AIR MATA SEMALAM
oleh: suteraungu
BAB 5
Bila Hati Telah Retak
Bila Hati Telah Retak
Kenangan adalah suatu yang sukar untuk kita lupakan biar apapun kenangan yang pernah kita lalui. Apa lagi kalau kenangan itu mengaitkan perasaan. Perasaan marah, dendam, geram, cinta dan bermacam-macam lagi. Inilah yang sedang bermain-main di ingatan Salihah.
Masih sukar untuk Salihah melupakan peristiwa dia dan Hafis. Sekalipun cintanya tidak terbalas, Salihah masih tetap merindui Hafis. Cintanya yang terpendam membuatkan Salihah menjadi seorang pemburu cinta dan berdendam. Dia masih ingin memburu cintanya yang pernah dilemparkan pada Hafis. Dia juga ingin mendendami setiap lelaki semata-mata geramnya terhadap Hafis.
Cinta dan dendam semakin membara. Pada pendapat Salihah, Hafis sememangnya lelaki kejam kerana menghampakan perasaannya dengan semudah itu. Maka Salihah berfikir tidak semudah itu dia akan membiarkan Hafis dimiliki oleh orang lain, apa lagi gadis yang bertuah itu adalah sahabatnya sendiri. Pertunangan Hafis dengan Leya yang sampai ke telinganya benar-benar memecahkan gegendang telinganya yang selama ini membeku. Selama ini dia tidak terfikir yang Leya dan Hafis sengaja mempermain-mainkan dirinya. Sanggup Leya mendustainya sehingga dia bagaikan orang yang sudah hilang ingatan disebabkan gila bayang terhadap Hafis. Begitu mesranya Hafis dengannya ketika di sekolah, namun Leya tidak pernah memperlihatkan rasa cemburunya. Malah dilihat Leya begitu selesa kalau Salihah begitu manja merengek-rengek dengan Hafis.
Namun begitu Salihah dapat merasakan yang Hafis tidak menyukai dirinya. Hafis tidak pernah dapat memuaskan segala kehendaknya. Jika dia minta Hafis menemaninya ke mana saja, setiap kali itulah ada saja alasan yang Hafis berikan bagi mengelak diri untuk berdua-duaan bersama Salihah. Salihah hanya dapat bersama Hafis kalau ada Leya. Tanpa Leya bersama, maka tiada peluang langsung untuk Salihah mendekati Hafis.
Salihah masih tidak dapat melupakan peristiwa kali kedua ketika dia berpeluang untuk bersama dengan Hafis. Ketika itu Hafis sedang seronok memancing sendirian di tepi sungai. Kebetulan sungai itu berhampiran dengan kampung Salihah dan Leya.
Petang itu tiba-tiba saja Hafis berminat untuk memancing. Dia pergi bersendirian. Ketika dia melalui jalan yang berdekatan dengan rumah Salihah dan Leya Salihah sedang berdiri di tingkap. Dia ternampak Hafis bermotosikal lalu. Salihah tersenyum apabila terpandang akan Hafis. Hafis tidak perasan yang dirinya sedang diperhatikan oleh Salihah. Salihah tahu Hafis hendak memancing di sungai. Ini keran dia ternampak Hafis membawa joran bersama. Terfikir otak Salihah untuk mengekori langkah Hafis ke sungai. Cepat-cepat dia menukar pakaiannya dan turun dari rumah. Salihah mencapai basikal dan mengekori Hafis dari belakang. Hafis tidak sedar akan kehadiran Salihah ketika itu.
Agak lama juga Hafis melabuhkan punggungnya di banir bawah pokok ketapang tempat selalu dia berjumpa dengan Leya. Asyik benar dia memancing. Sudah beberapa ekor ikan keli mengena mata pancingnya. Petang itu selepas hujan tengah hari, ikan keli memang galak makan umpan dek kerana kebulur agaknya. Lama sudah Salihah memerhatikan gelagat Hafis yang sendirian di situ. Salihah tersenyum sendirian. Dia masih belum hendak mendekati Hafis lagi, dia bimbang kalau-kalau ketika itu Leya datang. Lama dia memerhatikan Hafis yang sedang seronok melontar umpan ke sungai dan sesekali menampar sang nyamuk yang cuba mencuri darahnya dan tergaru-garu bila ada juga sang nyamuk yang sempat mencuri hisap darahnya.
