BERSAMA SAYA SUTERA KASIH,DALAM RUANGAN DUNIAKU CERITAKU

followers

Wednesday, 13 April 2011

Bab 1: Langkah Yang Terhenti

Photobucket
AIR MATA SEMALAM
 oleh: suteraungu


BAB 1

Langkah Yang Terhenti


Sudah jauh kaki Hafis melangkah meninggalkan anak tangga surau. Selepas selesai berdoa ketika solat Asar, tergesa-gesa Hafis meninggalkan surau. Pak Imam Salih belum pun sempat bertanya ke mana Hafis nak pergi tergesa-gesa. Pak Imam Salih hanya sempat menerima salam dari Hafis. Adalah sepuluh orang jemaah Asar di surau petang itu. Memang sudah lazim keadaan surau ketika solat Asar sejumlah itu kehadiran penduduk Kampung Bukit Kemang. Bukan kerana orang kampung tak gemar untuk berjemaah keadaan masing-masing yang masih sibuk dengan tugas dan pekerjaan. Ada yang masih di kebun dan ada yang tengah syok memancing, macam-macam hal lagi yang sedang berlangsung di suasana petang sebegitu. Langkah demi langkah kaki Hafis agak deras menyusur lorong kecil dan mencecah ke kerikil jalan yang ditar. Masih panas kerikil yang bercantum dengan tar, sebab baru semalam kerikil bertar ditabur dan digilis licin. Bukan jalan baru tapi hanya menokok tambah jalan yang berlubang dan sesekali lubang-lubang itu dipenuhi air hujan. Licinlah nampak jalan kampung itu bila tar disalutkan semula.
    Ke mana Hafis agaknya tak siapa tahu. Hanya dia yang mengetahui ke mana hala tujunya. Sudah selalu malah kerap selepas selesai solat Asar, Hafis hilang. Kalau nak jumpa dia, mudah saja. Tuju saja ke warung Salih di simpang jalan Kampung Bukit Kemang. Di situlah tempat lepaknya bersama anak-anak muda kampung dan tidak terkecuali penduduk-penduduk kampung yang separuh abad usianya. Dari celah-celah warung itu juga boleh mengintai minah-minah kilang yang baru turun dari bas  pulang dari kerja. Si kekasih menunggu si kekasihnya di simpang itu dan di situ juga si tua ganyut yang tidak sedar diri, masih miang pun mengambil peluang mengurat anak-anak dara yang turun bas, padahal anak-anak dara itu semua  selayak dipanggil anak.
    “Balik yanggg...” seperti itulah bahasa si tua ganyut menegur anak-anak gadis itu. Maka elok benar anak-anak gadis itu menjawab dengan lemah lembut lidahnya.
    “Ya, pak cik... tak ke surau pak cik?” Maka macam kena sawanlah si tua ganyut itu malu dengan perangai buruknya. Tapi jenis manusia tak sedar diri ini, bak kata pepatah ‘rumah kata pergi, kubur kata mari’, masih tak tahu malu. Kalau dah miang, tetap miang juga.
    “Tulah, abang tak tahu jangan salah sangka dengan saya.”
    “Apa ke benda AF tu Hafis?”
    “Akademi Fantasia.”
    “Ooo....”
    “Apa yang ooo...?”
    “Entah. Apa bendanya tu?”
    “Nantilah saya beritahu.”
    “Tu bas kilang dah sampai. Tunang kau tu...”
    Hafis bingkas bangun dari duduknya berjalan laju mendekati Leya.
    “Leya, ada tak?”  Tak  sabar Hafis menunggu sesuatu yang dipesannya dari Leya, tunangnya.
    “Adalah bang...” Ujar Leya sambil menyeluk ke dalam begnya dan mengeluarkan sesuatu yang bergulung. Hafis cepat mencapai benda itu. Segulung majalah yang dihulur oleh Leya kepadanya.
    “Jom kita minum dulu,” pelawa Hafis pada Leya.
    “Tak pelah bang, Leya nak balik cepat. Mak pesan barang ni. Kena cepat pulang ke rumah.” Hafis tak menghalang bila Leya menolak. Hafis pun tak nak diumpat orang kampung jika sering berdua-duaan.
    “Okey,” ujar Hafis. “Jalan baik-baik.” Leya mengangguk senyum.
    “Balik dulu bang.” Sambut Leya. Dia melemparkan senyum manjanya. Hafis juga tersenyum  manis sebagai membuktikan sayangnya dia pada Hafis, tunangnya.
    Hafis melangkah semula masuk ke warung dan duduk ke kerusi asal dia duduk sebelum ini. Dia menarik gelung getah pengikat majalah yang bergulung itu. Di selaknya helai demi helai mencari sesuatu dari dalam majalah itu. Kemudian terhenti. Matanya memerhati satu ruang yang penuh dengan gambar-gambar. Tertulis beberapa perkataan ‘Akademi Fantasia’ semakin hebat, malam ini konsert akhir ‘Akademi Fantasia,’ antara isi tulisan dari helaian kertas di majalah itu. Hafis menggeleng, seperti seorang yang kecewa nampaknya.
    “Apa tu, Hafis?” Salih menghampiri Hafis yang asyik membaca tulisan dalam muka surat majalah itu.
    “Inilah dia ‘Akademi Fantasia’ bang.” Jelas Hafis.
    “Oo... Dah tu, apa kena mengena dengan kau?” Tanya Salih hairan.
    “Saya nak masuk ‘Akademi Fantasia’ ni bang,” beritahu Hafis. Matanya memandang tepat ke muka Salih.
    “Masuk? Nyanyi?”
    “Emm...”
    “Eh, betul ke Hafis?”
    “Ya bang... Tahun depan.” Beriya-iya Hafis menjelaskan pada Salih.
    “Dapat apa?”
    “Kalau berjaya dapat macam-macam, kereta, rumah, duit dan nama bang.”
    “Ikut suka kaulah Hafis, abang suka kalau kau berjaya. Kau pun ada bakat. Menyanyi pandai, mengaji pandai, azan pun sedap, berzanji pun, pendek kata kau ni memang serba bolehlah.” Puji Salih. Hafis tersenyum lebar.
    “Entahlah bang, ini semua nasib bang. Kalau ada rezeki, manalah tahu satu hari nanti saya dapat mempopularkan kampung ini.” Besar hajat dan cita-cita Hafis.
    “Kalau kau berjaya, Alhamdulillah, abang tumpang gembira kalau kau berjaya. Cubalah.” Salih sungguh-sungguh memberi galakan pada Hafis.
    “Insya-Allah bang,” sahut Hafis. Matanya masih terpaku pada warna-warni gambar di dalam majalah itu.
    “Bagus Hafis.” Ujar Salih sambil tangannya menepuk-nepuk bahu Hafis tanda memberi semangat dan sokongan. “Tapi kalau dah berjaya jadi artis popular nanti jangan lupa pula dengan orang kampung. Tunang jangan kau putuskan, kasih sayang kau dengan Leya jangan berubah. Mak bapak kau jangan kau lupa. Aku ni pun jangan kau tak kenal lagi nanti. Maklumlah dah popular, dah campur dengan artis perempuan yang cun-cun tu.” Nasihat Salih, sambil mengusik.
    “Eh! ke situ pulak abang ni. Taklah. Saya tetap saya bang.”
    “Bukan apa Hafis, aku tengok ramai yang jadi artis, gosip sana, gosip sini. Perempuan sana perempuan sini. Lupa sembahyang, lupa mengaji, lupa diri. Terjebak pulak tu dengan gejala dadah, yang perempuan pulak terdedah sana, terdedah sini, peluk jantan, selak peha. Eee! Tak tahulah abang. Dulu sebelum jadi artis pakai tudung, dah jadi artis tudung buang entah ke mana, rambut pun dah berwarna macam orang putih.” Panjang lebar Salih bercakap, macam ustaz berceramah dalam tv lagaknya.
    “Itu dia orang bang, saya ada imej dan cara saya sendiri bang. Abang tengoklah nanti.”
    “Baguslah kalau macam tu. Ni masa kat kampung kau pakai kopiah putih, kau tu dah jadi bilal. Nanti kalau jadi artis, aku takut kau lupa kopiah kau tu.” Usik Salih lagi. Sebenarnya dia bukan nak mengusik saja-saja, dia nak mengingatkan Hafis agar jangan lupa diri kelak.
    “Bang, saya ni kan belum masuk lagi ‘Akademi Fantasia’ tu bang.”
    “Ya tak ya juga. Kau pun baru bercadang nak masuk. Aku ni duk membebel apa halnya kan?”
    Petang itu kebetulan di warung Salih tidak sesibuk selalu. Kadang-kadang ramai pengunjung. Hari itu saja yang tak ramai. Adalah dua tiga orang tua yang duduk bersembang, menghisap rokok dan minum. Sempatlah Salih bersembang panjang dengan Hafis. Kalau tidak, tak menang tangan Salih melayan kerenah pelanggannya. Selalunya musim gaji, cukup bulan atau musim menimbang getah, ramailah orang kampung dari kalangan orang tua dan anak muda duduk di warung kopi Salih. Bulan tua, wang di saku pun kurang, maka ramai yang duduk di rumah terpaksa menikmati sajian kopi panas isteri masing-masing sekalipun tak seenak kopi panas di warung Salih.
    Kopi panas warung Salih ada umm!!! Itu kata orang kampung yang semuanya jejaka dan jantan-jantan muda dan tua-tua keladi. Kenapa? Sebabnya kedudukan warung Salih tepi simpang masuk ke kampung, mengadap ke jalan-raya dimana disitulah tiap-tiap pagi atau petang bas-bas kilang mengambil dan menurunkan penumpang-penumpang yang kebanyakannya anak dara. Tidak ketinggalan juga dengan Hafis. Tunangnya pun kerja kilang. Hafis saja jadi ustaz di Sekolah Agama Rakyat Kampung Bukit Kemang. Dia juga bilal surau, bilal muda yang sesekali menggantikan Haji Daud jika tak dapat berazan kerana orang tua itu dah uzur sangat. Tapi semangatnya kuat untuk menyahut seruan Allah.
    “Cadangan kau jadi ke nak masuk ‘Akademi Fantasia’ tu? Kalau jadi, mak kau bagi ke?” Tanya Salih pada Hafis yang tengah syok membaca setiap tulisan dalam helaian majalah. Tak pula cepat dijawabnya pertanyaan Salih. Seketika kemudian dia memalingkan mukanya memandang tepat ke muka Salih. Mulutnya macam nak berkata sesuatu. Tapi masih tak terluah.
    “Kalau mak kau  tak bagi kau masuk?” Tanya Salih lagi.
    “Entah.” Ringkas jawab Hafis. Kemudian melemparkan pandangannya ke arah simpang jalan yang kebetulan itu dia terpandang seorang lelaki berusia lingkungan 40-an menunggang motosikal perlahan masuk menuju ke arah warung Salih. Hafis kenal lelaki itu. Matanya terus memerhatikan perlahan-lahan motosikal yang ditunggang lelaki berusia itu mendekati warung Salih. Kemudian, motosikal itu berhenti tanpa deruman enjinnya dimatikan. Lelaki berusia itu turun dari tempat duduk, menarik keluar tongkat motosikal dengan kaki kanannya, menongkat motosikalnya. Kemudian memulas anak kunci mematikan deruman enjin. Menghala ke pintu warung.
    “Ayah kau tu Hafis.”  Ujar Salih. Hafis tidak menjawab. Matanya masih tidak lekang memandang ke arah ayahnya.
    “Assalamualaikum...” Haji Seman memberi salam pada semua yang ada di warung Salih. Salamnya disambut. Haji Seman memandang tepat ke arah Hafis. “Hafis... Kau ada kat sini? Nanti kalau nak balik kau ambil ikan dengan sayur kat bakul motor tu sekali. Mak kau nak menggulai, malam ni tak ada lauk.” Tegur Haji Seman pada anaknya, Hafis. Hafis mengangguk tanda setuju dengan suruhan ayahnya.
    “Bang, saya balik dululah bang, tak sedaplah  bersembang kalau ada ayah. Lagipun nak hantar lauk tu. Nanti lambat pulak mak masak.” Hafis minta diri. Salih tak kata apa. Dia senyum tanda faham yang Hafis memang budak yang menghormati orang tua.
    “Pak Haji nak kopi panas ke?” Salih menawarkan khidmat niaganya pada Haji Seman yang baru saja hendak meletakkan punggungnya di kerusi berdekatan dengan dua lelaki yang seusia dengannya.
    “Memanglah, kalau tak nak, buat apa aku ke mari Salih.” Ujar Haji Salih. “ Lagi satu Salih, yang Hafis minum tu biar aku yang bayar.” Beritahu Haji Seman pada Salih. Salih mengangguk. “Hafis kau bawak motor tu sekali. Ayah lambat lagi nak balik. Nanti kalau nak balik ayah tumpang kereta  Pak Sudin ni.” Pinta Haji Seman pada Hafis. Hafis hanya mengangguk terpaksa menurut kehendak ayahnya.
    Beberapa minit kemudian selepas enjin motor kedengaran dihidupkan, bayang Hafis pun sudah tidak kelihatan. Haji Seman, Pak Sudin dan Wak Kamal asyik bersembang seronok. Entah apa yang diseronokkan oleh mereka bertiga itu langsung tak dipedulikan oleh Salih. Kemudian, Salih menghantar segelas kopi panas kepada Haji Seman. Salih meninggalkan mereka bertiga, menjauhkan diri duduk tersorok ditepi meja tempat membuat minuman. Sesekali dia mencuri dengar perbualan ketiga-tiga veteran kampungnya itu.
    “Kampung kita ni, tentang politiknya hebat, nampak semakin maju, tapi jalan ke kampung tak juga maju-maju, macam tu juga dari dulu. Kalau berlubang saja tampal, itupun makan masa, tunggu sampai kita komplen baru dibuat. Kampung kita ni sepatutnya dah lama membangun. Sekolah menengah dah patut ada. Ini tidak, anak-anak nak ke sekolah menengah terpaksa ke bandar.” Kedengaran rungut Haji Seman. Haji Seman memang terkenal dengan sikap agresifnya dalam politik. Malah Haji Seman telah dilantik orang kampungnya sebagai ketua cawangan. Dia memang berpengaruh, malah wakil rakyat sendiri pun takut dengan Haji Seman. Kalau mesyuarat, suara Haji Seman sajalah yang lantang menyuarakan ketidakpuasan hati orang-orang kampungnya. Dia pemimpin yang berjiwa rakyat sungguhpun dia tidak terpilih sebagai wakil rakyat.
    Terangguk-angguk Wak Sudin dan Wak Kamal mendengar apa yang dikatakan oleh Haji Seman. Bersungguh-sunguh mengiyakan percakapan Wak Seman.
    “Kita kena jumpa wakil rakyat secepat mungkin, haji.” Sampuk Wak Sudin.
    “Betul tu haji.” Wak Kamal mengiyakan.
    “Aku ni, bukannya tak nak jumpa wakil rakyat tu. Rasanya dah berbuih mulut aku ni minta dipercepatkan supaya jalan ke kampung ni diperlebarkan dan sistem pengangkutan perlu diadakan sampai hujung kampung kita.” Ujar Haji Seman.
    “Apa kata YB, haji?” Wak Kamal meminta penjelasan.
    “Katanya tengah tunggu bajet 2006. Tunggu Pak Lah bentangkan di Parlimen. Kata YB bajet 2005 dah habis,” ujar Haji Seman. “Bak aku rokok kau sebatang Kamal.” Pinta Haji Seman. Wak Kamal menghulurkan sekotak rokok yang ada di tangannya kepada Haji Seman.
    “Kau ni Kamal, kerajaan sudah penat berkempen pasal jangan hisap rokok. Kau tak juga berhenti merokok. Lagi pun cukai rokok naik. Rokok sekarang mahal. Kau sepatutnya berjimat. Duit beli rokok ni kau boleh buat belanja pasar ataupun kau laburkan ke ASB tu.” Haji Seman membebel.
    “Haji, haji suruh saya jangan merokok, haji tu pun merokok.” Sampuk Wak Kamal.
    “Aku ni tak merokok. Tengok kau merokok seronok juga. Saja aku nak jadi tukang menghabiskan rokok kau.” Lawak Haji Seman sedikit sebanyak jadi bahan ketawa Wak Kamal dan Wak Sudin. Salih yang masih duduk tertonggok disisi meja tempat membuat minuman menumpang ketawa.
    Haji Seman mengeluarkan sebatang rokok dari dalam kotak. Kemudian dia membelek-belek tulisan yang terdapat dikotak rokok.
    “Ni kau tengok, tulis besar lagi ‘AMARAN KERAJAAN MALAYSIA, MEROKOK MEMBAHAYAKAN KESIHATAN’. Kau masih lagi tak sedar.” Ujar Haji Seman. “Bak aku lighter tu.” Pinta Haji Seman pada Wak Kamal. Wak Kamal menghulurkan lighter. Haji Seman memetik gancu lighter itu dan membakar hujung rokok yang telah pun diselitkannya antara dua cantuman bibir.
    “Haji, kalau bukan saya dari berjuta rakyat Malaysia yang merokok, macam mana kerajaan kita nak dapatkan duit untuk membangunkan Malaysia. Cukai rokoklah hasil yang paling tinggi.” Wak Kamal memberikan pendapatnya bagi membangkang kata-kata Haji Seman tadi.
    “Itu pandangan kau, pandangan kerajaan pulak, merokok ni sewajarnya dihentikan oleh individu yang merokok tu. Kerajaan menaikkan harga rokok bertujuan untuk menyedarkan kita, terutama perokok, tentang betapa pentingnya kesihatan. Dengan kenaikan harga rokok, perokok mula merasa mahalnya rokok dan secara langsung mereka akan mencuba berhenti merokok sebab pendapatan tak mencukupi.” Jelas Haji Seman penuh semangat penyokong tindakan kerajaan.
    “Senang saja kalau nak suruh rakyat Malaysia berhenti merokok. Kilang rokok tutup, penjualan rokok import diharamkan. Penanam tembakau kena ubah tajuk tanaman.” Wak Sudin campur perbualan.
    “Betul tu, tapi kau cakap memang senang, sedangkan mereka yang terlibat dengan dadah boleh dihukum gantung sampai mati pun mereka tak sedar, tak takut, inikan rokok, susah nak ubah minda rakyat.” Jelas Haji Seman. “Kita ni yang perlu ada kesedaran, bukan saja berhenti merokok, malah kita perlu tanamkan semangat cintakan kesihatan diri dengan menyemaikan kepada kanak-kanak.” Haji Seman memberikan pendapatnya.
    “Hafis hisap rokok, haji?” Tanya Wak Sudin.
    “Entah tak pasti. Kalau di depan aku, tak nampak pulak yang dia hisap rokok. Tak tahulah di belakang aku. Budak-budak zaman sekarang. Susah kita nak kawal,” ujar Haji Seman.
    Wak Kamal mencelah, “tapi Seman, senampak akulah, Hafis tu tak sama dengan budak-budak bujang kampung kita ni. Bagus si Hafis tu. Tak terfikir aku dia merokok. Tak pernah pulak dia beli rokok atau bila bercampur kawan-kawan dia hisap rokok.”
    “Aaa! betul, aku pun tak nampak. Hai! takkan pak bilal muda kita tu tak betul perangainya.” Wak Sudin mengiyakan kata-kata Wak Kamal.
    “Entahlah. Aku harap-harap taklah macam tu. Aku teringin sangat si Hafis tu jadi bilal kampung ni. Kerja tu kerja juga, dunia ni kalau dikejar lebih-lebih tak ada gunanya. Akhirat tu kalau lebih pun, hasilnya dapat dirasakan di dunia ini.” Sambut Wak Seman. Termenung panjang sejenak dia memandang ke ruang luas persekitaran warung Salih.
    “Wak Kamal, Haji Seman,Wak Sudin, Salih tak fikir si Hafis tu nak jadi bilal.” Tiba-tiba saja Salih mencelah bila sesekali dia terdengar perbualan Wak Kamal, Wak Sudin dan Haji Seman.
    “Eh! Kenapa kau cakap macam tu pulak Salih?” Agak terkejut Haji Seman bila dengar kata-kata Salih. Spontan muka Wak Kamal dan Wak Sudin berpusing beralih pandang menerjah tepat ke arah Salih yang duduk berseleku di meja.
    “Abis dia nak jadi apa pulak Salih?” Tanya Haji Seman. Hatinya agak curiga bila didengarnya dari mulut Salih yang Hafis tak mahu jadi bilal. Alangkah kesal hatinya kalaulah Hafis anak kesayangannya itu menolak saranannya untuk jadi bilal. Bercelaru sejenak fikiran Haji Seman.
    “Aaa... Salih, si Hafis nak kerja apa pulak?” Wak Kamal menyampuk cepat.
    “Kata Hafis dia...” Agak gugup juga Salih nak meneruskan kata-katanya. Takut kalau-kalau Haji Seman mengamukkan si Hafis bila dapat tahu apa yang hendak disampaikannya nanti.
    “Apa yang teragak-agak nak cakap tu Salih? Cakap jelah. Nak juga aku tahu apa yang si Hafis nak buat kalau tak jadi bilal.” Cepat-cepat Haji Seman mencelah. Tak sabar dia nak dengar apa yang Salih hendak sampaikan tentang niat Hafis.
    “Macam ni... Haji , Wak, pernah dengar ‘Akademi Fantasia’ tak?” Tiba saja Salih menyoal mereka bertiga yang mulut terlopong mendengar kata-kata Salih.
    “Apa ke bendanya ‘Akademi Fantasia’ tu Salih. Manalah aku tahu perkataan moden ni. Aku ni sekolah atap. Kalau alif baa ta tu taulah.” Celah Wak Kamal. Tergelak Haji Seman. Turut diselangi sengih Wak Sudin.
    “Aku tau...” Cepat saja Haji Seman menyampuk.
    “Apa ke bendanya ‘Akademi Fantasia’ tu Haji. Kira Haji ni tak ketinggalan zaman jugalah yeee.” Ujar Wak Sudin.
    “Jangan main-main, inilah berkat orang suka membaca buku, surat khabar, majalah macam Haji ni. Jadi ilmu tu sentiasa ada dan baru dapat. Lainlah macam kau Wak Sudin. Cangkul, sabit, mesin rumput, kelapa sawit, jagung, ayam, itik, kambing itu saja yang kau tau. Paling tinggi kau tau, main dam haji. Kalau dam kaulah yang nombor satu. Tak ada orang lain dapat lawan.” Usik Wak Kamal pada Wak Sudin. Mencebik  bibir birat Wak sudin bila dicemuh oleh Wak Kamal.
    ‘Udahlah tu... Jangan cakap macam tu tak baik Kamal. Engkau pun apa kurangnya. Kan ada baiknya kita ni walaupun dah tua kena ada sikap berubah pandangan, kena ada wawasan. Kena ikut perkembangan. Jangan macam kodok bawah tempurung.” Nasihat Haji Seman. “ ‘Akademi Fantasia’ tu... Untuk anak-anak muda yang berbakat mencuba nasib bertanding untuk jadi artis. Calon-calon yang telah diuji bakat dan layak akan dipilih untuk menyertai ‘Akademi Fantasia’. Kalau berjaya dapatlah hadiah. Lumayan pulak tu. Tulah yang si Hafis ada cakap dengan aku minggu lepas.” Jelas Haji Seman. Tak pula disangka oleh Salih yang Haji Seman dah tahu, anak kesayangannya  si Hafis nak menyertai ‘Akademi Fantasia’.
    “Kalau dah tau, apa pendapat Haji tentang Hafis tu?” Secepat kucing berlari Salih mendekati meja tempat Haji Seman, Wak Kamal dan Wak Sudin bersembang bila saja dia dapat tahu yang Haji Seman sudah tahu tentang keinginan Hafis.
    “Aku tak larang... Tapi mak dia tu yang tak suka. Maksiat, kata bini aku. Aku fikir Hafis tu ada bakat. Yalah mencuba, manalah tahu nasib baik ada rezeki dia jadi penghibur nombor satu kat Malaysia ni. Nama kampung kita juga yang harum.” Ujar Haji Seman, tangannya sempat mencapai segelas teh yang sudah dingin.
    “Jadi artis?” Terkejut Wak Sudin. “Bilal... Macam mana?” Tanya Wak Sudin agak keliru dengan keputusan Haji Seman. Fikirnya dalam hati kenapalah Haji Seman boleh benarkan Hafis jadi artis, sedangkan Haji Seman tu orang yang disegani di kampung tentang ilmu agama. Ini pulak tiba-tiba saja anak kesayangannya nak jadi artis. Pelik benar hati Wak Sudin dengan perubahan Haji Seman.
    “Apa salahnya dia jadi artis kalau ada rezeki dia kat situ. Kalau dia jadi bilal dia tak boleh jadi artis, kalau dia jadi artis dia boleh jadi bilal bila-bila masa saja.” Jelas Haji Seman serius. Sambil itu sempat juga dia menghirup teh suam.
    Terlopong mulut Salih bila Haji Seman berfikiran terbuka. Bukan senang selama ini Haji Seman nak menerima perkara-perkara seperti itu. Usahkan anaknya nak jadi artis, semasa majlis perkahwinan anak perempuannya pun Haji Seman tak mahu adakan persembahan kugiran atau karaoke. Dia lebih senang adakan marhaban, berzanji. Tiba-tiba saja kali ini satu perubahan mendadak dan fikiran terbuka Haji Seman agak menjadi pelik bagi fikir hati Salih. Begitu juga dengan Wak Sudin dan Wak Kamal terpegun sejenak dengan apa yang dikatakan oleh Haji Seman.
    “Jadi Haji benarkanlah si Hafis tu jadi artis? Maksud saya menyertai ‘Akademi Fantasia’ tu nanti.” Tanya Salih agak sungguh-sungguh.
    “Biarlah... Dia nak mencuba. Manalah tahu kan. Kalau dia tak cuba mana dia tahu bakatnya ada ke tak ada. Boleh ke, tak boleh ke...” Ujar Haji Seman serius sambil menghabiskan tegukan air teh dari dalam gelas. Kemudian bangun serta-merta.
    “Eh! nak ke mana pulak tu tergesa-gesa Haji?” Tanya Wak Kamal hairan.
    “Aku nak balik,” ujar Haji Seman. “Kau hantar aku boleh?” Pintanya pula pada Wak Kamal.
    “Nantilah dulu Haji...” Larang Wak Sudin.
“Tergesa-gesa, Maghrib pun belum sampai. Tambah lagi segelas teh, aku belanja.” Wak Sudin cuba menahan langkah Haji Seman yang sudahpun mencecah beberapa tanah setapak dua tapak dari jarak kerusi dan meja tempat mereka bertiga bersembang.
    “Bukan macam tu, selalukan aku boleh lama. Aku baru teringat yang bini aku suruh belikan kelapa parut kat kedai Ah Seng tu. Jadi aku kena baliklah cepat.” Jelas Haji Seman. “Jom Wak Kamal, hantar  aku.” Pinta Haji Seman lagi pada Wak Kamal. Agak berat punggung Wak Kamal hendak bangun untuk meninggalkan kerusi warung Salih. Memang seperti  itulah sikap penduduk kampung, bukan saja Wak Kamal, malah sesiapa saja yang duduk kat warung Salih sudah tentu berjam-jam lamanya barulah pulang ke rumah. Itupun kerana sudah senja, surau pula dekat benar dengan warung Salih, jika tidak mungkin jejak ke subuhlah mereka di situ.
    “Kau nak hantar aku tak Wak?” Tanya agak tegas Haji Seman pada Wak Kamal. Tersenget punggung Wak Kamal bangkit dari kerusi plastik warung Salih.
    “Yelah... Aku hantar ni. Engkau ni, masa nilah nak belanja. Tadi tak ingat.” Bebel Wak Kamal. “Kau suruh si Hafis tadi kan senang.” Makin panjang bebelnya.
    “Aku tak paksa, aku minta tolong.” Serius saja cakap-cakap Haji Seman.
    “Yelah... Marah pulak..” Sambut Wak Kamal sambil mencapai handel motosikalnya dan melabuhkan punggung ke tempat duduk. Beberapa minit kemudian kedengaran deruman enjin motosikal. Haji Seman sudah pun membonceng dibelakang Wak Kamal.
    “Aku balik dulu...Assalamualaikum.” Beritahu Haji Seman pada Wak Sudin yang senyum macam sumbing. Salih mengangkat tangan dan menjawab salam. Empat biji mata itu memerhatikan saja gerak motosikal yang ditunggang oleh Wak Kamal dan Haji Seman.
    Sekejap itu juga dua tubuh gempal yang menghempap tempat duduk memaksa enjin motosikal Honda C70 milik Wak Kamal memutarkan dua roda bergerak terhenjut-henjut, hilang dari pandangan Wak Sudin dan Salih.
    “Hai... entahlah dunia, dunia dah terbalik.”
    “Nak kiamat kot?”
    “Jangan main-main Salih, dosa aku masih banyak ni. Tak sempat bertaubat lagi.”
    “Dosa apa Wak?”
    “Yalah macam-macam... Manalah aku tahu. Kita tak sedar buat dosa ni.”
    “Contohnya?”
    “Ah! Engkau ni macam tak faham-faham pulak.”
    “Apa dia Wak?”
    “Tu tengok yang tergelek-gelek, tertonggek-tonggek tu.”
    “Ooo... Perempuan?”
    “Tau pun.”
    “Itu rezeki namanya. Tak tengok rugi.”
    “Eh kau ni apalah, dosa tau mengintai perempuan. Tambah lagi yang kau tengok tu yang tak pakai tudung, nampak koyak sana, koyak sini.”
    “Dia yang suruh tengok, bukan kita nak minta tengok.”
    “Kau ni Salih, cakap memang senang. Tapi kau fikir tak, dosa  tengok sekalipun free?”
    “Dah tu yang Wak tengok buat apa?”
    “Aku tak tengok, terrr tengok je.”
    “Pandai... Memang pandai  Wak berfalsafah.”
    “Aku ni kan masih ada tempat kosong.”
    “Abis saya?”
    “Kau masih muda. Wak dah tua, nanti kalau dah mati tak merasa beristeri muda..”
    “Wak ni gatal boleh tahan juga. Bila nak taubat?”
    “Tunggu pergi Mekah, naik haji.Taubatlah.”
    “Kalau tak sempat  Wak ke sana?”
    “Kau tolong-tolong tengokkan bini-bini aku. anak aku sekali.”
    “Jadi saya ada canlah ni Wak?”
    “Can apa pulak?”
    “Tadi suruh jaga anak bini Wak. Ada canlah saya jadi menantu Wak Sudin kan?”
    “Kumpul duit dulu. Kerja kuat-kuat. Baru boleh meminang anak dara orang. Ini tak ada duit, ada hati nak mengurat anak dara aku pulak.” Mencebik muncung Wak Sudin bila memandang muka Salih. Tak selera benar dia bermenantukan si Salih itu. Dia menginginkan si Bedah anak dara tunggalnya itu berlakikan orang kaya-kaya atau orang beriman. Kalau Hafis mungkin juga dia setuju. Ini si Salih, memang meluat benar dia dengan si  Salih tu, sekalipun dia tetap berkunjung ke warung si Salih, semata-mata kerana teh tariknya yang enak dan sedap. Ada umm....Tak sama dengan teh yang dihidang oleh bininya di rumah.
    “Nanti kalau saya banyak duit, saya masuk meminang boleh Wak?’
    “Kau pinang si Joyah jongang tu lebih baik.”
    “Kenapa pulak?”
    “Anak aku tu masih sekolah , tingkatan lima. Kau nak tunggu dia masuk universiti? Jawabnya, berubanlah janggut kau menunggu. Aku tak mahu bermenantukan orang yang dah berjanggut dan beruban macam kambing jantan.” Cemuh Wak Sudin.
    “Wak...”
    “Apa?”
    “Wak ingat saya kepingin benar ke dengan si Bedah tu?”
    “Kalau tak kepingin, kenapa nak meminang?”
    “Saja nak mengusik. Bedah anak wak tu badan sekeping, macam papan. Papan pun masih molek tau Wak. Ni macam playwood... Wak kenal playwood?” Sesekali Salih melepaskan geramnya pada Wak Sudin. Macam bertengkar saja bunyi perbualan mereka berdua ketika itu.
    “Playwood pun kalau dapat ada rasa juga.”
    “Tak ingin pun..”
    “Tak ingin sudah.Aku pun tak rela Bedah tu  jadi bini kau.”
    “Wak..”
    “Macam mana dengan Mak Semah?” Salih mengalih tajuk perbualan. Sekali ini dia mahu mengenakan Wak Sudin pula.
    “Eh! Ke situ pulak kau ni.” Terkejut sejenak Wak Sudin bila mendengar nama Mak Semah. Tersenyum kambing dia ketika itu.
    “Wak tahu apa kata Mak Semah tentang Wak?”
    “Apa dia kata? Dia sukakan aku ke?”
    “Dia sukakan Wak!” Tergelak kasar Salih bila mendengar kata Wak Sudin. “ Dia bukan sukakan Wak, Mak Semah kata, Wak ni tak ubah macam kambing tua yang dah tak ada baka...” Makin kuat Salih ketawa. Geram benar Wak Sudin bila kena cemuhan oleh Salih.
    “Dahlah... aku nak balik.” Cepat-cepat Wak Sudin bangun dari duduknya. “Berapa ni?” Sambil menyeluk saku.
    “Marah?” Usik Salih.
    “Tak, geram.”
    “Dengan Mak Semah?”
    “Dengan kaulah... Bangang betul.”
    Makin kuat tergelak Salih bila Wak Sudin semakin marah padanya. Dia tahu Wak Sudin sakit hati bila dicemuh seperti itu.
    “Berapa ni?”
    “Eh! Macam tak biasa je. Seringgit...”
    “Nah! Lima puluh sen. Esok aku bayar.”
    “Yang ni, Wak Kamal dan Haji Seman minum siapa nak bayar?” Tanya Salih pada Wak Sudin.
    “Itu dia orang yang minum, bukan aku, dia oranglah yang bayar.” Jelas Wak Sudin sambil melangkah pergi.
    “Wak! Wak! Tadikan Wak yang nak belanja?” Terjerit kuat Salih memanggil Wak Sudin yang dah jauh pergi.
    “Lain tahun aku belanja. Kau bayarkanlah dulu.” Sahut kuat Wak Sudin.
    “Aduh!!! aku lagi yang terkena...” Dengus geram Salih dengan perangai Wak Sudin.” Tak pe... Aku masuk dalam akaun Wak Sudin je nanti.” Fikir dengki hatinya pula. Kebetulan masih ada hutang Wak Sudin dengan Salih setiap kali kalau minum di warungnya. Salih pasti mana mungkin Wak Sudin ingat berapa dia berhutang. Sekalipun Salih tulis yang Wak Sudin terhutang dengannya seratus ringgit, Wak  Sudin tetap membayar. Tambah lagi kalau Wak Sudin tengah naik miangnya mengintai anak-anak dara yang turun dari bas kilang, pulang dari kerja setiap petang.
    Salih sudah masak benar dengan perangai Wak Sudin. Jika dia tengah seronok mengintai anak dara setiap petang, di masa itulah Salih mengambil kesempatan untuk bertanyakan tentang makan yang nak dipesan oleh Wak Sudin. Masa itu juga Salih akan beritahu yang Wak Sudin belum bayar hutang. Cepat kilat Wak Sudin menyeluk saku membayar berapa saja hutangnya dengan Salih.
    “Bang! Sengih semacam je nampak?”
    “Eh! Kau. Terkejut aku.” Sedang asyik Salih tersengih sendirian, dia terkejut bila bahunya ditepuk dari belakang. Hafis sengaja mengusik Salih.
    “Kenapa sengih semacam je bang?”
    “Aku baru mengenakan si Wak Sudin kedekut tu. Ada ke minum tak nak bayar.”
    “Ooo... Ingatkan baru lepas jumpa kak Bedah.”
    “Si kering Playwood tu? Tak payah.”
    “Kenapa?”
    “Hafis... Kalau bapaknya aku tak suka, anaknya pun aku tak suka tau.”
    “Ye ke? Atau tak dapat mengurat. Cakaplah tak suka...”
    “Errrr..... Menyampah....”
    “Menyampah konon... sudahlah bang. Tak dapat cakap macam tu. Ni mesti Wak Sudin tak suka abang jadi menantunyakan?” Usik Hafis.
    “Tak ingin akulah... Eh, yang kau ni dah nak senja ke mari ada apa? Nak minum petang lagi ke.”
    “Taklah, ni... Saya nak pinjam surat khabar hari ni.”
    “Tu, ambiklah... Ada berita apa dengan surat khabar tu?”
    “Ada pengumuman tentang tempat-tempat uji bakat ‘Akedmi Fantasia.”
    “Ooo..”
    “Boleh saya pinjam bawa balik bang?”
    “Ambiklah... Aku pun dah baca. lagipun dibiarkan saja kat situ, tak ada orang baca. Lebih baik kau ambik je.”   
    Hafis mencapai lipatan surat khabar yang terletak atas meja tepi tempat membuat minuman warung Salih. Kemudian membukanya sehelai-sehelai seperti sedang mencari sesuatu cerita yang istimewa terkandung dalam akhbar harian itu. Dia terhenti sejenak dari terus membuka helaian surat khabar itu. Dia sudah pun terpandang beberapa baris tulisan yang menyebut tentang pengambilan uji bakat ‘Malaysia Idol’ 2005.
    Hafis tersenyum lebar.
    “Yes!” Seronok benar dia.
    “Apa yang seronok benar tu Hafis?” Tanya Salih yang terpandang akan gelagat Hafis.
    “Ni, tempat pengambilan uji bakat ‘Akedmi Fantasia 2005 di bandar kita ni.”
    “Ooo... Kau nak pergi?”
    “Mestilah bang... Tapi jangan abang beritahu pada bapak dan mak saya pulak atau sesiapa.”
    “Alamak....”
    “Kenapa bang?”
    “Abislah...”
    “Apa yang habis?”
    “Matilah...”
    “Apa yang mati?”
    “Salah aku juga Hafis...”
    “Kenapa abang yang salah?”
    “Bapak...”
    “Bapak? Kenapa dengan bapak? Bapak siapa?”
    “Bapak kau....Hafis...”
    “Kenapa dengan bapak saya bang?”
    “Dia dah tahu.... Yang kau nak masuk ‘Akedemi Fantasia”
    “Apa? Dah tahu? Siapa yang beritahu?”
    “Aku.....”
    Secepat itu Hafis berlari anak meninggalkan Salih yang tengah menepuk dahi ke bengangan. Hafis pulang ke rumah....

SENJA telah lama melabuhkan diri. Tirai malam mula menggantikan kesuraman senja. Setengah jam tadi Hafis baru saja selesai menunaikan solat Maghrib. Kebetulan senja itu dia tak berminat untuk ke surau. Azan Maghrib senja itu tak seindah laungan azan seperti senja-senja selalu. Setiap kali senja berlabuh, suara azan pun berkumandang. Suara lunak itu datangnya dari Hafis. Maka bertauplah hati anak-anak gadis kampung tertawan dengan lunaknya suara Hafis. Hafis siapa yang tak kenal dengan kelunakkan suaranya. Bukan azan sahaja, malah ketika Hafis mengaji Al-Quran pun, suaranya memang menambat hati  setiap yang mendengarnya. Mungkin kalaulah dia jadi seorang artis, sudah tentu suara emasnya menjadi gilaan setiap yang mendengarnnya.
    Entah mengapa senja ini dia malas hendak ke surau. Sebelum senja tadi ayahnya ada bertanya dengannya.
    “Tak ke surau Hafis?”
    Tak sepatah pun Hafis menjawab pertanyaan ayahnya ketika itu. Dia sebenarnya serba salah bila berhadapan dengan ayahnya semenjak dia mengetahui yang ayahnya sudah tahu akan niatnya untuk menyertai uji bakat ‘Akedemi Fantasia.’ Sejak itulah dia merasakan dirinya seperti serba tidak kena. Apa saja yang dia lakukan petang itu seperti dia sedang diperhatikan dua biji mata ayahnya.
    “Hafis, kau tak dengar ke ayah kau tanya tu?” Tiba-tiba saja suara lembut menyentuh gendang-gendang telinganya. Suara itu datang dari ibunya yang kebetulan ketika itu mengekori langkah ayahnya.
    Hafis pura-pura terkejut. “Em... Mak..ayah... Apa yang mak tanya tadi?”  Bukan dia tak dengar apa yang ayahnya tanyakan. Sengaja dia pura-pura tidak dengar.
    “Ayah kau tanya... Kau tak ke surau?” ulang maknya lagi.
    “Tak...Tak... Emm... Hafis rasa Hafis nak bersolat sendiri kat rumah Maghrib ni.” Serba salah dia hendak menjawab pertanyaan emaknya. Ayahnya memerhatikan saja gerak geri Hafis ketika itu. Sesekali  Haji Seman menggeleng. Haji Seman sebenarnya tahu apa yang sebenarnya berserabut dibenak anaknya si Hafis.
    “Eloklah...Istikharah nanti. Manalah tahu ditunjukkan oleh Allah jalan yang lurus...” Tiba-tiba saja Haji Seman menyampuk. Tergamam Hafis ketika itu. Dia tak tahu apa yang hendak dikatakan pada ayahnya. Sambil melemparkan senyuman lengunya Hafis perlahan melangkah berlalu untuk meninggalkan kedua ibu bapanya. Dia mahu ke bilik air.
    “Bila uji bakat Hafis?”
    Tersentak Hafis seketika bila ditanya oleh ayahnya. Langkahnya terpaku serta merta. Dia terkejut dengan pertanyaan ayahnya. Apa yang dia perlu jawab, Hafis tak terfikir langsung ketika itu. Dia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal pun.
    “Uji bakat? Uji bakat apa ayahnya? Nak jadi Bilal kena uji bakat juga ke?” Serentak itu juga emak Hafis menyampuk. Sebenarnya emak Hafis tak tahu langsung tentang Hafis mahu ke uji bakat ‘Akedemi Fantasia’. Apa yang dia emaknya tahu, Hafis bakal jadi bilal masjid dikampungnya. Semakin bercelaru otak dan serba salah keadaan Hafis ketika itu. Tidak tahu apa yang mahu dia jawab pula dengan pertanyaan emaknya.
    “Awak tanyalah dengan anak kesayangan awak tu sendiri.” Jawab Haji Seman dengan selamba .Semakin pening kepala Hafis apabila mendengar kata-kata ayahnya itu.
    “Bila kau nak uji bakat jadi bilal tu Hafis?” Semakin berserabut benak Hafis untuk menjawab pertanyaan emaknya pula.
    “Emm....Bukan.... Bukan...” Tergagap-gagap Hafis hendak menjawab.
    “Bukan apa pulak? Dah kenapa dengan kau  ni Hafis?” Soal emaknya kehairanan.
    “Tak...Bukan uji bakat jadi bilal.”
    “Dah tu uji bakat apa pulak?”
    “Uji bakat ‘Akedemi Fantasia’.” Secepat itu Haji Seman mencelah.
    “Uji bakat ‘Akedemi Fantasia’?” Terkejut Emak Hafis bila Haji Seman menjelaskan perkara sebenar. “Mak tak setuju...” Serentak itu juga emak Hafis membantah. Semakin pening kepala Hafis. Bertambah serabut dibuatnya. Entah apa yang perlu dia lakukan untuk memujuk hati ibunya dia tidak tahu lagi. Bukan senang untuk melembutkan hati ibunya itu. Kalau itu katanya, maka itulah kata ibunya, maka itulah keputusannya.
    “Biarlah... Hafis ada keputusan sendiri. Dia bukan budak-budak lagi. Dulu masa kecil kita kena larang. Ni dah besar panjang. Tak lama lagi dah nak kahwin. Kita pun nak bermenantu. Biar dia cari jalan yang betul demi masa depannya.” Ujar Haji Seman menyokong keputusan Hafis. Lega sedikit perasaan Hafis ketika itu kerana ayahnya menyebelahi keputusannya. Seolah-olah terpampang ruang luas untuknya meneroka alam baru dalam hidup.
    “Awak cakap senang. apa kata orang kampung. Apa kata keluarga si Leya nanti. Kita nak dia ni jadi ustaz, jadi bilal.” Ibu Hafis membangkang menolak kehendak Hafis dan suaminya.
    “Awak ni... Dia lelaki, bukan perempuan. Kalau perempuan malu kita nanti kalau terkinja-kinja di depan khalayak ramai. Lelaki tak apa. Lagi pun Hafis ni pandailah nak jaga maruah kita sekeluarga.” Haji Seman masih tetap menyebelahi Hafis.
    “Janganlah Hafis...Mak tak nampak kau boleh jadi penyanyi. Mak tak suka kau macam tu.” Ibu Hafis tetap membantah dan mengharap agar anaknya tidak menyertai ‘Akedemi Fantasia’.
    “Awak ni, itu baru ujian, belum tentu berjaya.” Jelas Haji Seman. “Sudahlah biarkan dia pergi dulu. Awak jangan risau. Saya nak kesurau ni, dah lambat.” Ujar Haji Seman lagi.
    Mencebik bibir ibu Hafis bila suaminya menyebelahi Hafis anaknya.
    “Mak.... Ayah....” Tiba-tiba saja Hafis bersuara setelah menyepi beberapa ketika. Terhenti langkah Haji Seman serentak itu. Tiga beranak itu saling berpandangan.
    “Mak... Ayah... Hafis tak jadi pergi...”

   
_________________________________



Free Francis Lai Orchestra Songs | Free ringtones at EZ-Tracks.com

No comments: