AIR MATA SEMALAM
oleh: suteraungu
BAB 7
Berikan Aku Penjelasan
Keresahan bukan satu masalah yang perlu dibiarkan, ia perlu ada penyelesaian. Begitulah apa yang telah bulat tekad Leya untuk bertemu Hafis. Dia perlu menyelesaikan segala kebuntuan fikirannya. Hanya dengan jawapan dari Hafis sajalah segala kebuntuan itu dapat diselesaikan.
Pagi-pagi lagi Leya telah keluar rumah. Hampir semalaman dia tidak dapat melelapkan matanya. Pagi itu kebetulan hari tidak bersekolah. Leya bercadang untuk ke rumah Hafis. Langkahnya tidaklah tergesa-gesa. Dia tidak perlu tergesa-gesa untuk cepat sampai ke rumah Hafis. Leya pasti Hafis masih ada di rumah. Fikirnya tidak mungkin Hafis pagi-pagi lagi tiada di rumah. Sebelum Hafis keluar rumah, Leya berpendapat adalah baik dia terlebih dahulu sampai ke rumah Hafis.
Celik sang mentari pagi itu tidak seterik panasnya seperti tengah hari. Tapi cukup juga dirasakan bila mencucuk ke liang-liang roma wajah Leya. Dikiri kanan jalan kampung yang banyak terpacak pohon-pohon kelapa sawit dan beberapa pohon rendang sepi tidak berbahasa. Sekali sekala sepoi angin pagi menyinggah ke tubuh Leya tidak langsung menghambat ke daun-daun pohon kelapa sawit atau pohon-pohon rendang itu. Mungkin pepohon itu turut bersugul simpati dengan nasib Leya. Sebelum subuh pagi tadi ada juga langit yang biru terselubung kelabu mencurahkan titik-titik jernih air. Tidaklah lebat namun cukup juga membasahi bumi yang sudah seminggu tidak di sirami air. Debu-debu jalan terpaksa akur dengan membeku diri dek kerana air hujan. Jika tidak kerana hujan itu, sudah mungkin debu-debu itu masih mampu berterbangan dan singgah didaun-daun pohon kelapa sawit.
Leya hanya berjalan kaki, tidak pula berminat hatinya untuk mengayuh basikal. Cadangnya kalau bertemu dengan Hafis nanti, dia mahu mengajak Hafis ke tempat selalu. Disitu sajalah tempat yang setia menanti dia dan Hafis bermadu kasih. Namun setelah dia dengar cerita-cerita dari Salihah, dia merasakan tempat itu sudah dicemari.
“Tak mengapalah... Sekalipun dicemari dengan kepalsuan atau kebenaran, aku tetap setia pada janji.” Bisik hati kecil Leya. Sesekali beberapa buah motosikal melintas lalu disisinya membuatkan Leya terpaksa mengelak ke tepi jalan dan kadang-kadang kalau ada kenderaan empat roda melintasinya, Leya terpaksa berhenti bagi memberi laluan kepada kenderaan itu.
Sudah pun nampak bumbung rumah Hafis sekalipun masih beberapa meter saja lagi Leya akan menjejaki ke halaman rumah itu. Tersenyum juga dia bila ternampak bumbung rumah Hafis. Hilang sekejap keresahannya, dan seketika itu hilanglah rasa rindunya pada Hafis. Benarlah kata orang, kalau sudah bercinta, tidak dapat melihat wajah yang dicinta, memadailah dapat melihat bumbung rumahnya.
Pada mulanya berat juga hati Leya untuk melangkah masuk ke halaman rumah Hafis. Ada perasaan segan mengunjungi hatinya bila difikirkan dia umpama perigi mencari timba, sekalipun dirinya sudah begitu rapat dengan keluarga Hafis.
Lama juga dia tercegat ditepi jalan simpang masuk ke halaman rumah Hafis. Sesekali dia mengaru-garu lengan dan betisnya, gatal dicuri gigit sang nyamuk. Leya masih berkira-kira antara mahu bertemu Hafis atau dia melupakan saja niatnya itu.