Pada mulanya berat hati Salihah untuk mendekati Hafis. Dia bimbang kalau-kalau Hafis tidak mahu menerima kehadirannya nanti. Tapi desakan hatinya dan nafsunya memaksa dia memberanikan diri untuk mendekati Hafis. Perlahan-lahan dia melangkah mendekati Hafis.
“Assalammualaikum..” Tegur Salihah.
“Waalai.....” Tidak sempat Hafis menghabiskan sambut salamnya bila ketika dia menoleh ke belakang di lihatnya Salihah. “Eh... Sal... Buat apa kat sini?” Terkejut benar Hafis ketika itu.Tidak terfikir dibenaknya bahawa Salihah yang datang.
“Boleh Sal duduk sebelah?” Pinta Salihah yang terus saja meletakkan punggungnya duduk di banir pokok ketapang bersebelahan Hafis. Secepat itu Hafis bangun berdiri dan menjauhkan diri agak selangkah jarak dari Salihah.
“Sal! Jangan macam ni. Tak elok kalau nanti ada orang nampak. Kita ni bukan muhrim.” Ujar Hafis agak bengang raut wajahnya dengan sikap Salihah itu.
“Alaaa. Abang ni... Tak ada siapa yang lalu kat sini. Tak ada orang nampak pun.” Balas Salihah yang kemudiannya bangun mendapatkan Hafis. Secepat itu juga Salihah memaut bahu Hafis. Hafis cuba mengelak dari diperlakukan seperti itu.
“Jangan Sal... Tak elok macam ni..” Dapat juga Hafis menepis tangan Salihah tapi tidaklah dengan kekerasan.
“Abang... Sal sayang abang...Kenapa abang buat Sal macam ni? Kenapa abang benci dengan Sal?”
“Sal, aku tak benci dengan kau, cuma aku tak dapat terima cinta kau. Kau baliklah... Tak manis kita berduaan macam ni.”
“Alaaa... Bukan selalu. Kalau abang tak dapat terima cinta Sal, terima diri Sal sajalah sesuka abang, Sal rela.” Entah syaitan mana yang menghasut dan menggoda otak Salihah sehingga sanggup Salihah bercakap seperti itu benar-benar membuatkan Hafis terkejut.
“Sal! Mengucap Sal! Beristighfar banyak-banyak. Ingat Sal! Dosa! Dosa! Sal.”
“Abang....” Salihah menghampiri Hafis lagi. Hafis cuba mejauhkan diri dari Sal.
“Jangan macam ni Sal...” Pinta Hafis lagi. Namun Salihah masih berdegil.. “ Kau balik Sal.” Suruh Hafis pula.
“Tak nak...” Salihah berdegil.
“Baik... Kalau kau tak mahu balik, aku yang balik.” Ugut Hafis keras.
“Abang...Sampai hati abang buat Sal macam ini...” Salihah menangis teresak. Sengaja dia mencari simpati. Namun Hafis tidak peduli. Hafis terus saja menarik jorannnya yang berlabuh di air sungai dan membawa bersama beberapa ekor ikan keli yang dia dapat dan bergegas mencapai motosikalnya, menghidupkan enjin, terus berlalu meninggalkan Salihah sendirian.
“Abang!!!” Jerit agak kuat Salihah memanggil Hafis. Hafis pulang ke rumah dengan rasa bengang. Fikirannya semakin kacau. Tidak disangkanya Salihah sanggup menggodanya sehingga ke tahap seperti itu. Sesampainya dirumah, dicampaknya saja beberapa ekor ikan keli yang mengena mata pancingnya tadi ke atas sinki didapur. Ikan keli itu masih bernafas, namun nafasnya sesak seperti nafas Hafis yang sesak akibat degupan jantungnya yang kuat kerana rasa takut dengan apa yang Salihah telah lakukan padanya. Mujurlah imannya kuat ketika itu, kalau tidak entah apa akan terjadi jika syaitan juga merasuk dan menggodanya.
Hafis terus saja masuk ke biliknya, mengunci pintu dari dalam dan berkurung. Gelagat Hafis dilihat oleh Ima, adiknya. Ima merasa pelik dengan sikap abangnya Hafis. Mahu di tanyanya mengapa Hafis sepelik itu, Ima tidak berani. Ima membiarkan saja Hafis berkurung di bilik. Kebetulan dirumah ketika itu ibu dan ayah Hafis ke kampung hulu kerana ada kenduri kahwin kenalannya. Ila dan Ida mengikut kedua ibubapa Hafis. Cuma Ima saja menunggu di rumah.
