapa dia tak solat.” ibunya cuba membelanya. Sekalipun ibunya tidak tahu apakah sebabnya Salihah tidak langsung bersolat sejak seminggu dikampung.
“Uzur?” Wak Johar meneka.
“Tahu pun...” sampuk isteri Wak Johar.
Hanya Salihah saja yang tahu kenapa dia tidak menunaikan solat lima waktu. Dia tidak uzur, belum masanya lagi. Mungkin seminggu atau dua minggu, kadang tu jejak dua bulan. Pernah dia rasa bimbang kalau-kalau dia mengandung setelah hampir dua bulan dia tidak datang bulan. Cepat-cepat dia makan pil perancang. Hanya itu yang dia mampu lakukan. Takut benar dia dengan nasibnya nanti jika melahirkan anak luar nikah. Alangkah hinanya dirinya nanti. Malah anaknya pun turut terhina. Kebimbangan itu sering menghantui hidupnya. Sepanjang dia berhijrah ke Kuala Lumpur, boleh dikira beberapa kali saja dia mendirikan solat. Itupun mula-mula dia sampai ke sana dan menumpang dirumah Dahlia, kawan sekampungnya juga. Selepas dia mengenali dunia kota metropolitan dan sosial yang berbudayakan ala barat, Salihah sudah lupa pakai tudung. Sudah mula lupa solat. Sebulan selepas dia bekerja dan mendapat gaji pertamanya, dia berpindah rumah. Tidak lagi menumpang rumah Dahlia. Lagipun Dahlia sudah bersuami dan ketika itu sudah hamil 4 bulan.
Salihah tidak selesa berkongsi rumah dengan lelaki. Tambahan pula dia dapat rasa yang suami Dahlia ada menyimpan hasrat tidak baik padanya. Pernah satu malam ketika Salihah pulang lewat, suami Dahlia yang membuka pintu. Kebetulan ketika itu Dahlia sudah lena diulik mimpi. Entah mengapa dengan sengaja suami Dahlia meraba punggung Salihah. Salihah malas nak mengadu dombar dengan Dahlia, dia tak mahu nanti kawannya itu bercerai dik kerana perkara sedikit itu. Jadi dia mengambil keputusan untuk berpindah saja dari rumah Dahlia. Dahlia pun tidak menghalang kehendak Salihah.
Bermula dengan hidup sendirian dan sejak berkenalan dengan Datok Foad, Salihah sudah mengabaikan tanggungjawabnya tentang solat. Dia sudah dihanyut deras arus sosial kota yang sungguh mencabar. Lupa diri, lupa pada kekuasaan Tuhan dan lupa dengan segala pesanan ibu dan ayahnya. Semasa dia masih bekerja dengan syarikat Datok Foad, dia tidak lupa mengirim wang untuk keluarganya. Sejak dia tidak lagi bekerja dan menjadi perempuan simpanan Datok Foad, dia tak lagi mengirim wang untuk keluarganya. Sengaja dia buat begitu. Sejahat-jahat mana pun dia, dia masih ingat untuk tidak memberikan rezeki haram untuk kedua ibu bapanya. Pada fikirnya, biarlah kedua ibu bapanya menganggap yang bukan-bukan asalkan dia tidak menanggung dosa yang lebih berat. Sudahlah berzina, satu dosa yang amat berat. Inikan pula memberikan hasil haram untuk dijadikan darah daging ibu dan ayah serta adik-adiknya, dia tak sanggup memohon ampun dari kedua ibu bapanya kerana perkara itu.
“Mak tengok kau tak solat lagi sejak pulang ke kampung ni. Seminggu kat sini, mak tak nampak pun mana telekung dan sejadah kau. Kau uzur ke Sal?” Tergamam benar Salihah ketika diajukan persoalan seperti itu oleh ibunya.
“Uzur mak, esok kot mungkin boleh sembahyang.” Terpaksalah dia menipu ibunya.
“Mana telekung dan sejadah kau?”
“ Sal tak bawak, ingatkan masih ada telekung dan sejadah Sal yang lama kat bilik tu. Dah tak ada, nampak gayanya kenalah Sal beli yang baru.”Mujurlah dia ada idea untuk menepis segala pertanyaan ibunya. Tersenyum ibunya mendengar kata-kata Salihah.
“Baguslah kalau kau ingat solat. Mak risau, ayah kau pun risau.” ujar ibunya. Lega hati Salihah kerana dia dapat meyakinkan ibunya. Tapi dia ada tanggungjawab besar selepas itu. Dia kena solat semula seperti zaman sekolahnya dulu. Salihah sudah lupa membaca beberapa ayat penting untuk bersolat. Sudah sah dia gagal mengingati semula ayat-ayat itu.
Salihah masih lagi bermenung dijendela . Baru sebentar tadi rintik-rintik halus hujan turun seperti mahu membasahi bumi. Tidak berapa cukup titik-titik air hujan itu untuk membasahi bumi ketika itu. Hujan rintik-rintik bersaingan dengan pancaran matahari ketika itu seolah-olah ada petanda tidak baik akan berlaku.
Seketika itu, menongan Salihah terpinggir serentak bila terpandang seorang gadis menunggang motorsikal melintas jalan depan rumahnya. Tidak payah dicam siapa gadis itu, Salihah sudah pasti gadis itu adalah Leya. Berderau jantungnya ketika itu. Perasaan dendamnya tiba-tiba saja menerjah masuk ke dadanya dan terus menebuk lubang hatinya.
“Leya... Nanti kau... Kau tak kenal aku siapa. Aku tetap menghukum kau Leya.” Bisik jahat hati Salihah.
“Sal, mari minum petang. Ayah dah tunggu ni, turunlah. Apa yang dimenungkan tu.” Jerit Ibu Salihah dari dapur. Salihah malas hendak menyahut panggilan ibunya. Dia menuruni anak tangga yang menuju ke ruang dapur. Sudah bersedia bersama Wak Johar dan adik-adiknya duduk dikerusi makan. Sudah lama benar Salihah tidak berkumpul dengan keluarga minum petang. Inilah peluang yang kembali dalam hidupnya sejak dia merantau.
“Ayah nak tanya kau sesuatulah.” Ketika minum petang, sejak seminggu, inilah kali pertamanya Wak Johar hendak bertanyakan sesuatu pada Salihah.
“Apa dia ayah? Tanyalah?” Jawab Salihah tanpa rasa bimbang dan gusar.
“Lama kau di Kuala Lumpur tu kerja apa? Ayah tengok kau pakai kereta mewah. Tak mampu rasa ayahlah kalau gaji setakat seribu. Lagipun kau bukanlah berkelulusan tinggi. Ahli perniagaan saja yang mampu pakai kereta mewah macam tu.” Panjang pertanyaan Wak Johar. Rupa-rupanya selama seminggu sejak kepulangan Salihah, Wak Johar menyimpan seribu persoalan dibenaknya tentang anaknya itu. Tergamam sejenak Salihah bila mendengar pertanyaan seperti itu dari ayahnya.
“Oh... Sal kerja bahagian pemasaran. Baru saja kerja. Kereta tu bukan Sal punya. Kereta syarikat. Kerja bahagian pemasaran tak perlu kelulusan. Asalkan saja pandai bercakap dan pandai menerangkan tentang produk yang hendak dipasarkan, bolehlah dapat kerja dan gaji lumayaan.” Ujar Salihah yang terpaksa menipu demi menutup segala kesilapan dirinya. Hanya itu saja yang dia mampu dan terpaksa lakukan. Dia tidak akan berterus terang tentang perkara sebenar. Dia tidak mahu kedua ibu bapanya kecewa dengan perbuataannya. Padanya, biarlah dia saja menanggung segala dosa atas sikap buruknya itu. Dia tak mahu dikatakan menconteng arang ke muka keluarga.
“Dulu kau kata kerja kerani?” Tanya ibunya pula.
“Aaa... Betulah tu. Sal diberhentikan. Sal menganggur lebih 2 bulan. Baru dapat kerja sebagai jurujual dipasaraya. Sebab itu Sal tak dapat kirim wang untuk ayah, mak. Tak cukup untuk Sal.” Secepat itu Salihah menjawab. Dia berbohong terus berbohong.
“Sejak bila kerja sekarang ni?” Wak Johar mencelah.
“Baru tiga bulan.” ujar Salihah.
“Kak... Nanti belikan kasut sekolah Ita ya kak. Kasut Ita dah berlubang depannya. Selalu masuk air kalau hujan.” Ita, adik kedua Salihah menyampuk.
Salihah mengangguk setuju. “Nanti kakak belikan ya.” kesanggupannya.
“Ani pun nak kak, Ani nak beg baru. Dah tak muat isi buku tau.” Adik bongsunya pula mencelah.
“Isss.... Kak Sal kan baru kerja, belum ada gaji lagi tu. Tak baik mintak yang bukan-bukan tau.” Ibu Salihah melarang kedua anaknya. Salihah tersenyum.
“Apalah mak ni, tak spoting langsung. Kakak yang nak belikan, bukan mintak mak. Kakak ada duit tau. Kawan Ita kata, kereta yang kakak pakai tu, yang kakak beli tu harganya juta tau. Jadi tentu kakak banyak duit kan?” Ita membangkang larangan ibunya. Tergelak kasar Salihah mendengar kata-kata adiknya itu.
“Ayah pun nak mintak juga ni.”
“Minta apa yah?”
“Minta kau mengaji Quran. Malam ni malam Jumaat. Lama tak dengar kau mengaji. Apa salahnya sesekali sekala kau balik ni mengaji.”
Tersentak Salihah bila mendengar perminataan ayahnya itu. Salihah serba salah. Sudah tentu dia banyak yang terlupa tentang ayat-ayat Al-Quran.
“Aduh... Matilah aku...” Bisik hati kecil Salihah keresahan.
“Boleh Sal?” Tanya Ayahnya seperti mengharap.
“Insya-allah yah... Tapi Sal banyak yang terlupa.”
“Kau tak mengaji langsung ke kat sana?” Soal drustik Wak Johar. Tergamam Salihah. Kelu lidahnya hendak menjawab. Dia tak sanggup berbohong tentang hak tuhan. Membaca Quran adalah pujian tentang kebesaran Allah. Tak boleh dipersendakan. Kalau tidak mengaji, adalah lebih baik berterus terang daripada menipu. Dosa bukan saja pada tuhan malah pada orang yang mendengar jawapan dari lidahnya. Tambah lagi yang bertanya itu adalah ayahnya.
“Tak yah...” Singkat saja jawapan yang diberikan oleh Salihah.
“Kenapa? Sudah lupa agama?” Agak marah Wak Johar ketika mendengar pengakuan Salihah.
“Bukan macam tu yah... Susah nak saya terangkan. Keadaan memaksa kita terabai tanggungjawab pada agama.” ujar Salihah.
Memang benar apa yang dikatakan oleh Salihah. Tidak ramai penghuni kota besar menjamin dirinya untuk tidak mengabaikan tanggung jawab dan amanah Tuhan. Apa lagi tentang membaca Quran, hanya segelintir saja yang sempat melakukan kerja-kerja amal akhirat itu. Salihah adalah salah seorang dari beratus-ratus yang lain, yang melupai tentang pentingnya kitab suci yang diturunkan oleh Allah itu.
“Kau buat apa? Sampai terlupa semuanya?” Soal keras dari Wak johar. Salihah membisu. Tak mampu untuknya menjawab pertanyaan ayahnya itu sekalipun memang sudah ada tersedia jawapan kebenarannya. Tak mampu lidahnya menuturkan setiap perbuatan terkutuknya selama ini, pada ayahnya. Salihah hanya membisu.
“Macam nilah, Maghrib nanti kita sama-sama berjemaah. Ayah nak kau mengaji. Kalau salah ayah betulkan bacaan kau tu nanti,” Agak lembut Wak Johar mengajak anaknya itu ke jalan yang benar.
Lepas minum petang itu, Salihah mula memberanikan dirinya memijakkan kakinya ke tanah tempat tumpah darahnya. Selama seminggu dia tidak langsung turun ke tanah. Selama itu juga kereta BMW nya tidak dihidupkan enjinnya.
Terasa lapang dada Salihah ketika berada di halaman rumah. Sesekali dia meninjau-ninjau ke arah rumah Leya. Hatinya ingin membuat perhitungan dengan Leya. Dia ingin benar bertemu Leya dan kalau boleh Awi juga.
Kebetulan petang itu Leya tidak bekerja. Dia baru saja habis syif pagi. Leya sudah selalu turun ke halaman rumah menolong ibunya menyapu dan membersihkan halaman. Leya tahu yang Salihah sudah pulang ke kampung. Leya diberitahu oleh Salih. Macam-macam Leya dengar pasal Salihah. Semua orang puji Salihah semakin cantik dan bergaya. Mewah dengan memiliki kereta mahal.
Petang itu kedua mereka saling berpandangan dari jarak yang jauh. Tidak bertegur sapa langsung. Leya mahu menegur Salihah, tapi dia bimbang kalau-kalau Salihah tidak mahu menerima tegurannya. Salihah pula sengaja menunjuk-nunjuk kemewahannya bergaya duduk di dalam BMWnya. Leya tidak hairan dengan kemewahan yang ditunjuk-tunjuk oleh Salihah. Cuma dia hairan bagaimana Salihah sehebat itu setelah dua tahun menghilang dari kampung. Seingat-ingat Leya, Salihah bukanlah pandai dalam pelajaran. SPM pun setakat lulus saja. Kalau nak sebut berpangkat besar, adalah mustahil. Kalau nak dikira dia ahli perniagaan, perniagaan apa yang dia lakukan dan dari mana dia dapat modal. Bercelaru benak Leya memikirkan tentang kehebatan Salihah.
Leya tidak mahu ambil tahu semua itu. Padanya cukuplah kalau dia dan Salihah berbaik semua seperti dulu. Dia mahu Salihah hadir masa hari pernikahannya dengan Awi nanti. Dia mahu Salihah jadi mengapitnya dan sedia melupakan kisah-kisah silam.
“Leya, lepas kau sapu sampah nanti, kau tolong mak ke kedai beli barang dapur. Beras, gula, kopi dah habis. Mak lupa nak beli siang tadi.” Pesan ibu Leya. Leya hanya mengangguk.
Setengah jam kemudian Leya bermotorsikal ke kedai runcit untuk membeli barang keperluan harian yang dikatakan oleh ibunya tadi. Ketika dia melintasi jalan dihadapan rumah Salihah, kedengaran Salihah memanggil namanya berkali-kali. Leya menoleh.
“Hendak ke mana Leya?” Tanya Salihah. Leya membelok menghampiri Salihah dan memberhentikan motorsikalnya .
“Kau panggil aku Salihah?” tanya Leya agak terkejut. Siapa yang tidak terperanjat kalau telah bermusuh, bergaduh dan tidak bertegur sapa, akhirnya jadi baik semula.
“Kau nak kemana?”
“Aku nak ke kedai.”
“Apa khabar Leya?”
“Baik, kau?”
“Biasa aje. Oh! Ya! Aku nak jumpa kau esok petang dekat sungai. Ada perhitungan yang nak aku jelaskan dengan kau. Ok Leya?” beritahu Salihah tegas. Kemudian bergegas meninggalkan Leya sendirian. Leya tergamam, dia juga berlalu pergi setelah Salihah meninggalkannya.
Semalaman Leya tidak dapat tidur kerana asyik memikirkan tentang apa yang dikatakan oleh Salihah.
“Perhitungan? Apa sebenarnya yang Salihah hendak lagi. Tak sudah-sudah. Tak habis-habis dengan perangai lamanya.” Fikir Leya kecamuk.
SELEPAS Solat Isyak, Salihah mengaji Quran. Banyak yang dia lupa. Mujurlah ayahnya memimpin bacaannya semula. Insaf benar Salihah ketika mengadap kitab suci itu. Terasa dirinya begitu hina sehingga dia tak sanggup menyentuh kitab suci itu.
Air matanya tergenang, sesekali menitis mengenai kertas yang tertulis ayat-ayat suci Al-Quran. Gelagat Salihah diperhatikan oleh kedua ibu bapanya.
“Kenapa kau menangis Sal?” tanya ayahnya.
Salihah terdiam. Entah mengapa tiba-tiba saja dia menangis teresak-esak. Kelu lidahnya untuk menyebut setiap butiran ayat yang tertulis di atas kertas kitab suci Al-Quran itu.
“Emm... Kenapa dengan kau Sal?” Ibunya turut risau dengan sikap Salihah itu.
“Mak, ayah, Sal banyak buat dosa pada mak dan ayah. Maafkan Sal mak, ayah.” ujar Salihah sambil memeluk ibunya dan kemudian mencium tangan ayahnya.
No comments:
Post a Comment