Leya melangkah setapak dua ke jambatan kecil parit yang menghubungi antara jalan kampung ke halaman rumah Hafis. Disitu sekali lagi dia berdiri tercegat. Sesekali dia terkejut bila ada sang haruan mengambur menyambar mangsa dari dalam parit itu. Leya masih lagi berfikir. Bercelaru sejenak fikirnya ketika itu. Bingit enjin kenderaan yang sudah mula banyak di jalan menembusi gegendang telinga tidak pula menjejaskan fikir benaknya. Leya seolah-olah langsung tidak mendengar kebingitan bunyi kenderaan itu. Leya termenung memandang ke dalam parit. Beberapa ekor anak seluang berenang-renang berkejar-kejaran menentang arus yang tidak sederas air di sungai.
“Leya! Buat apa kat sini? Kenapa tak masuk rumah?”
Satu suara yang garau lembut menegur Leya. Terkejut benar Leya ketika itu. Mujur dia tidak terjatuh ke dalam parit. Maklumlah ketika itu khayalannya sudah melangkaui arah fikirnya. Anak-anak seluang yang bermain-main melawan arus kecil yang tadi menjadi tumpuan matanya sudah tidak kelihatan lagi.
Secepat itu Leya menoleh ke arah suara garau lembut yang menegurnya. Bila dia terpandang wajah seorang lelaki, barulah dia merasa lega. Diurutnya dada berkali-kali.
“Abanggg.... Buat Leya terkejut je dia ni..” Leya mengerling manja memandang Hafis. Kalau tidak teringat olehnya hubungan dia dengan Hafis yang belum sah, mahu rasanya dia menerkam dan memeluk Hafis erat-erat. Hafis tersenyum. Leya tunduk malu.
“Masuklah dulu..” Pelawa Hafis sambil berjalan menuju ke anak tangga serambi rumahnya. Leya mengekori Hafis dari belakang. Sebenarnya pagi itu Hafis baru saja balik dari surau.
Beberapa kali Hafis memberi salam, kelihatan daun pintu rumahnya dibuka mak Junah. Mak Junah menjawab salam dari Hafis.
“Leya....” Tegur Mak Junah. Leya memberi salam. Salam di sambut “ Naiklah...” Jemput Mak Junah. Leya hanya mengangguk. Hafis berjalan masuk ke dalam biliknya.
Leya sudah pun berada di ruang serambi. Dia menarik kerusi rotan yang tersedia di ruang serambi dan melabuhkan punggungnya. Mak Junah turut sama.
“Pagi lagi Leya dah ke mari, dari mana tadi?” Tanya mak Junah. Leya serba salah untuk menjawab.
“Leya nak ke bandar, ingat nak ajak abang Hafis temankan.” Mahu tidak mahu dalam terasa serba salah dan segan, Leya mencari alasan yang logik diterima akal oleh mak Junah.
“Ada apa nak ke bandar, Leya?”
“Emm... Leya nak cari buku rujukan. SPM dah dekat.”
“Baguslah tu.” Sambut mak Junah, terangguk-angguk tanda setujunya mak Junah tentang pendapat Leya itu. “Hafis! Mana kau ni? Leya nak ajak ke bandar ni..” Mak Junah memanggil Hafis agak kuat suaranya.
Hafis yang mendengar panggillan ibunya itu, keluar dari dalam biliknya.
“Ke bandar?” Tanya Hafis agak pelik. Sejak dari tadi tidak pun Leya bercakap dengannya tentang cadangan hendak ke bandar. Fikir Hafis.
“Leya ni ajak kamu ke bandar. Cepatlah siap.” Sambut mak Junah.
“Leya nak ke bandar? Betul ke?” Tanya Hafis pada Leya yang kelihatan serba salah gayanya ketika itu.
“Aaa... Nak cari buku rujukan. Cikgu suruh cari. SPM dah dekat ni.” Teragak-agak Leya bercakap dengan Hafis. Sebenarnya bukan itu niat hatinya dia bertemu Hafis pagi itu. Tapi apalah dayanya untuk berterus terang dihadapan ibu Hafis. Sudah tentu tercemar juga maruahnya kalau didengar oleh ibu Hafis nanti. Sudah tentu bermacam-macam persoalan akan timbul dan tanggapan ibu Hafis kelak bila cerita yang tersebar dari mulut Salihah didengarnya.
“O! Hafis nak tukar baju sekejap.”
“Itulah semalam tak ke sekolah. Lewat bangun katanya. Dah tu menghilang tak tentu mana perginya, senja baru balik. Malam pulak asyik memerap dalam bilik. Entah apa yang dibuatnya, mak cik pun tak tahu.” Bebel mak Junah. Leya tersenyum. Hafis dapat mendengar apa yang dibebel oleh ibunya sekalipun dia telah berada didalam biliknya. Namun dia malas hendak menjawab. Memang itulah perangai Hafis yang tidak suka melawan atau menjawab kata-kata ibunya.
“Pak cik mana, mak cik?” Leya cuba beralih cerita. Dia tidak mahu ibu Hafis membebel panjang pasal perangai Hafis. Leya tahu kenapa dan apa sebabnya Hafis berperangai pelik seharian semalam. Dia tahu Hafis ada masalah.
“Ke kebun. Ingatkan dia tak ke kebun pagi ni, sebelum subuh tadikan hujan. Tengok tak lebat, berubah pulak fikir pak cik kau tu.” Jelas mak Junah. Leya terangguk-angguk mendengar.
Sebentar kemudian Hafis keluar dari biliknya. Memakai jaket hitam berseluar jeans dan berkemeja biru. Ditangannya terbimbit dua biji helmet. Hafis mencapai segugus kunci yang tersangkut di tiang rumah.
“Jom Leya,” pelawanya. Hafis kemudian bersalaman dengan ibunya. Meminta izin untuk keluar rumah. Leya turut sama.
Leya dan Hafis sudah pun tertenggek diatas motosikal. Deruman enjin motorsikal semakin lama semakin hilang dari telinga ibu Hafis. Sudah jauh Hafis dan Leya meninggalkan kawasan rumah Hafis. Ibu Hafis sudah pun ke dapur semula untuk menyambung tugasan rutinnya.
JALAN kampung yang berturap tar tetapi masih juga berkurap dengan lubang-lubang kecil dan ada juga lubang besar yang dipenuhi takungan air hujan membuatkan motorsikal yang ditunggang oleh Hafis dan Leya terhenjut-henjut. Jika tidak kerana fikirkan hubungan yang belum sah, mahu juga Leya memeluk pinggang Hafis. Maka terpaksalah Leya melupakan keinginannya itu. Baginya duduk dibelakang Hafis dan sesekali berlaga tubuh, sudah cukup menghangatkan perasaan, apalagi kalau andainya dia memeluk Hafis. Leya tersenyum sendirian. Sepanjang perjalanan itu tidak sepatah pun Hafis bersuara. Leya juga menyepi. Ketika itu bermacam-macam perkara sedang berlegar dibenak mereka berdua. Perjalanan dari rumah Hafis ke simpang jalan besar untuk kebandar lebih kurang 3 kilometer jauhnya. Oleh kerana lubang yang banyak ada dijalan berturap itu, maka kelajuan setiap kenderaan yang menggunakan jalan itu terpaksalah diperlahankan dan sesekali tidak ubah bagaikan kura-kura merangkak-rangkak.
Seketika kemudian Hafis membelok masuk ke simpang warung Salih. Hafis memberhentikan motosikalnya disitu. Hairan juga Leya bila Hafis berhenti di warung Salih ketika itu. Hafis menyuruh Leya turun. Leya akur dengan kehendak Hafis. Kemudian Hafis turun dan menongkat motosikalnya.
“Jom, kita minum dulu.” Pelawa Hafis. Leya bersetuju. Kebetulan Leya pun belum bersarapan pagi.
“Bang!” Tegur Hafis pada Salih.
“Aaa... Hafis, Leya pun ada. Nak ke mana pagi-pagi ini?” Tanya Salih dengan menghampiri kedua mereka. Hafis membuka topi keledar yang dipakainya dan meletakkan ke atas meja. Kemudian menarik keluar sebiji kerusi dan terus meletakkan punggungnya. Leya juga.
“Cadang nak ke bandar.” Jelas Hafis.
“Ada apa ke bandar?” Tanya Salih lagi.
“Nak cari buku rujukan. SPM dah dekat ni.” Sampuk Leya.
“Baguslah tu. Aku doakan kau orang berdua nanti lulus SPM tu dan kalau boleh biarlah masuk universiti. Sekurang-kurangnya ada anak-anak muda kampung ni yang berjaya ke menara gading tu. Jangan jadi macam aku ni..” Nasihat Salih beriya-iya lagaknya. Leya terangguk-angguk setuju. Hafis mencapai lipatan akhbar yang ada diatas meja, membukanya. “Kau berdua nak minum apa?” Tanya Salih pula.
“Bagi saya minuman biasalah bang..” Sambut Hafis. “Macam tak tahu pulak abang ni.” Jelas Hafis, lagaknya pagi itu seperti ceria. Namun hakikatnya dia masih di dalam keresahan. Leya memesan air yang sama kegemaran Hafis.
“Samalah dengan saya bang..” Ujar Leya.
“Yelah tu... Ini dikatakan sehati sejiwa. Minum pun air yang sama.” Usik Salih sambil ketawa kecil.
“Leya nak minum air macam yang abang order ke?” tanya Hafis pada Leya. Leya tergamam sejenak.
“Aaa..Kenapa? Tak boleh ke?” Tanya Leya yang sedikit keliru.
“Bukan tak boleh. Abang order air suam aje.” Sengaja Hafis hendak menguji Leya.
“Leya pun memang minum air suam tiap-tiap pagi, sebelum ke sekolah.” Ujar Leya bersungguh-sungguh. Sebenarnya apa yang dia katakan pada Hafis tu tidak seperti yang terfikir didalam benaknya. Serba salah juga Leya ketika itu.
“Tak lah, abang bukan order air suam, abang order milo ais.” Hafis mengusik lagi.
“O...Tak pe... Em... Okey.” Serba salah Leya ketika itu. Dia diam sejenak.
“Kenapa diam?” Tanya Hafis.
“Tak ada apa-apa...Saja nak diam, tak boleh?”
“Boleh...Diamlah..Sejak bila dah pandai nak jadi seorang pendiam ni?” Ujar Hafis sengaja mengusik Leya.
“Ok.... Tapi lepas ni jangan tanya apa-apa dengan Leya tau.”
“Kenapa pulak?”
“Sebab Leya dah diam. Tak boleh bercakap. Nak jadi seorang pendiamlah.”
“Dahlah tu... Apa juga yang ditengkarkan pagi-pagi ni Leya, Hafis.” Salih mencelah ketika menghantar dua gelas teh tarik.
“Tak ada apa-apa bang, saja mengusik Leya ni.” Ujar Hafis dengan melemparkan senyuman dan sekaligus membongkok, menggaru-garu betisnya yang gatal digigit nyamuk.
“Abang!... Abang ni memang jahat tau...” Jerit perlahan Leya melepaskan geramnya pada Hafis.
“Kenapa pulak?” Tanya Hafis.
“Kata air suam, lepas tu milo ais, ni yang air teh pulak kenapa?” Leya menjeling melepaskan geram. Hafis ketawa kecil. Salih turut senyum lebar melihat gelagat kedua mereka itu.
“Leya marah?” Hafis memujuk lembut suaranya.
“Taklah...” Sambut Leya sambil jari-jarinya mencapai gelas yang berisi teh tarik.
“Kau orang minumlah. Tu ada nasi lemak, ada karipap, kalau nak mee maggie pun boleh abang buat.” Ujar Salih. Kemudian meninggalkan Hafis dan Leya.
“Mamee ada?” Tanya Hafis sambil tergelak kecil.
“Mee tu tak ada stok. Mungkin tahun depan kot ada kat pasaran.” Sampuk Salih yang sedang membancuh minuman yang dipesan oleh beberapa pelanggannya yang lain. Hafis dan Leya tergelak kecil.
Kemudian kedua mereka terdiam seketika. Sudah mula difikiran mereka menerawang masalah yang membendung sejak semalam. Namun gelagat Hafis ketika minum tidak jauh bezanya seperti selalu. Dia menghirup teh tarik dengan menuangnya ke piring. Leya memerhatikan saja gelagat Hafis. Leya sudah biasa dengan perangai keanak-anakkan Hafis.
“Leya nak abang ke bandar ke atau ke... tempat biasa?” Tiba-tiba saja Hafis bersuara. Tergamam Leya ketika itu. Terhenti dia menghirup teh tarik dari gelas yang sedang digenggaman tangannya. Dia memandang tepat ke wajah Hafis. Hafis masih menghirup air teh yang ada di piring.
“Leya nak ke tempat biasa. Bukan hendak ke bandar.” Leya menjawab perlahan.
“Kenapa?”
“Di situ ada ketenangan.”
“Bukan kekusutan?”
“Membuka simpul yang kusut.”
“Terurai kah?”
“Tidak ada jalan terbaik.”
“Percaya?”
“Hampir..”
“Baguslah...”
“Kenapa?”
“Tak ada apa-apa.”
“Jika benar, mungkin percaya.”
“Jika tidak benar?”
“Tuhan saja yang tahu...”
SEJAK peristiwa itu dan setelah Hafis jelaskan perkara sebenar, barulah lapang dada Leya. Tidak pernah terfikir oleh Leya yang Salihah sanggup menggadai maruahnya semata-mata kerana cinta. Selama ini detik hati Leya memang berat mengatakan yang Salihah menyimpan perasaan terhadap Hafis kekasihnya. Sebenarnya Leya tidak kisah sangat andainya sahabat karibnya itu berterus terang padanya yang dia juga menyintai Hafis. Leya boleh terima hakikat andainya cinta Salihah terbalas dek Hafis. Leya sanggup berkorban melupakan Hafis dan menganggap Hafis sebagai sahabat. Leya tahu yang Salihah saja yang tergila-gilakan Hafis, Hafis tak langsung mengambil kesempatan bermain api dengan sahabatnya itu. Leya tahu yang Hafis lelaki yang jujur dan ikhlas. Leya mempercayai sepenuhnya Hafis.
Leya tersenyum sendirian, berdiri melemparkan pandangan jauh ke luar rumah dari lubang jendela yang besar ternganga mampu membebaskan hembusan angin masuk dan keluar ke dalam rumahnya. Senyumnya panjang, walaupun peristiwa itu zaman dia masih sekolah, namun dia masih mengingatinya sebagai satu kenangan abadi, malah ada kalahnya mahu dijadikan sebagai satu lipatan sejarah percintaannya.
“Hafis, Hafis... Kaulah kekasihku...” Bisik hati Leya.
Masa kini memisahkan peristiwa itu yang hanya sebuah lembaran kehidupannya. Kini dalam usianya menjangkau 20-an, dia memang sudah bersedia untuk menerima satu lagi tanggungjawab baru yang lebih mencabar, romantik, dramatik dan erotik. Dia bukan lagi remaja sekolah, Leya sudah remaja yang perlu mengharungi kehidupan sebagai seorang dewasa. Pertunangannya dengan Hafis sudah hampir mencecah dua tahun. Bulan November tahun ini merupakan hari dia dan Hafis mengakhiri zaman bujangnya. Hanya tinggal beberapa bulan saja lagi.
“Ahh....” Sesekali Leya mengeluh panjang bila memikirkan tentang hari perkahwinannya yang semakin tiba. Lima bulan bukan jangka masa yang panjang. Pejam celik bangun tidur dari waktu malam saja kita sudah ditemukan waktu siang. Belum pun sempat menyudahkan kerja-kerja harian, kita telah dipimpin oleh waktu malam. Malam yang menjemput setiap kehidupan alam untuk merehatkan diri dari dibelenggu dengan tugasan harian.
Terfikir oleh Leya tentang dirinya. Sampai bila dia harus bekerja kilang? Juga Hafis, Hafis yang menganggur lagi. Dua bulan lalu Hafis diberhentikan kerja dek kerana majikannya tak mampu membayar gaji. Walaupun wang hantaran telah Hafis selesaikan, namun apa yang penting bagi Leya ialah kepentingan selepas berkahwin nanti. Tanpa kerja, tak ada wang. Gaji Leya pun bukanlah besar sangat. Baru-baru ni Hafis ada menghadiri temuduga, Leya berdoa agar Hafis dapat kerja. Tidaklah Leya rasa segan dapat suami yang dikutuk dek orang kampung menganggur. Leya tak mahu nanti ada orang mengata Hafis makan hasil bini. Walaupun Leya sayangkan Hafis dan sanggup berkorban apa saja, tapi dia juga inginkan kehidupan yang lebih sempurna dari apa yang dia ada sekarang.
“Mana perginya Salihah agaknya ye?” entah mengapa spontan itu fikir benak Leya tergambar tentang Salihah sahabat lamanya itu. Leya tak pernah menganggap Salihah musuhnya sekalipun dia pernah melukakan perasaannya. Sahabat tetap sahabat. Persahabatannya dengan Salihah bukan baru sehari dua, malah sejak dari hingusan lagi. Sama-sama berkubang dilecak, sama-sama kena belasah oleh ayahnya. Salihah dah macam darah daging sendiri. Sakit Salihah, sakitlah juga Leya. Menangis Salihah, menangislah Leya. Cuma entah mengapa Salihah mula berubah haluan, mengasingkan diri sejak dibangku sekolah menengah, ketika ditingkatan lima. “Mungkin dia cemburu tentang hubungan Leya dengan Hafis agaknya, itulah yang membuatkan Salihah mengasingkan diri dari Leya.” Sesekali terlintas di benak tanggapan negatif Leya terhadap Salihah.
Sejak lepas tamat peperikasaan SPM, Leya tak lagi bertemu dengan Salihah. Dengar cerita, Salihah ke Kuala Lumpur. Berhijrah ke sana mencari pekerjaan. Entah apa pekerjaannya, tak langsung Leya tahu. Kadang-kadang terfikir juga Leya tentang kemampuan Salihah dalam pelajaran yang dapat ditandinginya. Bukan Salihah bodoh, tapi keputusan peperiksaan SPM Salihah terlalu tipis lulusnya. Zaman sekarang ni, kalau setakat kelulusan SPM apalah peluang pekerjaan yang boleh dicari? Fikir Leya lagi.
“Ah! Terpulanglah pada dia, mudah-mudahan dia dapat kerja yang baik dan halal.” Terlintas juga Leya mendoakan sahabatnya itu agar jadi gadis sempurna. Maklumlah, duduk di Kuala Lumpur terlalu banyak cabarannya. Tambahan pula Salihah tu perempuan, ada paras rupa, macam-macam boleh berlaku kalau tak fikir panjang dalam banyak hal.
Mahu juga Leya bertanya khabar Salihah dari keluarga Salihah. Dengar cerita Salihah kerja sebagai Personal Assistant pada seorang Datok. Tersenyum panjang Leya bila mendengar cerita tentang Salihah. Senyumnya bukan sinis dan bukan pula kerana dia menghina tentang keupayaan Salihah. Baginya, dia berbangga bila mendengar kehebatan sahabat lamanya. Mungkin paras rupa Salihah agaknya yang membuatkan datok berkenan dengannya.
“Hai... Nasib orang siapa sangka. Benar kata pepatah tuah ayam nampak ditaji, tuah manusia tak siapa tahu.” Kata hati Leya. Tersenyum lagi dia bila memikirkan tentang Salihah.
“Aku? Entahlah, apa nak jadi dengan masa depan aku pun belum tentu.” Fikir benak Leya lagi.
Sesekali terlintas juga di fikiran Leya untuk mencuba-cuba nasib mencari pekerjaan di Kuala Lumpur. Tapi macam mana caranya dan pada siapa dia perlu bertemu, maklumlah Kuala Lumpur bukan macam pekan kampungnya. Bandaraya metropolitan, global dan kebebasan yang sukar dikawal. Sudah tentu macam-macam perkara boleh berlaku kalau tidak ada orang kenal dan kalau kenal sekalipun mestilah orang terdekat seperti keluarga. Tidak boleh percaya dengan sebarangan orang sekalipun kenal. Ramai yang terjebak dengan kenalan yang bukan saudara mara. Leya pula tidak punya saudara mara di Kuala Lumpur. Kalau berlaku apa-apa kepadanya, sukar untuknya meminta bantuan.
Berfikir tentang risiko yang dia tidak berani, akhirnya dilontarkan jauh-jauh keinginannya untuk mencuba nasib mencari pekerjaan di Kuala Lumpur.
“Ah... Biarlah di sini saja, pun boleh cari makan.” Bisik hati kecilnya. Bukan dia lemah semangat atau dia berpegang teguh dengan peribahasa Melayu ‘rezeki secupak tak akan jadi segantang, atau ulat dalam batu pun boleh hidup,’ tapi dia masih terlalu bodoh untuk bergaul dengan masyarakat kota yang hebat-hebat belaka. Hebat yang luar biasa dalam kehidupan seharian. Tipu daya dan macam-macam lagi. Jadi sebelum dia terjebak ada baiknya dia beringat terlebih dahulu. Leya masih terdiri mengelamun jauh di jendela. Sesekali hembusan angin lembut petang menyinggah keuraian rambutnya dan mengimbas ke cuping telinga. Nyaman dan dingin...
No comments:
Post a Comment