Hafis masih mendiamkan diri di dalam bilik. Fikirannya semakin bercelaru. Dia amat bimbang kalau-kalau ada orang nampak dan dia difitnah oleh Salihah pula nanti. Hafis yakin Salihah memang pandai bermuka-muka dan sanggup buat apa saja demi untuk memuaskan kehendak hatinya. Setelah Hafis meninggalkan Salihah sendirian di tepi sungai itu, Salihah pulang mengayuh basikalnya dengan penuh kehanpaan. Malunya dia bila dia ingat semula apabila apa yang dia lakukan pada Hafis, ditolak oleh Hafis begitu saja. Salihah merasakan yang dirinya langsung tak ada harga pada Hafis. Geramnya dia pada Hafis membuak-buak. Salihah mula menaruh dendam terhadap Hafis.
Seingat-ingat Salihah, sejak peristiwa itu, Hafis tidak lagi bersama Leya kalau dia ada. Salihah masih ingat bagaimana dia menabur fitnah terhadap Hafis kepada Leya. Pagi-pagi lagi Salihah telah menunggu Leya di depan rumah. Seperti biasa dia dan Leya akan berjalan sama ke sekolah. Memang sahabat rapat. Sepanjang jalan ke sekolah Salihah telah menceritakan peristiwanya semalam ketika di sungai bersama Hafis.
“Leya..”
“Ada apa Sal?”
“Apa pendapat kau tentang abang Hafis?”
“Kenapa tanya macam tu? Ada apa-apa tak ni Sal?”
“Tak ada...Saja nak tanya awak tentang abang kita tu.”
“Pada akulah, Hafis tu memang baik. Dia boleh kita jadikan sahabat baik.” Ujar Leya. Sebenarnya Leya menyembunyikan rahsia hidupnya dengan Hafis daripada pengetahuan Salihah.
“Leya.. Kau nak dengar cerita tak?”
“Tentang apa?”
“Tentang aku dengan abang Hafis?”
“Tentang kau dengan abang Hafis?” Terkejut Leya bila Salihah berkata begitu.
“Emm...” Sengaja Salihah menunjuk-nunjuk seperti dia ada sesuatu cerita istimewa untuk disampaikannya pada Leya. Lagaknya sungguh gembira. Namun hakikatnya hanya apa yang ada disebalik dalam hatinya saja, yang dia tahu.
“Apa dia Sal? Aku nak tahu juga berita itu?”
“Nak tahu juga?”Sengaja Salihah mengacah-ngacah cakapnya.
“Mestilah... Cerita menarik ke atau tidak menarik?” Tidak sabar Leya hendak tahu apa yang tersirat dihati Salihah sebenarnya.
“Semalam abang Hafis dengan aku pergi ke sungai hujung kampung kita tu. Abang Hafis ajak aku pergi memancing. Dia minta aku temankan dia...” Salihah memulakan ceritanya. Terangguk-angguk Leya macam burung belatuk menebuk lubang untuk membuat sarang.
“Betul ke apa yang kau cakap ni, Sal?” Leya mula memcurigai apa yang dikatakan oleh Salihah. Namun Salihah mengiyakan apa yang dia katakan dengan mengangguk berkali-kali.
“Kenapa tak percaya?” Tanya Salihah mengacah lagi.
“Entah.... Terlalu sukar untuk aku percaya apa yang kau cakap tu Sal.” Jawab Leya, terlihat dari raut wajahnya dia memang tidak percaya dengan apa yang Salihah katakan.Leya yakin Hafis tak akan curang.
“Kau tak percaya? Sebenarnya aku seronok sangat bersama abang Hafis semalam. Tak payahlah aku nak beritahu apa yang aku dan abang Hafis lakukan. Cukup aku katakan yang aku dengan abang Hafis sebenarnya memadu kasih. Aku cintakan dia dan dia pun cintakan aku.” Jelas Salihah. Ternyata begitu sekali besarnya dosa Salihah menabur fitnah dirinya sendiri dan tidak terkecuali dengan Hafis.
“Aku tak percaya dengan apa yang kau cakap ni Sal. Aku kenal abang Hafis tu.” Leya cuba menyangkal apa yang dikatakan oleh Salihah.
“Terpulang pada kau, tak percaya tak mengapa. Hakikatnya aku, aku yang bernama Salihah dan abang Hafis sudah pun berjanji sehidup semati.” Ujar Salihah cuba menguatkan lagi cerita dustanya. Dia mahu Leya yakin benar dengan apa yang dia katakan. Dia mahu Leya akan menjauhikan diri dari Hafis.
“Kau lakukan maksiat bersama abang Hafis, Sal?” Jerkah Leya. Dengan selamba Salihah mengangguk.
“Aku rela, dan abang Hafis sanggup bertanggungjawab terhadap apa yang dia telah lakukan dengan aku.” Semakin hangat cakap-cakap Salihah bagi meyakinkan Leya. Leya diam kemudian dia berlalu pergi. Leya tidak mahu mendengar lagi cerita dusta Salihah. Semasa hendak melangkah meninggalkan Salihah, sempat juga Leya berpesan pada Salihah.
“Sal... Cuma satu aku nak ingatkan kau. Kalau betul kau dengan Hafis lakukan perbuatan terkutuk itu kau tanggunglah. Tapi kalau tidak, aku harap engkau hentikanlah fitnah kau tu. Jangan kau gembar-gemburkan pada orang lain pulak. Pada aku tak apa.” Pesan Leya.
“Suka hati aku lah.... Hak aku. Apa kau peduli.” Dengan selambanya Salihah berkata sambil mencebik bibir. “ Jealouslah tu...” Cemuhnya pula pada Leya.
“Aku tak cemburu...Tapi aku hanya mengingatkan kau, mulai saat ini kau bukan lagi sahabat aku.” Ujar Leya berjalan laju meninggalkan Salihah di belakang hingga masuk ke pintu pagar sekolah pun, Leya tidak langsung menoleh kebelakang.
“Leya! Leya! Nanti dulu Leya!” Panggil Salihah berkali-kali namun, Leya tidak memperdulikan. Sakit juga hati Salihah dengan cara Leya. Salihah seperti pasti yang Leya tidak mempercayai apa yang dia katakan.
Pilu juga hati Leya bila mendengar cerita Salihah tentang dia bercumbu-cumbuan dengan Hafis. Sungguhpun Leya yakin yang Hafis tidak akan melakukan perkara terkutuk itu, tapi hatinya masih ada keraguan. Cemburu juga menyelar ke pelusuk sanubarinya. Perempuan mana yang tidak curiga kalau mendengar berita tentang kekasih hatinya berseronok dengan perempuan lain. Namun Leya ada pendiriannya sendiri.
“Benar ke?” Fikir hatinya. Leya seperti masih curiga. “Ah! Ini semua fitnah.” Bentak hati Leya melawan perasaan curiganya. Leya masih tidak tenteram dan dia perlu buat sesuatu. Sepanjang masa di dalam kelas Leya tidak dapat menumpukan pelajaran. Dia buntu sama sekali. Namun, dia perlu buat sesuatu.
Sesampainya ke dalam kawasan sekolah, mata Leya menyelinap merata mencari Hafis. Namun dia tidak nampak pun kewujudan Hafis di sekolah pagi itu. Sepatutnya sebagai Ketua Pengawas Pelajar, seperti biasa Hafis bersama-sama beberapa lagi pengawas pelajar akan berada di depan dewan menanti pelajar-pelajar berbaris untuk perhimpunan. Seperti biasa pagi Isnin merupakan perhimpunan pelajar. Leya semakin risau.
“Eh... Mana pula abang Hafis ni? Tak datang sekolah ke?” Bisik Leya sendirian.
“Leya... Kenapa dengan kau ni, macam sedang mencari seseorang je aku tengok,” Tiba-tiba saja kehadiran dan teguran Emilyana mematikan gerak mata Leya memerhati mencari Hafis.
“Emilya... Kau ni... Terkejut aku. Kau ada nampak Hafis tak pagi ni?” Tanya Leya pada Emilyana.
“Tak perasan pun,” Beritahu Emilyana. “Tak datang sekolah kot agaknya.” Emilya mengagak. Sepanjang perhimpunan, Leya langsung tidak mengambil tahu tentang apa yang sedang di umumkan oleh Pengetua Sekolah. Fikirannya tidak menentu ketika itu. Salihah dan Leya berlainan kelas. Begitu juga dengan Hafis. Pagi itu Hafis tidak nampak bayangnya di sekolah.
Leya semakin resah. Ketika di dalam kelas Leya langsung tidak dapat menumpukan pelajarannya. Fikirannya hanya mengingati Hafis. Dia ingin bertemu Hafis.Waktu rehat sudah bermula. Leya bergegas mencari Hafis, namun sepanjang waktu rehat itu dia tidak bertemu dengan Hafis. Di tanyanya tentang Hafis pada teman-teman sekelas Hafis. Mereka hanya berkata Hafis tak datang sekolah hari itu.
found by suteraungu
No comments:
Post a Comment