BERSAMA SAYA SUTERA KASIH,DALAM RUANGAN DUNIAKU CERITAKU

followers

Wednesday, 13 April 2011

Bab 10 : Pipit Pulang Ke sarang

Photobucket
AIR MATA SEMALAM
oleh: suteraungu


BAB 10

Pipit Pulang Ke sarang

Hampir dua tahun meninggalkan kampung halaman, sudah pasti rindu asyik membelah jiwa. Sepoi angin kampung halaman sudah dapat dirasakan oleh Salihah. Kereta yang tadinya dipandu laju ketika dilebuh raya, kini sudah mula perlahan. Hanya beberapa kilometer saja lagi kampung kelahiran Salihah akan terpapar dimatanya. Rindu benar Salihah dengan kampung tercintanya. Tak sedar air matanya menitis setitis demi setitis ketika itu. Terlalu banyak kenangan silamnya disitu, membuatkan dia sendu seketika.
    Lama benar dia tidak bersalam dengan ayahnya dan selama itu juga dia tidak mencium pipi  lisut ibunya. Entah bagaimana agaknya dengan adik-adiknya, rumah usangnya dan yang paling dia rindu sekali bilik tidurnya.Selama ketiadaannya, tak tahu olehnya siapa yang mengambil alih tilam dan bantal busuknya.Sebegitu lama di kota keringatnya membazir tanpa sebarang keberkatan akibat nafsu serakah yang menerajui fikirannya. Kusut hati dan fikirannya sekali sekala bermain dan merentasi setiap urat saraf dan berderu ke hujung nadi. Jantungnya mula berdegup kencang. Berdebar perasaannya ketika kenderaan yang dipandung melencong masuk ke simpang kampung.
    Ketika melintasi setiap sudut simpang-simpang lorong masuk penduduk kampung, kalau ada orang kampung terpandang kereta Salihah pasti terpegun. Siapa yang mampu duduk di kampung memiliki kenderaan mewah seperti yang dipandu oleh Salihah. BMW 5 series yang terkini dipasaran bernilai lebih dari RM300 ribu. Jawapnya, hanya meneguk air liurlah ketika memandang kereta Salihah yang melintasi mereka. Beranganlah sejauh mana sekalipun, namun tanpa wang atau bergaji besar, pastinya tidak mampu. Salihah pun sebenarnya tidak langsung berkemampuan memiliki kenderaan mewah seperti itu. Nasib menyebelahinya, soal halal haram dan cara mana dia memperolehi kemewahan seperti itu bukan soal penting, yang penting dia adalah anak kampung yang sudah dilihat kekayaannya. Sesekali Salihah merasa bangga dengan kedudukannya sekarang jika dibandingkan dengan kawan-kawan lamanya. Tapi jika mereka tahu cara mana Salihah memiliki kekayaan, pastinya mereka lebih dibanggakan kerana halal rezeki yang diperolehi mereka itu. Kereta BMW898 yang dipandu oleh Salihah sudah pun melintas lalu di warung milik Salih. Masih tidak ada perubahan pada warung Salih itu. Salihah kenal semua orang yang ada dalam warong itu. Tapi mereka yang duduk diwarung itu tidak kenal dengan Salihah yang memakai cermin gelap pada pintu keretanya.
    “Siapa tu Wak?” Tanya Salih pada Wak Kamal. Semua pelanggan yang ada diwarung Salih menoleh ke arah kereta BMW898 milik Salihah yang dipandu perlahan.
    “Eh! Macam YB nampaknya tu.” Ujar Wak Kamal.
    “Bukanlah Wak, bussinessman kot.” Sampuk Salih.
    “Mungkin juga. Tapi nak cari siapa agaknya?” Sampuk Jalil.
    “Cari saya tu Wak.” Salih berseloroh.
    “Sudahlah, kau berniaga apa? Warung je, bukan usahawan atau tauke balak.” Ejek Wak Kamal.
    Salihah memberhentikan kereta yang dipandunya betul-betul disimpang jalan masuk ke warung Salih. Lama dia didalam kereta membelek-membelek nombor telefonnya. Kemudian mendail salah satu nombor. Salihah menghubungi Datok Foad.
    “Kau tengok tu, dia berhenti depan warung aku. Sudah tentu nak jumpa aku tu.” Ujar Salih beriya-iya.
    “Siapa ye? Eh! Salih kau pergi tengok.” Suruh Jalil sungguh-sungguh.
    “Malaslah aku, kalau dia nak cari seseorang dan perlukan bantuan kita, biar dia datang kat warung ni.” Jawab Salih.
    Sebentar kemudian pintu kereta BMW bernombor pendaftaran MNM 898 terbuka. Kelihatan dari jauh seorang gadis berpakaian sopan kebaya labuh warna biru keluar dari kenderaan itu. Anak gadis yang kelihatan seksi memakai kebaya itu berjalan terjengket-jengket berkasut tumit tinggi menuju ke warung Salih.
    “Eh! Perempuanlah Salih. Cantik. Woo!!” Terbelik mata Jalil memandang Salihah yang berjalan masuk menuju ke warung Salih. Gadis memakai cermin mata hitam gelap sport sungguh menawan. Salih yang tadinya sibuk membuat air, terus saja terhenti tangannya. Pandangan Salih tertumpu ke arah  gadis jelita itu.Boleh dikatakan semua yang ada di warung Salih terpukau dengan kejelitaan Salihah ketika itu. Setakat ini belum ada seorang gadis secantik itu datang ke warungnya.
    Gadis jelita itu sudah pun menjejakkan kakinya ke dalam warung Salih.
    “Assalammualaikum!” Salihah memberi salam. Secepat itu juga salam Salihah dijawab oleh semua yang ada di situ. Wak Kamal terbatuk-batuk kecil memandang Salihah. Butang mata Wak Kamal hampir terjojol keluar ketika memandang anak gadis itu.
    “Adik nak pesan minuman ke?” Cepat-cepat Jalil bertanya tanpa disuruh oleh Salih. Salihah tersenyum melirik. Semakin terpersona Jalil memandang ke wajah Salihah. Tak sorang pun dapat mengecam siapa gadis jelita itu.
    “Tak pelah bang, terima kasih.” Jawab Salihah manja pada Jalil. “ Abang Salih, boleh tolong bungkuskan saya dua teh tarik?” Pinta Salihah pula pada Salih. Terteguk air liur Salih ketika gadis yang tidak dikenalnya itu memanggil nama dengan perkataan abang. Cepat-cepat dia membalas setuju menyiapkan pesan Salihah itu.
    “Teh tarik cik adik? Siap.” Sambut Salih dan tergesa-gesa menyiapkannya. Tak sampai dua minit pesanan Salihah sudah siap disediakan oleh Salih. Salih menghulurkan dua bungkus teh tarik itu pada Salihah.
    “Berapa bang?”
    “RM1.60 sen je.” Sambut Salih.
    “Murahnya, macam dulu juga ye.” Sambut Salihah.
    “Macam dulu?” Salih terkejut bila Salihah menyebut perkataan macam ‘dulu juga’ itu.
    “Em! Macam dulu juga...” Sambut Salihah dengan melemparkan senyuman manjanya. Kemudian menghulurkan dua keping wang kertas bernilai RM1.00 setiap keping. Tergoda dan berderau perasaan Salih ketika memandang senyuman dari Salihah. Salihah hendak melangkah keluar dari warong Salih. Spontan itu juga dia mengucapkan terima kasih. Salih menyambutnya.
    “Cik adik nanti dulu.” Salih menahan Salihah dari terus melangkah.
    “Ada apa bang?” Lembut manja Salihah bertanya.
    “Ada bakinya ni, 40 sen. Tunggu sekejap.” ujar Salih.
    “Tak pelah, simpan saja. Di KL tak dapat 80 sen segelas. Di sana RM1.50 segelas tau bang.” Ujar Salihah.
    “Cik adik nanti dulu.” Salih terus menahan Salihah dari melangkah meninggalkan warungnya. Salihah tidak menjawab apa-apa, dia masih tercegat memandang ke arah Salih.
    “Ada apa lagi bang?” Tanya Salihah.
    “Cik adik dari mana, hendak ke mana?” Tanya tergesa-gesa Salih pada Salihah.
    “Oh! Dari KL nak pulang ke kampung sayalah.” ujar Salihah.
    “Pulang ke kampung? Kampung cik adik kat mana?” Tanya Salih lagi. Jalil dan Wak Kamal ternganga mulutnya memandang Salih dan sekejap itu pula memandang ke arah Salihah yang masih tercegat berdiri.
    “Tu, hujung kampung abang ni. Kitakan kampung berjiran sejak dulu lagi.” Jelas Salihah.
    “Cik adik siapa nama?” Salih masih bertanya.
    “Abang Hafis mana?” Salihah mengalih perbualan. Tidak dijawapnya pertanyaan Salih itu.
    “Hafis? Awak kenal Hafis ke?” Jalil menyampuk pulak.
    “Macam mana awak kenal Hafis, cik adik?” Salih pula mencelah.
    “Saja tanya je, diakan popular kat kampung ni.” Ujar selamba Salihah. “ Dahlah bang saya nak balik ni.” Pinta izin Salihah supaya langkahnya tidak lagi  ditahan.
    “Sekejap, soalan saya awak tak jawab. Nama cik adik siapa? Apa kena mengena dengan Hafis?” Salih tergesa-gesa menyoal.
    “Abang Salih ni mudah lupalah. Inilah Melayu yang dikatakan mudah lupa.” Jawab Salihah. “Saya ni... Salihah lah bang.” Jelas Salihah dan kemudian bergegas meninggalkan warung Salih menuju ke keretanya. Dia memandu perlahan menyusuri jalan kampung yang sedikit berdebu.
    “Salihah? Aduhhhh Salihah!!! Cantiknya kau, tak ubah macam dulu-dulu jugak”. Puji Salih sambil menepuk-tepuk dahinya.
    “Salih! Bukan macam dululah, Salihah jauh berubah lebih cantik dari dulu. Kalau macam dulu, sudah tentu kita kenal dia tadi.” Sampuk Jalil.
    “Apalah kau ni Salih, betul kata Jalil tu. Kau tengok, mana kita kenal dia, pakai kereta besar, mewah. Tengok saja bajunya mengerlap. Mahal tu.” Eh! kerja apa dia tu yer?” Wak Kamal mencelah. Dia agak hairan dengan perubahan Salihah anak dara kampung sejirannya itu.
    “Manalah saya tahu Wak, Jalil. Kita pun tak fikir yang dia tu Salihah. Cantiknya dia sekarangkan?” Jawab Salih sambil menggeleng kepala berkali-kali. Hatinya mula gelisah dan teringat kisah lamanya sewaktu dia mula-mula mengorat Salihah. Ketika itu tak langsung Salihah melayannya. Salihah tergila-gilakan  Hafis. Salih kecewa sangat waktu itu.  Perasaan itu timbul kembali kini. Sekembalinya Salihah, kali ini dengan jauh berbeza dirinya semakin membuatkan Salih rasa cemburu. Fikirnya sudah tentu Salihah akan mencari Hafis. Sudah tentu Hafis terpegun dengan kejelitaan Salilah berbanding Leya. Ketika itu, perasaan kecil hati Salih mula menerjah masuk ke setiap urat saraf jantung dan hatinya.
    “Siapalah aku kalau Salihah tu nak jadi isteri aku. Jauh panggang dari bara...” Bisik hati kecil Salih. Dia tersenyum sendirian.
    “Oi! Yang kau tersenyum sendiri macam kurang siuman tu kenapa Salih?” Jalil terpandang Salih tersenyum sendirian. Disindirnya Salih.
    “Kau ni aku senyum pun tak boleh.” Salih menyangkal.
    “Yalah... Tadi muka kau tu macam mengkudu masam. Sejak Salihah datang tadi, muka kau manis sangat, semanis gula enau, senyum pulak macam senyum kata yang baru keluar dari bawah tempurung.” usik Jalil. Tergelak panjang Wak Kamal ketika itu.
    Salih menghampiri Jalil. “ Jalil, kau minum free kat sini dah cukup baik daripada aku suruh bayar tau tak. Yang kau sakit hati aku senyum kenapa?” Ujar Salih macam marah lagaknya. Tapi bukan dia marah sebenarnya. Saja dia pun mahu bergurau dengan Jalil.
    “Marah nampak?” Jalil mencebik.
    “Tak marah, geram. Jealouslah tu dia.” Jengkel Salih.
    “Sudahlah tu, dah nak masuk waktu Asar ni. jom ke surau.” Wak Kamal mencelah.
    “Wak pergi dululah, saya belum mandi.” Jalil menyampuk.
    “Belum mandi? Mandi apa? Mandi junub?” Wak Kamal bertanya.
    Tersenyum Salih memandang Jalil. “ Tak mandi pagi dan berjunub tu.” usik Salih pada Jalil.
    “Kau ni Salih, kau kan lelaki, aku pun lelaki, kau faham sendirilah.” Jawab Jalil.
    “Aku faham...”
    “Dah tu kenapa kau sindir aku pulak?”
    “Inilah anak remaja sekarang yang suka mengabaikan tanggungjawab dan amanah tuhan kepadanya.” ujar Salih.
    “Kau tak sembahyang sama?” Wak Kamal bertanya Salih pula.
    “Warung tak ada orang jaga.” Jawab Salih.
    “Alasan yang kukuh. Sekukuh kebebalan otak kau tu Salih.” Sindir Jalil. “ Sudahlah aku nak blah ni. Berapa ringgit  teh tarik ni?” sampuk Jalil.
    “Kau ni Jalil macam baru hari ini minum kat warung aku ni. Kalau nak kira hutang, dah penuh setiap muka surat buku 555 tu. Masih tak ingat berapa harga segelas teh tarik.” ujar Salih.
    “Aku terlupalah.”
    “Terlupa? Sejak bila terlupa?”
    “Sejak terpandang nona ku Salihah. Aduhai Salihah...”
    Salihah sudah pun sampai ke simpang jalan masuk ke rumahnya, perlahan-lahan dia memandu masuk ke halaman, kemudian meletak keretanya. Tak seorang pun yang sedar kepulangannya hari itu. Memang dia tak beritahu pun pada keluarganya yang dia hendak pulang ke kampung.
    Salihah sudah keluar dari keretanya. Dilihatnya sekeliling rumahnya. Tidak banyak berubah, masih seperti dulu lagi. Kalau ada pun hanya pohon rambutan yang sudah tinggi dan besar batangnya berbanding dua tahun lalu. Kelihatan hiasan tanaman bunga-bungaan dan jambangan dalam pasu mewarnakan seri lagi persekitaran rumah Salihah.
    Dipandangnya tersergam hampir usang rumahnya. Direnungnya keliling kawasan tempat di mana dia bermain dengan Leya. Sekali imbas di kiri bersebelah rumah Salihah jarak antara 10 meter Leya adalah jiran terdekatnya. Dia memandang tenang ke arah rumah Leya. Tak ternampak olehnya wajah Leya. Kebetulan hari itu Leya bekerja sebelah petang.
    Perlahan-lahan langkah Salihah menghampiri tangga ke serambi rumahnya. Satu demi satu dia memijak anak-anak tangga itu. Dia sudah sampai ke atas serambi. Langkahnya teratur menuju ke daun pintu.
    Salihah sudah hampir ke daun pintu. Bila-bila masa saja daun pintu akan dibuka orang kalau Salihah memberi salam dan memanggil ibunya. Berdegup jantung Salihah sedikit kencang debarannya. Hatinya terasa sendu ketika itu. Pilu benar hatinya ketika memijakkan kaki ke serambi rumahnya. Masih dia ingat ketika dia dilarang oleh ayahnya ketika dia hendak meninggalkan kampung berhijrah ke bandar.  Paling menghayat hatinya bila ibunya juga melarang dengan air mata berlinangan. Tapi pada waktu itu, tekadnya sudah bulat, dia mesti pergi. Dia kecewa benar dik kerana cintanya tidak terbalas oleh Hafis. Sebab itulah Salihah tidak mahu pandang lagi muka Leya yang berjiran dengannya. Setiap kali dia memandang keluar tingkap, pasti dia akan terpandang rumah Leya. Kadang kala terserempak dengan Leya yang sedang menyidai kain basuhan diampaian. Kalau dulu, sebelum dia bergaduh dengan Leya, setiap kali ternampak, dia amat seronok. Tapi selepas bertengkar, hubungan dia dengan Leya sudah rengang dan kalau boleh dia tidak mahu langsung memandang muka Leya. Benci, geram dan ada dendam membara dihatinya.
    “Assalammualaikum mak! Mak! Mak! Ayah! Ayah!” Salihah memberi salam dan memanggil ibu ayahnya. Tak ada sesiapa menyahut panggilannya ketika itu. Sudah berkali-kali dia memberi salam dan memanggil namun masih belum ada sesiapa yang membuka pintu. Salihah tahu adik-adiknya sudah tentu bersekolah agama sebelah petang itu belum pulang. Dia pasti ayahnya masih dikebun. Tapi ke mana ibunya?
    Salihah melepaskan lelahnya setelah berdiri lama. Dia duduk bersandar di beranda menanti kalau-kalau ada yang pulang ke rumah ketika itu. Agak gelisah Salihah ketika itu. Menunggu agak lama memang membosankan. Salihah mula merasa letih. Sesekali dia terlena. Ketika itu juga mimpinya bertaup kembali kisah-kisah silam.
    Akhirnya Salihah terlena menyandar di dinding beranda rumahnya.
    Waktu Asar sudah lama berlalu. Dari jauh kelihat seorang lelaki berusia setengah abad terhenjut-henjut menunggang motorsikal Honda C70 menuju masuk ke halaman rumah Salihah. Ayah Salihah baru pulang dari kebun. Kebetulan ketika itu Ibu Salihah pulang sama dari pekan membeli barang-barang untuk jualan kuihnya.
    Wak Johar terkejut bila melihat ada sebuah kereta mewah berhenti dihalaman rumahnya. Lama dia menjenguk-jenguk ke dalam kenderaan itu. Namun dia tak nampak seorang pun ada didalamnya.
    “Bang kereta siapa ni bang?” Tanya Esah, Ibu Salihah pada suaminya, Wak Johar.
    “Entah, ada orang menumpang letak kereta tak agaknya.” Jawab Wak Johar.
    “Entah anak kita pulang tak bang?” Isteri Wak Johar meneka dalam kesamaran.
    “Eh! Merepek je awak ni. Manalah mampu anak kita yang baru sekolah tu beli kereta mahal macam ni.” Sampuk bebal fikir Wak Johar.
    “Awak ni, bukan anak-anak kita yang sekolah tu. Manalah tahu si Salihah pulang agaknya.” ujar Esah. Hatinya berat menyatakan yang kereta itu adalah milik anaknya si Salihah.
    “Salihah? Eh! Awak ni, budak tu dah tak ingat kita lagi, mana mungkin dia nak balik.”
    “Awak jangan fikir macam tu, Sejauh mana bangau terbang, ke belakang kerbau juga dia singgah.”
    “Itu bangau, mana nak sama dengan anak orang, tambah pulak macam si Salihah tu. Tak terfikir dik saya dia nak balik.” Sangkal Wak Johar.
    “Sudahlah tu, jom kita naik, Asar dah nak habis waktu ni.” Ajak isteri Wak Johar.
    “Saya nak mandi dulu, awak tunggu sekejap.” Wak Johar menyorong motorsikalnya ke bawah rumah. Esah pula melangkah naik ke ruang serambi rumah.
    “Abang! Anak kita balik bang! Salihah balik bang!” Tiba-tiba saja Esah menjerit lantang. Bergegas Wak Johar mendapatkan isterinya. Dia tak percaya langsung dengan apa yang dikatakan oleh isterinya itu. Salihah terkejut dari lenanya bila mendengar Esah menjerit memanggil Wak Johar.
    “Mak!..” Cepat-cepat Salihah bangun berlari mendapatkan ibunya dan memeluk erat seerat seperti dia kecil ketika menyusu dulu. Lama dipeluk Esah dengan deraian air mata.
    Wak Johar tergamam, tidak berkata apa-apa ketika terpandang Salihah. Salihah dilihatnya sudah jauh berubah.
    “Salihah!” Panggil Wak Johar. Salihah mendekati  ayahnya, mencium tangan dan memeluk erat ayahnya.
    “Mana kau menghilang nak?”
    Ketika itu, tiada yang dapat diungkapkan lagi, hanya air mata jadi pencerita. Pencerita tentang erti kerinduaan, erti kehidupan yang terpisah lama sekalipun dua tahun masa yang berlalu. Namun selama itu, tidak mustahil jika ada cerita-cerita yang perlu didengar, kisah kehidupan yang perlu di jadikan sempandan dan tauladan.

No comments: