BERSAMA SAYA SUTERA KASIH,DALAM RUANGAN DUNIAKU CERITAKU

followers

Wednesday, 13 April 2011

Bab 2: Bila Hati Resah Gelisah

Photobucket 
AIR MATA SEMALAM
 oleh: suteraungu


BAB 2

Bila Hati Resah Gelisah


Subuh itu tidak juga seperti subuh-subuh yang selalu. Ayam jantan pun seperti tahu tentang kesedihan hati Hafis. Selalunya kokok ayam jantan berlarutan, bersahut-sahutan. Tapi subuh itu sesekali saja kedengaran ayam jantan berkokok di merata-rata kampung. Mungkin ayam jantan menyangkakan belum waktu subuh dek kerana masih gelap akibat mendung seperti hujan mahu mencurah ke bumi gersang yang ketandusan air beberapa minggu kebelakangan ini.
    Hafis tak juga ke surau. Selalunya dialah yang terdahulu dari pak imam sampai ke surau. Pagi itu Ustaz Jalal menggantikan tempat Hafis melaungkan azan Subuh. Suara Ustaz Jalal memang sedap didengar tapi tak seperti suara Hafis. Hafis ada tonnya sendiri, vokal Hafis terasing dari suara-suara lain. Kalau nak dikaitkan dengan muzik, Hafis punya vokal yang unik dan nada pun berbeza, ada melodi. Begitulah jika diandaikan dengan rentak muzik. Malah nada atau melodi azan juga lebih kurang sama dengan melodi nyanyian. Bezanya ia adalah lagu-lagu seruan untuk manusia yang beriman supaya bangkit menunaikan kewajipan, mengingati Allah dan hari akhirat bukan seperti melodi lagu-lagu yang sedap didengar tetapi melekakan, melalaikan dan memesongkan akidah keimanan seseorang.
    Hafis masih lagi diselubung selimut. Dia bukan malas mahu bangkit untuk menunaikan solat Subuh. Dia tetap akan menunaikan kewajipannya itu sekalipun ada kalanya dia terlewat bangun. Cuma ketika dia tersedar sebentar tadi dari lena tidurnya yang tidak beberapa jam saja sejak malam semalam itu dek kerana gangguan laungan anjing. Didada dinding mengadap ke katil Hafis jelas bulatan sebuah jam dinding yang jarumnya menunjukkan hanya beberapa minit saja lagi waktu Subuh akan tiba.
    Malas! Malas! Bukan malas hendak bangun. Itu sebenarnya yang Hafis fikirkan. Tapi malas hendak fikirkan soal sama ada dia hendak pergi atau tidak ke uji bakat ‘'Akademi Fantasia'.’ Difikirkan soal ibunya, dia tak mahu menderhaka. Jika dia fikirkan kata-kata ayahnya dia bangga dapat ayah yang memahami kehendaknya. Jika diikutkan hatinya, dia tak peduli apa yang ibunya mahukan. Dia yang perlu buktikan kemampuannya bukan saja setakat jadi bilal, jadi ustaz atau mengaji al-Quran, tapi dia juga boleh menyanyi. Jadi artis terkenal macam orang lain. Dia pasti kalau dia jadi artis, dia ada kredibiliti tersendiri, ada satu aura unik yang menggerunkan peminat-peminatnya nanti. Aura yang membangkitkan semangat baru dalam dunia hiburan.
    “Betul ke aku ni?” Sesekali dia tersengih sendiri mengenangkan angan-angannya. “ Ah!!! Angan-angan kosong. Layak ke aku ni jadi artis? Layak ke aku ni digelar artis macam Siti Nurhaliza, macam Jamal Abdillah, macam sifu M.Nasir tu?” Fikir hati Hafis sendiri. Sesekali dia mengeliat kesejukan. Kedinginan suasana hening subuh dikampungnya seperti kedinginan hembusan penghawa dingin di sebuah bilik hotel ‘five stars’, sejuk menggigit hingga menyerap ke tulang sumsum dan urat saraf.
    “Ayah... Setuju... emak tak.... ah!!! Pening, pening... Aku?” Benak Hafis meronta-ronta bagaikan mahu saja dia menjerit subuh itu.
    “Kenapa tidak aku tanya tunang aku? Kakak aku? Adik aku?” Terfikir juga Hafis untuk mendapatkan sokongan dari mereka itu.
    “Ye...” Pagi esok dia perlu jumpa Leya. Dia mahu terus terang dengan Leya pasal hasratnya itu.
    “Jangan... Jangan... Hafis... Kau tu orang beriman. Kau dikenali seorang yang alim kat kampung ni.” Tiba-tiba saja pagi tu satu suara menerjah masuk ke cuping telinganya dan menderu deras bagai angin mengenai gendang-gendang telinga.
    “Jangan dengar satu pendapat saja Hafis, dengar pendapat ramai, ini masa depan kau?” Ada pula suara lain yang menerjah mengatasi suara tadi.
    “Fikir Hafis, fikir masak-masak, kau tak sayang tunang kau? Kau tak sayang ibu kau,? Kau tak takut menderhaka pada ibu kau? Kecil hati orang tua tu nanti kalau kau tidak mendengar kata-katanya...” Ada lagi suara tadi menerjah masuk ke lubang telinga Hafis.
    “Hafis, ibu mana yang tak pengampun dan tak sayangkan anak sekalipun kalau nanti kau melukakan hatinya. Tapi itu bukan perbuatan yang tak baik. Kau akan jadi artis yang berjaya dan boleh membahagiakan hidup keluarga kau kelak.” Betul juga kata-kata suara ini, fikir Hafis.
    Sebenarnya Hafis sudah bertekad untuk mengubah kehidupan keluarganya yang tidak seperti orang lain. Dia mahu keluar dari kepompong kemiskinan yang sentiasa menghantui kehidupannya. Dia mahu keluarganya hidup senang atas usahanya. Selama ini dia saja yang bergantung kepada apa yang ada. Semuanya tak mampu membahagiakan hati keluarganya. Bukanlah kekayaan jadi impiannya. Tetapi baginya cukuplah kalau hidupnya senang lenang seperti orang lain. Bukan dia saja malah semua keluarganya. Alangkah senang hatinya kalau dia mampu membahagiakan hati ibu dan ayahnya. Dia ingin sangat tengok ayah dan ibunya ke Mekah menunaikan Rukun Islam yang kelima. Dia ingin sangat tengok rumah kayu yang didiaminya sekarang ini ditukar dengan rumah batu. Dia ingin sangat kalau nanti ketika dia berkahwin dengan Leya dia ada kereta, ada rumah ada harta benda dan sudah tentu cintanya yang bersemi selama ini dengan Leya semakin bahagia dengan penuh kasih sayang.
    Hafis mahu kelahiran anak-anaknya nanti tidak seperti dirinya yang tidak cukup pendidikan dunia. Tidak rasa macam mana menyarungi jubah seorang pemegang ijazah. Tidak rasa macam mana jadi seorang bijak pandai. Dia mahu anak-anaknya sebagai penyambung cita-citanya yang terkandas separuh jalan. Mujurlah dia cukup didikan agama sekalipun tidak menjejaki kaki ke Universiti Azhar di Arab Saudi seperti mana impiannnya dulu.
    “Apa lagi kau fikirkan Hafis? Teruskan hasrat hati kau...” Bisik suara datang lagi. Suara-suara yang tadi itu adalah lingkaran fikiran Hafis sendiri. Yang bulat adalah tekad dan bukan suara-suara hati yang mengganggu. Sudah bulat tekad dan niat Hafis Subuh itu. Dia bingkas bangkit dari selubung selimutnya. Deras langkahnya keluar dari bilik tidur menuju ke bilik air. Lama di situ. Kemudian, dia sudah pun ke biliknya mengenakan pakaian kain pelekat dan baju kurung. Berkopiah putih. Dia dah mandi, sudah pun berwuduk. Ke mana dia hendak pergi? Surau? Entahlah... Ikut kata hatinya juga. Dia ada tanggungjawab terhadap masyarakat dan Tuhannya.
   
HAFIS sudahpun sampai ke tangga surau. Kelihatan juga Ustaz Jalal ada di depan pintu surau memegang pemukul beduk.
    “Assalammualaikum Ustaz...”
    “Waalaikummusalam...Eh... Hafis..Kata Haji Seman, ayah awak, awak tak ada Subuh ni?”
    “Ada ustaz, cuma malam semalam saja tak ada. Ada kat rumah, sesekali nak memeriahkan suasanan rumah dengan solat Maghrib dan Isyak.”
    “Eloklah tu, surau dengan rumah lebih afdal berjemaah dengan keluarga di rumah. Tapi jangan abaikan rumah Allah pulak bersama-sama yang lain.”
    Hafis tersenyum mendengar kata-kata ustaz Jalal.
    “Eloklah pagi ni awak azan Hafis.” Pinta Ustaz Jalal pada Hafis.
    “Ustaz ajelah...”
    “Eh... Tak boleh macam tu. Biar saya jadi imam pagi ni. Haji Manaf tak hadir pagi ni, kata anaknya dia demam sejak semalam.”
    “Baiklah ustaz...”
    Beberapa minit kemudian beduk pun kedengaran dipalu beberapa kali. Selang dari itu kelihatan berduyun-duyun orang kampung berkumpul ke surau untuk menunaikan solat Subuh. Berkumandanglah azan dari suara anak muda berusia 26 tahun yang bernama Hafis.
    Maka tersentaklah pagi itu anak-anak gadis kampung bila mendengar kelunakan suara seruan azan dari anak muda yang bernama Hafis itu. Tidak ketinggalan Leya adalah idola Hafis. Malah Hafis itulah idola pada Leya sebenarnya. Dulu, Leya terpikat dengan Hafis bukan kerana paras rupa Hafis. Memang Hafis macho, handsome, tapi suara Hafis yang membuatkan Leya tergoda. Separuh gila Leya merebut Hafis dari beberapa gadis sekampungnya. Mujurlah Hafis berkenankan Leya. Kalau tidak melepaslah peluang Leya untuk berkekasihkan atau berbuah hatikan si Hafis. Sekarang ni pula dah jadi tunang. Mungkin kalau jodoh mereka ada dah jadi suami isteri pula. Itu semua ketentuan Tuhan Yang Maha Esa. Hafis dan Leya merancang, yang menentukan sudah tentu Allah S.W.T. Percintaan mereka pula mendapat restu dari kedua belah pihak. Alhamdulillah mereka benar-benar bersyukur kerana tercapai juga cinta mereka yang hampir kejinjang pelamin tidak lama lagi.
    Pagi itu selepas solat Subuh, agak lama juga Hafis bersendirian di surau. Dia ingin mencari ketenangan, mencari satu keputusan, apa yang patut dia lakukan. Sejam kemudian dia telah pun ada keputusan. Dia sudah mendapat hidayah dan petunjuk dari Allah. Kata hatinya sudah bulat dengan tekadnya.
    Pagi itu tergesa-gesa dia ke warung Salih. Dia sengaja ke situ untuk bertemu seseorang. Siapa lagi kalau bukan kekasihnya yang juga tunangnya,  Leya yang hendak ke tempat kerja.
    Sementara bayang Leya tidak kelihatan lagi, Hafis duduk di suatu sudut meja di warung Salih yang menghala pandangan matanya ke simpang jalan memerhatikan kalau-kalau Leya sudah muncul. Dia tidak pun berjanji dengan Leya pagi itu. Sudah tentu Leya terperanjat bila pagi-pagi lagi Hafis hendak bertemu dengannya.
    “Kau tak nak minum Hafis?”
    “Boleh juga, kopi panas bang.”
    “Ok....”
    Mata Hafis liar memerhatikan setiap anak gadis yang keluar masuk dari jalan kampung menuju ke simpang jalan menanti bas untuk ke tempat kerja. Bukan dia mata keranjang, sebenarnya dia sedang memerhatikan Leya, dia takut terlepas pandangnya, maka pagi itu sudah tentu mengecewakan hatinya pula.
    “Hafis... Kopi panas siap...” Suara Salih mengejutkan Hafis dari terus memerhati ke arah simpang jalan.
    “Ermm... Terima kasih bang.” Mata Hafis masih lagi tidak berkelip memandang ke luar jalan.
    “Kau tunggu Leya ke Hafis?”
    “A’aa...”
    “Kejap lagi tu sampailah. Dia mesti singgah sini, beli nasi lemak.” Ujar Salih.
    “Ye ke bang?”
    “Yee... Apa selama ini kau tak tahu ke?”
    “Tak, dia tak cakap pun.”
    “Tunggulah... sekejap. Minum kopi tu, abang belanja pagi ni.”
    “Ok, terima kasih bang.”
    Perasaan hati Hafis mula terasa lega bila mendengar kata Salih yang Leya selalu beli nasi lemak di warungnya sebelum ke tempat kerja. Hafis menghirup kopi panas itu berkali-kali. Sesekali dia mengimbau pandang ke luar jalan kampung. Masih tidak ada ternampak susuk tubuh Leya pagi itu.
    “Bang selalu pukul berapa Leya ke mari?”
    “Selalunya pukul 7.30..”
    Hafis melihat jarum jam tangannya. Sudah pukul 7.45 pagi.
    “Tapi bang dah pukul 7.45 ni bang. Takde pun?”
    “Ye ke?”
    Hafis mengangguk. Dia semakin gelisah. Tujuan dia bertemu Leya pagi itu untuk memberitahu Leya yang petang nanti dia akan ke bandar. Dia hendak mengambil Leya sewaktu pulang dari kerja dan mengajak Leya bersiar-siar. Petang itu juga nanti dia ingin berbincang dengan Leya tentang hasratnya untuk menyertai uji bakat ‘Akademi Fantasia’  yang hanya tinggal beberapa minggu lagi akan berada di bandar Johor Bahru.
    Namun tubuh ramping Leya belum kelihatan lagi pagi itu. Hafis semakin gelisah.
    “Leya dah pergi tak bang?” Ditanya sekali lagi pada Salih mengagak-agak untuk mencari kepastian.
    “Tak pasti pulak, selalu dah sampai.”
    “Tak pelah bang saya nak ke rumahnya. Manalah tahu pagi ni dia tak kerja ke.”
    “Eloklah tu...”
    “Bang terima kasih kopi ni bang.” Ucap Hafis sambil mengangkat punggung berlalu meninggalkan warung Salih. Tujuannya mahu pulang ke rumah dulu, mengambil motorsikal untuk ke rumah Leya di hujung kampung.
    Sesampai Hafis di rumah, dia terkejut bila dilihatnya Leya ada di ruang tamu bersama ibunya sedang bersembang.
    “Ha! Itupun si Hafis, Leya.” Ujar mak Junah, ibu Hafis, bila saja terpandang Hafis yang tergesa-gesa pulang. Leya tersenyum lebar melihat tunangnya.
    “Leya! Tak kerja ke hari ni?”
    “Tak... abang dari mana?”
    “Tadi dari surau, kemudian abang tunggu Leya kat warung abang Salih. Ingatkan Leya kerja pagi ni.”
    “Leya tak kerja. Ambik Cuti.”
    “Cuti?” hairan juga dihati Hafis bila mendengar yang Leya tunangnya bercuti hari itu.
    Leya mengangguk.
    “Cuti kenapa? Mak ayah Leya tak sihat ke?”
    “Tak, Leya nak ke bandar. Ni Leya datang ni, nak ajak abang temankan Leya.”
    “Eloklah tu Hafis, kau temankan Leya.” Sampuk Mak Junah, menyuruh.
    “Ke bandar? Ada apa ke sana?” Hafis masih tidak tahu apa tujuan sebenar Leya ingin ke bandar pagi itu.
    Leya mengangguk.
    “Ada temuduga.” Jawab Leya ringkas.
    “Temuduga kerja apa?” Tanya Hafis lagi.
    “Kerani.”
    “Kat mana?”
    “Di pejabat Tenaga Rakyat.”
    “Sekarang?” Tanya Hafis mencari kepastian.
    “Ermm...” Leya mengangguk
    “O! Em...  Abang masuk ke dalam dulu.  Nak mandi. Tunggu ye!”
    Leya tersenyum dengan gelagat tunangnya itu. mak Junah hanya memandang gelagat anaknya yang tergesa-gesa masuk ke rumah.
    “Kalau dapat kerja tu, bila pulak kau mula kerja Leya?” Mak Junah bertanya, menyambung sembangnya bersama Leya.
    “Entahlah mak cik, Leya tak pasti. Biasanya tunggu jawapan. Em... Surat panggilan. Itupun kalau berjaya dalam temuduga.” Jelas Leya.
    “Kerja sekarang, macam mana pulak? Kau nak berhenti ke?”
    “Tengoklah kalau  dapat kerja baru dan gaji lebih tinggi dari sekarang, Leya rasa... Leya berhenti je dari kerja kilang tu.”
    “Kan Leya di kilang tu dah naik pangkat?”
    “Ermm... Betul... Tapi tak seronoklah mak cik.”
    “Kenapa pulak?”
    “Kerja macam mana jawatan pun orang tetap pandang kita ni minah kilang.” Ujar Leya sambil tersenyum.
    “Ya tak ye juga... Tapikan... Pedulilah apa orang nak kata. Janji rezeki halal.”
    “Betul tu makcik. Tapi Leya nak cuba kerja yang lebih mencabar dari apa yang Leya kerjakan sekarang.”
    Lama juga Hafis mandi dan berpakaian. Selama itu juga, macam-macam yang disembangkan oleh ibu Hafis dengan bakal menantunya, Leya.
    “Eh! Mana si Hafis ni.”
    “Belum siap tu mak cik.”
    “Kalahkan perempuan kalau bersolek.”
    Leya tersenyum bila ibu Hafis mengejek anak lelakinya. “Hafis!!! Cepat sikit. Dah lama si Leya tunggu ni. Bersolek macam perempuan.” Lantang suara mak Junah  memanggil.
    “Kejap mak, tengah sikat rambut ni.” Jawab Hafis dari dalam biliknya.
    “Kau dengar tu Leya. Betul tak kata mak cik. Kalahkan perempuan kalau bersolek. Apa ke bendanya yang nak dipakai kalau lelaki. Sarung baju, seluar, sikat rambut dah cukup. Lainlah perempuan, nak kenakan tudung, pakai bedak, lipstik, hey! Tak tahulah aku lelaki sekarang ni...” Bebel ibu Hafis sambil menggeleng. Leya ketawa kecil mendengar bebelan bakal ibu mertuanya itu.
    “Dah siap mak, jom... Leya.” Sebentar kemudian Hafis bergegas keluar dari bilik, berdiri tercegat di belakang ibunya.
    “Amboi!!! Wanginya anak mak ni....”
    “Emm... Wanginya... Abang. Ni tentu pakai minyak wangi Kak Yana kan?” Usik Leya sambil tersenyum.
    “Kalau wangi pun abang ni untuk Leya.” Jawab Hafis sambil tergelak kecil. Leya mengerling manja. Bangga benar hati Leya dapat seorang tunang yang pandai berbicara yang sopan dan menawan hati bila mendengarnya.
    “Jangan sangkut perempuan lain sudah. Leya kau jaga sikit si Hafis ni. Nanti ada orang kebas pulak.” usik mak Junah.
    “Tak pe makcik.. Leya tarik telinga dia kalau dia mengurat.”
    “Kalau perempuan mengurat abang pulak?” Sambut Hafis.
    “Tak pelah kira Leya rasa bangga kerana tunang Leya ni ada orang berkenan. Maknanya handsome boy.” Puji Leya. Tersenyum.
    “Memang pun abang handsome.”
    “Dahlah tu, pergilah cepat nantikan terlambat pulak. Bas masuk kampung kita ni bukan menentu masanya. Nanti tertinggal pulak.” Mak Junah mencelah.
    “Mak pergi dulu.” Hafis minta izin sambil bersalam dengan ibunya.
    “Makcik Leya minta diri, doakan Leya berjaya dalam temuduga ni ya mak cik.” Ujar Leya sambil mencium tangan bakal ibu mertuanya itu. Ibu Hafis mengangguk berkali-kali.
    “Baik-baik Hafis bawak anak dara orang tu. Jangan melencong ke tempat lain pulak. Kau tu baru bertunang. Bukan suami isteri lagi.” Pesan mak Junah lagi. Hafis dan Leya mengangguk tanda beringat dengan pesanan ibunya.


SELESAI sudah Leya menghadiri temuduga hari itu, lebih kurang pukul 11.00 pagi. Agak lama Leya menunggu giliran, kerana ramai juga calon temuduga.
    “Leya macam mana dengan temuduga tadi?”
    “Emm, okey. Mungkin Leya ada peluang. Tapi tunggulah surat panggilan dalam masa dua minggu dari sekarang.”
    “Abang doa agar Leya berjaya.”
    “Terima kasih bang.” Leya tersenyum bangga memandang wajah Hafis. Mata bertentang mata, senyum berpadu senyuman.
    “Abang, kita nak balik atau ada nak ke mana-mana dulu ke?”
    “Abang sebenarnya cari Leya pagi tadi nak beritahu Leya yang petang nanti nak ambil Leya dari tempat kerja. Nak ajak Leya bersiar-siar.” Jelas Hafis.
    “Oo... Emm... Habis sekarang telanjur kita dah keluar ni apa kata kita bersiar-siar.”
    “Elok juga. Emm.. abang fikir tak manis kalau kita ke tempat-tempat yang tak ramai pengunjung. Apa kata kita minum dan makan di KFC.”
    “Elok juga tu.”
    Leya dan Hafis berjalan beriringan. Tapi Hafis masih tidak berani untuk memegang tangan Leya. Dia masih ingat tentang tatasusila Melayu dan ajaran agama. Sopan dan tertib ketika bersama Leya. Itulah yang membuatkan Leya begitu senang dengan cara Hafis.
    Tidak lama kemudian mereka berdua telah pun berada di dalam restoran KFC. Leya mengambil tempat duduk, Hafis beratur mengikut giliran memesan  makanan.
    Ketika menikmati hidangan ayam goreng KFC, Hafis dan Leya berbual tentang masa depan dan ikatan pertunangan mereka yang hanya tinggal beberapa bulan saja lagi untuk diijab kabulkan, jika jodoh mereka sudah sampai.
    “Bang...”
    “Ada apa Leya?”
    “Leya ingatkan, kalau Leya dapat kerja baru ni nanti, Leya nak beli keretalah.”
    “Kereta?”
    “Emm..”
    “Kereta apa nak beli?”
    “Alaaa... Kita cari kereta yang termampu    kita bayar tiap-tiap bulan.”
    “Suka hati Leyalah. Abang ikut saja.”
    “Bang.”
    “Emmm.”
    “Apa kata kalau tarikh perkahwinan kita yang tak lama lagi tu kita tunda sebulan dua ke lagi.”
    Terkejut Hafis bila mendengar apa yang terluah dari mulut Leya.
    “Kenapa?”
    “Yelah... Leya ingat nak kumpul duit sikitlah untuk kita duduk rumah baru nanti.”
    “O... Abang ingat pun macam tu juga. Kita tangguhkan dua atau tiga bulan lagi. Sebab....”
    “Kenapa dengan abang?”
    “Abang sebenarnya nak bincang dengan Leya pasal abang nak cuba-cuba nasib untuk masuk Akademi Fantasia.”
    “Akademi Fantasia?”
    “Emm. Kenapa? Leya tak setuju?” Leya terdiam sejenak bila mendengar apa yang dikatakan oleh Hafis.
    “Leya kenapa diam? Leya tak suka abang masuk Akademi Fantasia?” Tanya Hafis. Leya tidak berkata apa-apa. Hanya menggeleng.
    “Kalau Leya menggeleng bermakna Leya tak setujulah ye?” Tanya Hafis mencari kepastian.
    “Bukan tak setuju, tapi abang dah fikir habis-habis?”
    “Emm... Abang buat ni semua demi masa depan kita dan keluarga kita, Leya.”
    “Abang yakin abang berjaya?”
    “Leya... Kalau kita tak cuba kita tak tahu.”        “Terpulang pada abang, Leya ikut saja. Lagipun Leya tak boleh paksa abang. Sebab itu kemahuan abang.”
    “Macam tak suka je nampak? Leya cemburu yerrr?”
    “Abang.... Hati seorang perempuan bang. Mana tak cemburu. Manalah tahu nanti kalau abang dah terkenal, abang dikerumuni peminat-peminat. Perempuan pulak tu. Leya ni siapalah bang...”
    “Leya... Inikan baru nak uji bakat je. Belum tahu abang terpilih.”
    “Abang... Kalau rasa uji bakat pun abang tidak yakin untuk apa abang nak mencuba.”
    “Kenapa Leya cakap macam tu?”
    “Kitakan pernah ambil peperiksaan. Sebelum peperiksaan yang betul, kita kena lalui ujian, percubaan. Kalaulah peperiksaan percubaan kita tak yakin lulus, bermakna kita dah tentu gagal semasa peperiksaan sebenarnya. Macam itu juga dengan uji bakat ni.”
    “Betul juga kata Leya tu.”
    “Tahu pun. Tapi bila uji bakat tu diadakan di daerah kita ni bang?”
    “Mengikut jadual, bulan depan.”
    “Abang cubalah yer... Manalah tahu rezeki abang. Leya restukan dan doakan abang berjaya dalam uji bakat tu nanti.”
    “Betul ke ni Leya?”
    “Betul perr.”
    “Tak cemburu?”
    “Abang..... Cemburu tu bukankah tanda sayang. Kalau nak cemburu pun, nanti kalau abang berjaya dan dah lupa dengan Leya, Leya terpaksa akurlah kehendak takdir.”
    “Abang janji yang abang ni tak akan lupa diri terutama dengan janji kita yang sehidup semati. Abang cuma mencuba, abang bercita-cita untuk merubah kehidupan kita yang asyik ditakuk lama je ni.”
    “Mudah-mudahan niat abang tu direstui oleh Allah. Janji asalkan abang jangan lupa solat, ibu ayah abang, keluarga abang...sudahlah.”
    “Leya tunang abang juga abang tetap tak akan lupa atau tinggalkan.”   
    “Tahu tak apa... Saaaa....yang abang....”
    “Leya...”
    “Emmm...”
    “Abang sayang Leya.”
    “Dahlah tu bang... Kalau abang tak ucapkan pun Leya tahu macam mana dalam hati abang tu.”
    “Leya...”
    “Ada lagi nak cakap?”
    “Kita balik.”
    “Ooo... ingatkan ada lagi nak cakap. Rupanya nak ajak balik. Jomm..”
    Sekalipun percintaan mereka yang bermula dari bangku sekolah menengah hinggalah ke alam pertunangan, lebih kurang hampir lima tahun, Hafis dan Leya tak pernah bertengkar. Kalau merajuk tu memang adalah. Bukan Leya yang merajuk, tapi  Hafis yang merajuk. Taklah berpanjangan merajuk si Hafis. Leya pandai memujuk. Kalau Hafis merajuk, Leya tahu bagaimana nak pujuk hati Hafis, tunangnya itu.
    Ada satu ketika, bulan Ramadhan tahun lalu, masa tu hari kedua berpuasa. Hafis mengajak Leya berbuka puasa di bandar. Pada mulanya Leya setuju untuk berbuka bersama tunangnya. Entah macam mana petang yang dijanjikan Leya tak muncul-muncul. Sudah penat Hafis menunggu Leya di rumah. Leya janji nak datang rumah tunangnya. Waktu berbuka puasa sudah hampir. Namun Leya tidak muncul-muncul. Hafis mulalah murung macam muka orang susah. Kebetulan hari itu Leya terpaksa kerja overtime atas arahan majikan. Leya tidak menyangka pula dia terpaksa kerja overtime petang itu. Pagi itu ketua majikannya mengarahkan beberapa orang pekerja termasuk Leya overtime. Leya tak sempat balik dan tak dapat nak menghubungi Hafis.
    Leya tahu Hafis mesti tertunggu-tunggu dia datang ke rumah dan keluar ke bandar. Apa boleh buat sudah ditakdirkan petang itu dia didesak untuk kerja overtime. Kilang tempat kerja Leya menerima tempahan yang perlu disegerakan sebelum hujung minggu.
    Tiba waktu berbuka puasa, Hafis hanya menjamah sebiji kurma dan minum segelas air, kemudian terus ke surau. Berkali-kali ibu dan ayahnya ajak berbuka bersama dan memujuk Hafis agar tidak marahkan Leya. Namun, Hafis tidak mengendahkan langsung pujukan ibu dan ayahnya. Merajuk benar Hafis pada petang itu.
    Hari itu Leya terpaksa overtime sampai jejak pukul 12.00 malam. Mujurlah ada van kilang yang menghantarnya pulang. Selesai kerja, dan ketika pulang ke rumah Leya tidak terus pulang ke rumahnya. Sebaliknya dia terus saja ke rumah Hafis. Sesampai rumah Hafis, Hafis sudah pun masuk tidur. Selalunya Hafis tidak tidur awal sebegitu. Dia suka mengaji Al-Quran. Mungkin geram bercampur merajuk, Hafis lebih senang tidur.
    Sewaktu Leya sampai di rumah Hafis, Leya disambut oleh bakal ibu mertuanya.
    “Abang Hafis ada mak cik?”
    “Dia dah tidur, pukul 10.00 tadi dia dah masuk bilik. Kunci pintu bilik. Senyap aje didalam.”
    “Ooo... Saya kena kerja overtime malam ni mak cik. Dah janji dengan abang Hafis nak berbuka bersama. Tak sangka pulak majikan Leya arahkan kami kerja overtime.”
    “Tunggu sekejap, biar makcik kejutkan Hafis. Tunggu ye...”
    “Tak pelah mak cik, biarlah dia tidur.”
    “Tunggulah sekejap. Mak cik panggilkan.”
    Leya mengangguk tanda setuju.
    Berkali-kali ibu Hafis mengetuk pintu bilik memanggil Hafis. Namun tidak sepatah pun Hafis menyahut panggilan ibunya. Penat benar anak tekak ibunya memanggil Hafis.
    “Tak bangun dia Leya... Merajuk tu nampak gayanya.”
    “Tak pelah makcik. Bukan salah dia. Salah saya.” Leya merendah diri.
    “Bukan salah kau Leya... Tauke kilangnya tu yang salah tak beritahu awal-awal lagi yang kau kena kerja overtime.” Leya tersenyum dengan kata-kata ibu Hafis. Sekalipun dia keletihan dia masih boleh tersenyum.
    Sebenarnya Hafis tahu yang Leya datang ke rumahnya. Sengaja dia tak mahu keluar bertemu dengan Leya. Dia merajuk dan geram.
    “Tak pelah mak cik, Leya balik dulu ye.”
    “Eh... Dah malam ni, kampung kau jauh. Mana boleh jalan sendiri. Bahaya Leya.”
    “Tak pelah mak cik, lampu elektrik jalan ke kampung Leya kan menyala terang. Apa nak takut.”
    “Leya, walaupun bulan puasa ni syaitan dirantai, tak ada hantu, tapi orang jadi hantu masih ada Leya.. Biar mak cik kejutkan Hafis, suruh hantar kau pulang.” Bergegas ibu Hafis ke bilik Hafis semula mengetuk pintu bilik dan memanggil Hafis.
    “Hafis!!! Hafis!!! Kau tak sayang tunang ke? Kau nak tengok tunang kau tu balik sorang ke rumahnya? Kau tak bimbang ke kalau-kalau tunang kau tu diculik orang?”
    Hafis dengar apa yang dikatakan oleh ibunya. Tapi dia sengaja masih mendiamkan diri di dalam biliknya. Penat mulut ibu Hafis memanggil, namun tak juga Hafis keluar bilik atau menjawab panggilan ibunya.
    “Tak pelah mak cik, Leya minta diri dulu. Leya nak balik. Nanti ibu dengan ayah Leya pulak yang risaukan Leya tak balik-balik.”
    “Leya jangan balik sendirian... Apalah Hafis ni. Tunang nak balik pun tak bimbang” Bebel Ibu Hafis. Leya bersalaman dengan ibu Hafis dan berjalan agak deras untuk pulang ke rumahnya. Sebelum itu sempat juga Leya meminta ibu Hafis sampaikan pesannya pada Hafis tunangnya.
    “Mak cik nanti kalau abang Hafis dah sedar dari pengsannya, beritahu dia kalau esok saya tak ada ke mari, suruh dia jumpa saya kat tempat biasa.”
    “Baiklah Leya. Tapi mak cik risau kau jalan sorang-sorang tu. Nak suruh pak cik kau hantar, dia pulak tak ada kat rumah. Belum balik dari rumah Wak Kamal. Katanya ada mesyuarat.” Ujar Ibu Hafis pada Leya.
    “Tak pelah mak cik, Leya pulang dulu yer.”
    “Baik-baik jalan yer Leya...” Pesan ibu Hafis lagi yang kebimbangan.
    Mendengar yang Leya hendak pulang. Hafis cepat-cepat mencapai seluar yang tergantung di paku  didinding biliknya. Menyarung deras. Dia tak mahu Leya pulang sendirian. Dia bimbang keselamatan tunangnya itu. Secepat itu Hafis membuka daun tingkap biliknya dan terjun dari tingkap mendapatkan Leya yang baru saja melangkah setapak dua dari halaman rumah Hafis.
    “Leya!!! Nanti dulu!”
    Terkejut Leya bila dipanggil Hafis. Terhenti dan terpegun dengan kehadiran Hafis. Ibu Hafis pun sama.
    “Leya, abang hantar yer? Tunggu kejap abang ambil motor kat bawah rumah.” Secepat itu juga Hafis membongkok masuk ke bawah rumah mencari motorsikal. Kemudian menolak tongkat motorsikal dan mengheret keluar dari bawah rumah. Menghampiri Leya yang masih terdiri terpacak menunggu Hafis.
    Berkali-kali Hafis menekat besi start motosikal namun enjin motosikalnya itu tak juga mahu hidup.
    “Abang mana kuncinya. Mana nak hidup enjin tu kalau tak ada kuncinya.” Tegur Leya setelah lama  memerhatikan gelagat Hafis.
    “Ye takye jugalah... Alamak... Leya tunggu sekejap yer abang ambil kunci kat atas.” Bergegas Hafis melangkah satu persatu anak tangga naik ke atas rumah. Ibunya tengah tercegat didepan pintu. Hafis terhenti langkahnya ketika berhadapan dengan ibunya.
    “Ooo....Mak panggil buat tak tahu yerr... Merajuk konon... Kenapa naik ikut pintu? Kenapa tak panjat tingkap je nak ambil kunci motor?” Sindir  ibu Hafis. Hafis tersengih malu. Menggaru-garu kepalanya yang tak gatal.
    “Minta maaf mak... Tumpang lalu... nak ambil kunci motor ni. Tu Leya nak balik. Kesian dia sorang-sorang.” Lembut tersengih-sengih Hafis meminta maaf dari ibunya.
    “Ni...Ni kuncinya... Kenapa tak panjat tingkap, tadi terjun tingkap.” Sindir ibu Hafis lagi. Dari jauh dihalaman rumah, Leya ketawa terkekeh-kekeh geli hati melihat telatah dua beranak itu.
    “Terima kasih mak.” Hafis mencapai kunci motorsikalnya yang sengaja digoyang-goyang di jari telunjuk ibunya.
    “Cepat hantar, cepat balik, jangan melencong pulak nanti.” pesan ibu Hafis.
    Hafis mengangguk tanda faham. Leya masih tergelak panjang. Kali ini bukan kerana telatah ibu Hafis. Sebaliknya dengan cara Hafis memakai seluar.
    “Kenapa Leya ketawa lagi ni?”
    “Abang... Cuba abang tengok betul-betul pada diri abang tu.”
    “Kenapa?  tak ada apa-apa yang tak kena pun.”
    “Abang pakai seluar kantung saku kat luar ke kat dalam?” Tegur Leya yang masih tergelak.
    “Allah... Pakai seluar terbalik pulak ni...” Cepat-cepat Hafis naik semula ke rumah, melangkah lebih cepat dari dua mata anak tangga untuk membetulkan seluarnya. Ibu Hafis turut tergelak. Hafis sudah pun keluar dari biliknya. Turun semula mendapatkan Leya. Kali ini enjin motorsikalnya berderum kasar. Hafis sudah pun menunggang.
    “Jom Leya, cepat naik dah malam ni.”
    Leya memaut bahu Hafis dan meletak punggungnya membonceng. Kedua mereka hilang dalam samar-samar terang cahaya malam.
    Ketika membonceng, sempat juga Leya dan Hafis berbual.
    “Tak merajuk lagi?” Usik Leya.
    Hafis diam. Dia sebenarnya malu dengan Leya sekalipun dia agak geram kerana Leya tak dapat menepati janji. Tapi dia faham mengapa Leya tidak menepati janji.
    “Ada orang tu kannn.... Merajuk kat kita... Tapi sayang kan?”
    “Merajuk apa? Geram!!” Hafis menjawab.
    “Geram?”
    “Emmm. Geram.”
    “Dengan Leya?”
    “Tak...”
    “Abis denga siapa?”
    “Dengan tauke Leyalah.” Leya tergelak kecil  mendengar kata- kata Hafis.
    “Ketawa pulak dia.”
    “Abis nak Leya masam muka?”
    “Tak...”
    “Penat ni tau... Kesian Leya kan?”
    “Dah tahu penat kenapa datang ke rumah. Pulang terus sajalah terlanjur ada van kilang hantar tu.”
    “Itu tandanya sayang dan cintanya Leya pada abang. Leya sanggup buat apa saja untuk abang.”
    “Ooo...”
    “Kenapa ooo pulak?”
    “Tak ada apa-apa.”
    “Abang tak sayang Leya ke?”
    “Kalau tak sayang, takkan terjun tingkap, pakai seluar terbalik tadi.” Leya tergelak kasar mendengar kata- kata Hafis. Hafis sendiri pun gelihati dengan apa yang telah dia lakukan sebentar tadi.
    “Mujur sempat pakai seluarkan bang. Kalau tak pakai, Leya cabut larilah jawabnya.”
    “Ish! Leya ni, malulah abang Leya cakap macam tu.”


SUASANA malam yang samar-samar dek kerana sekali sekala sinaran lampu dari tiang elektrik lebih memberikan rasa romantis untuk dua insan yang bercinta. Meskipun tidak jauh mana antara jarak rumah Leya dengan Hafis, menunggang motor dan membonceng sudah cukup dapat merasakan kehangatan asmara Hafis dan Leya. Mereka masih ada maruah untuk tidak melakukan perkara sumbang. Namun begitu, sesekali ketika Hafis menekan brek motosikalnya kerana mengelak lubang yang tak terkeculi wujud akibat keganasan kenderaan berat yang menggunakan jalan kampungnya itu, membuatkan Leya terpaksa memegang bahu Hafis. Kadang kala sengaja Leya memeluk pinggang Hafis. Berderau juga semangat Hafis ketika sentuhan tubuh dua insan berlain jenis terjadi.
    Bukanlah sejauh mana jarak rumah mereka sekalipun berlain nama kampung. Hafis menunggang motosikalnya agak perlahan. Bukan kerana sengaja ia melakukan begitu, tetapi dia memang cermat ketika menunggang motosikal. Kata orang, berhati-hati di jalan raya. Menunggang dengan cermat jiwa selamat.
    “Leya..”
    “Ada apa bang?”
    “Rumah Leya dah dekat tu.”
    “Kenapa kalau dah dekat?”
    “Tak ada apa-apa...”
    “Abang.... Ni mesti ada apa-apa nak cakap dengan Leyakan?”
    “Taklah...”
    “Cakap ajelah...”
    “Leya....”
    “Apa dia bang?”
    “Leya tak rasa apa-apa ke naik motor dengan abang ni?”
    “Abanggg.... Leya tahu apa yang abang fikirkan sekarang ni.”
    “Apa dia kalau Leya tahu.”
    “Eloklah kita cepat kahwin bang..”
    “Leya.... Dah bersedia?”
    “Emmm.... entah.... Takutlah...”
    “Takut apa....?”
    “Takutlah....”
    “Takut apa dia? Cakaplah?”
    “Abang niii... Jahatlah. Itu rahsia Leyalah..”
    “Cakaplah...”
    “Tak nak...”
    “Cakap je...Abang nak tahu.”
    “Tak nak.... Seganlah.”
    “Apa yang segan ni?”
    “Abang jahat....Suka paksa Leya.”
    Hafis membrek perlahan. Motosikal yang ditunggang oleh Hafis dan Leya sudah pun masuk ke halaman rumah Leya. Belum pun sempat enjin motosikal dimatikan oleh Hafis, tiba-tiba terpancar cahaya terang dari mentol lampu elektrik beranda rumah Leya. Kemudian, daun pintu serambi terbuka. Terdiri  seseorang seperti sedang memerhatikan gelagat Hafis dan Leya yang baru saja sampai. Ibu Leya rupanya sedang menanti kepulangan Leya.
    Leya baru saja turun dari tempat duduk motosikal. Hafis mematikan enjin motosikalnya. Leya berjalan menuju ke tangga beranda.
    “Assalammualaikum...”
    “Waalaikummusalam, kenapa lambat balik Leya. Risau mak tau.” Tanya ibu Leya yang nampak raut wajahnya kebimbangan.
    “Ada overtime, kemudian Leya pergi ke rumah abang Hafis.” Jelas Leya yang sedang membuka kasut bertalinya, menjinjit kasutnya dan menaiki anak tangga ke beranda.
    “Kenapa tak beritahu awal-awal.”
    “Majikan pun tak beritahu awal-awal mak. Pagi tadi diarahkan ramai pekerja kena overtime malam ni.”
    “Dah pukul 12.30 ni, bimbang mak tau.” Leya menghampiri ibunya dan bersalam serta mencium pipi ibunya.
    Hafis masih lagi duduk di atas motor.
    “Assalammualaikum makcik!” dari jarak tidak sampai beberapa meter Hafis memberi ucap salam pada bakal mertuanya. Salam disambut oleh ibu Leya.
    “Tak naik dulu Hafis?” Pelawa Ibu Leya.
    “Tak apalah mak cik, dah malam ni.” Sambut Hafis. “Mak cik, saya minta diri dulu, Leya abang balik dulu.” Hafis meminta diri.
    “Tunggang motor baik-baik Hafis.” Pesan ibu Leya.
    “Abang, jaga-jaga jangan terlanggar lubang kat jalan tu.” Pesan Leya pula.
    “Insya-Allah.” Jawab Hafis sambil menekan semula pedal untuk menghidupkan enjin motosikalnya. Sekali tekan sahaja motosikalnya telah menderum. Motosikal Hafis bergerak perlahan menyusuri jalan yang samar-samar gelapnya, pulang.

LEYA sudah pun masuk ke biliknya. Ibunya yang sejak dari tadi menunggu  kepulangan anak perempuan tunggalnya itu merasa lega. Daun berkembar pintu ruang serambi telah pun ditutup semula. Seketika itu cahaya dari mentol lampu diruang beranda turut terpadam. Ibu Leya tidak terus masuk ke biliknya. Ibu Leya mengetuk pintu bilik Leya yang telah terkunci  dari dalam. Beberapa kali ibunya memanggil Leya, barulah Leya membukanya.
    “Ada apa mak?”
    “Kau ke rumah Hafis malam-malam buta tadi kenapa?”
    “Leya jumpa abang Hafis.”
    “Siang tak ada masa ke nak jumpa?”
    “Leya dah janji nak datang berbuka puasa dengan Hafis. Tapi disebabkan kena kerja overtime, Leya tak dapatlah nak berbuka puasa sama. Sebab tu Leya ke rumah abang Hafis tadi selepas balik kerja.” Jelas Leya pada ibunya.
    “Leya kau tu baru bertunang, tak manis datang rumah tunang kau tu malam-malam. Apa kata keluarga si Hafis tu. Malu mak tau.”
    “Ala.. mak ni mak cik tu tahu apa sebabnya Leya datang malam-malam.” Leya cuba memberikan penjelasan.
    “Kenapa dengan Hafis?”
    “Merajuk..”
    “Orang lelaki pun pandai merajuk? Jadi kau datang  ke sana pasal nak pujuklah?”
    “Taklah... Nak beritahu dia kenapa tak dapat berbuka sama.”
    “Lain kali jangan berjanji.”
    “Janji tak mestinya tak boleh. Bukan sengaja tak ditepati kalau tak ada sebab mak.”
    “Engkau ni Leya, kalau pasal menjawab memang pandai.”
    “Anak mak kan.” Usik Leya.
    “Sudahlah... Mak nak masuk tidur. Malas nak layan kau ni.” Bebel ibu Leya dan berlalu pergi dari bilik Leya, masuk ke biliknya. Leya menutup pintu biliknya semula. Dia menghempaskan tubuhnya semula ke tilam di katil.    Leya tersenyum sendirian. Bukan kerana mengingati gelagat ibunya atau gelagat Hafis tunangnya, tetapi mengingati peristiwa membonceng motor dengan Hafis. Dia masih membayangkan ketika memeluk pinggang Hafis. Sekalipun dia sudah bergelar tunang, belum pernah sekali dia dan Hafis menunggang motosikal pada malam hari sambil memeluk Hafis. Kalau adapun membonceng motor dengan Hafis, itupun waktu siang. Rasa romantiknya tak sama seperti malam itu. Leya terus tersenyum. Senyum yang sungguh bermakna dalam dirinya. Hanya dia saja yang tahu apakah makna senyuman sendiriannya itu. Dia yang merasakan sesuatu yang indah, sebab itu dia tersenyum.
    “Eloklah kita cepat kahwin bang..” Dia masih teringat apa yang telah dia terlepas cakap dengan Hafis semasa membonceng tadi. Leya tersenyum makin lebar.


   

_________________________



Free Francis Lai Orchestra Songs | Free ringtones at EZ-Tracks.com

No comments: