BERSAMA SAYA SUTERA KASIH,DALAM RUANGAN DUNIAKU CERITAKU

followers

Wednesday, 13 April 2011

Bab 6 : Nekad

 Photobucket
AIR MATA SEMALAM
 oleh: suteraungu



BAB 6

Nekad

Cemburu semakin membelenggu perasaan Leya. Selepas waktu sekolah, tengah hari itu Leya sudah bertekad untuk pergi ke rumah Hafis. Leya tidak kira apa juga pandangan keluarga Hafis tentang kehadirannya nanti. Leya mahu kepastian sebenar dari mulut Hafis sendiri.
    Leya telah pun berada di halaman rumah  Hafis tengahari itu. Dia memberanikan diri untuk bertemu dengan Hafis.
    “Assalammualaikum!” Leya memberi salam. Berkali-kali salam diberikan barulah muncul wajah seorang wanita yang berumur, Mak Junah, ibu Hafis.
    “Waalaikummusalam,” sambut mak Junah. “Leya... Naiklah... Ingatkan siapa tadi. Mak cik tak dengar, tengah memasak di dapur.” Sambut Mak Junah mesra. Sebenarnya antara keluarga Hafis dengan Leya sudah biasa dan memang mesra. Cuma sebagai seorang anak gadis, Leya tidaklah dipandang manis kalau berkunjung ke rumah keluarga lelaki. Tambahan pula Leya dan Hafis bukan ada hubungan tali persaudaraan atau ikatan yang membolehkan Leya tidak mahu menjadi bahan bualan orang kampung. Biasalah hidup di kampung, perbualan orang kampung tidak terasing dari mengumpat, mengeji sekalipun ada muafakat. Muafakat pun hanya kerana adat berkampung. Oleh kerana ada inilah, sifat-sifat murni dan tatasusila serta budaya amalan perlu dipatuhi dan dihormati.
    “Terima kasih mak cik, tak pelah saya nak jumpa Hafis sekejap. Dia ada di rumah ke” Jelas Leya  sambil melemparkan senyuman.
    “Hafis? Tak silap mak cik hari ini dia bangun lambat.Tak sempat ke sekolah katanya. Lepas tu entah kemana dia menghilang. Mak cik pun tak tahu. Tak pula dia beritahu kemana dia nak pergi. Ada perkara penting ke Leya nak jumpa Hafis ni Leya.” Agak panjang lebar mak Junah  menjawab, kemudian mengajukan pertanyaan.
    Leya tersenyum. “ Err... Tak ada mak cik, saya cuma nak tanya kenapa dia tak datang sekolah hari ni.” Ujar Leya tiada sebarang alasan yang sewajarnya perlu dia menjawab pertanyaan mak Junah, kecuali bertanyakan perkara itu.
    “Ooo.. Tulah mak cik tengok dia memang terlewat bangun tadi. Sembahyang Subuh pun tak.” Jelas mak Junah lagi.
    “Kalau macam tu tak pelah mak cik, Leya minta diri dulu.” Leya meminta izin untuk beredar dan pulang ke rumah.
    “Tak naik dulu?” Pelawa Mak Junah.
    “Terima kasihlah mak cik, lain kali sajalah. Saya tak beritahu pada keluarga yang saya nak balik lewat. Nanti dia orang tercari-cari pulak.” Jawab Leya. “Minta diri dulu mak cik, assalammualaikum.” Leya berjalan pantas. Langkahnya teratur sekalipun pantas dan haluannya untuk pulang ke rumah. Ibu Hafis hanya memerhatikan saja dari pintu rumah. Setelah jauh Leya meninggalkan kawasan rumah Hafis, barulah Mak Junah menutup daun pintu dan masuk semula ke dapur untuk menyiapkan masakannya.
    Sepanjang jalan pulang, benak Leya hanya berkisar tentang Hafis dan peristiwa yang diceritakan oleh Salihah.   
    “Benarkah? Kalau tidak mengapa Hafis tak datang sekolah hari ini?” Fikir Leya. Bercelaru otaknya memikirkan perkara itu.
    “Leya nak tumpang?” Tersentak Leya dari lamunannya sepanjang perjalanan pulang bila ditegur oleh seseorang. Leya memalingkan muka ke arah seseorang yang menegurnya itu. Munir, anak Haji Kamal rupanya yang menegur. Kebetulan Munir mengayuh basikal pulang dari kedai runcit Wak Meon.
    “Emm... Kau Munir, terperanjat aku.”
    “Beranganlah tu semasa berjalan.” Usik Munir.
    “Tak, aku tengah berfikir sesuatu tadi.” Jelas Leya. Munir turun dari basikalnya dan berjalan sama dengan Leya, menuntun basikalnya.
    “Kau fikir apa? Peperiksaan?”
    “Bukan...”
    “Habis tu apa?”
    “Susah nak cakap.”
    “Kenapa kau lewat ni Leya.”
    “Hari ni kan aku tak bawa basikal. Lewatlah.”
    “Ya.. tak ya juga. Ooo..Kau naik bas tadi. Baru aku ingat.”
    “Pandai pun.”
    “Eh! Pagi tadi aku tengok kau dengan Salihah. Kenapa balik tak saing?”
    “Aku tak tunggu dia pun.” Ujar Leya. Leya sengaja memberi alasan mudah, sekalipun ada sebaliknya yang Leya fikir Munir tidak perlu tahu.
    “Abang Hafis tak sekolah hari ini, kau tahu?”
    “Aku tak tahu. Ini yang nak aku tanya dengan kau. Baguslah kau dah tanya aku.Kau tahu kenapa dia tak sekolah hari ini ye?” Sambut Leya.
    “Aku tanya dengan kau, kau pula tanya aku.”
    “Aku tak tahu Munir. Lagi pun Hafis sekelas dengan kau.”
    “Apa kau ingat aku ni jaga dia ke?”
    “Aku tak kata pun..”
    “Habis tu... Dahlah tu, nak aku hantar kau ke? Marilah.” Pelawa Munir. Malas Munir hendak memanjang perbualan tentang Hafis sambil berjalan kaki. Menuntun basikal pulak tu. Sepatutnya basikalnya berbakti pada dia. Bukan dia yang perlu memperhambakan diri untuk basikal.
    “Tak pelah...”
    “Panas terik ni, rumah kau jauh. Rumah aku sekejap lagi sampai dah..”
    “Okeylah....” Mahu tidak mahu Leya terpaksa akur dengan kehendak Munir. Membonceng juga Leya ke basikal Munir.
    Sepanjang mengayuh basikal, Munir masih sempat bercerita tentang Hafis.
    “Leya, aku fikir Hafis tu ada masalah. Kalau tak mana mungkin dia ponteng sekolah hari ini. Seingat-ingat aku dia bukan kaki ponteng kalau dia tak ada masalah. Entah-entah demam tak?”
    “Aku dah singgah ke rumah dia tadi. Mak dia kata dia terlewat bangun.”
    “Hafis tak ada ke masa kau datang?”
    “Tak adalah. Mak dia kata Hafis keluar sejak pagi lagi.”
    “Kemana?”
    “Eh! Kau ni Munir. Kalau aku tahu tak perlu aku tanya engkau. Mak dia pun tak tahu kemana dia pergi.” Ujar Leya. Sesekali terhenyak-henyak tayar basikal apabila kedua tayar basikal Munir melalui lekak-lekuk jalan yang tidak berturap sempurna.
    “Leya aku nak tanya sikit boleh?” Tiba-tiba saja Munir menaju persoalan.
    “Apa yang kau nak tahu. Banyak pun boleh.” Jawab Leya.
    “Tentang kau dengan Hafis.”
    “Tentang aku dengan Hafis?”
    “Yelah... Aku tengok kau ni agak rapat dengan dia. Yelah manalah tahu kot-kot kau orang berdua ni bercinta”
    “Merepek ajelah kau ni. Kita ni kan kawan sekampung.”
    “Mananya sekampung. Aku yelah sekampung dengan Hafis. Kau tu, nun tu di sana tu kampung kau. Aku tak fikir itu sebenarnya ada dalam hati kau. Kalau tidak mana mungkin kau sibuk sangat sebab Hafis tak ke sekolah hari ini.” Munir cuba memerangkap Leya supaya Leya berkata benarnya.
    “Salah ke kalau aku mengambil tahu tentang Hafis?”
    “Tak salah, kalau ada hubung kait. Kalau tak ada kepentingan, mana mungkin ada orang yang sanggup ambil tahu perkara remeh macam ni.” Munir masih meneka dalam samar.
    “Apapun, kau sendiri tahu yang aku dengan Hafis tu memang rapat dari sekolah rendah lagikan. Tak salah aku perlu ambil tahu tentang dirinya.” Jelas Leya. Dia berharap agar Munir berpuas hati dengan jawapannya itu.
    “Entahlah... Kalau tak ada bulan tak mungkin pungguk mendayu dipohon cemara. Kalau tak ada langit mana mungkin ada awan yang melata. Tak tumbuh tak melata, tak sungguh mana mungkin tak ada orang yang kata. Masakan pokok bergoyang kalau angin tak bertiup.” Sindir Munir selamba. Terasa juga hati Leya dengan sindirin Munir itu.
    “Dari sumber mana kau tahu benda yang bukan-bukan ni semua Munir?” Sengaja Leya mengajukan soalan, meneka sama ada sengaja Munir memerangkapnya atau ada sumber lain yang Munir benar-benar tahu tentang hubungan dia dan Hafis.
    “Kalau aku kata dalam sekolah tu hanya aku saja yang tahu hubungan kau dengan Hafis, macam mana?” Munir menjerat Leya. Jerat percintaan sudah  lepas dari larangan janji.
    “Kau tahu dari siapa Munir, jangan buat tuduhan. Tak baik tau tak.” Leya cuba menafikan.
    “Hafis yang beritahu aku tentang hubungan dia dengan kau.” Terkejut Leya bila mendengar kata-kata Munir itu.
    “Hafis?”
    “Yerrr.”
    “Mengarutlah. Tak percaya aku. Kau ni sengaja nak memerangkap aku. Jangan main-main Munir.” Leya terus menafikannya. Leya tak mahu terperangkap dengan apa yang dikatakan oleh Munir.
    “Rumah kau dah sampai,” beritahu Munir sambil memperlahankan kayuhnya. Seketika kemudian Munir membrek basikalnya, berhenti. “Leya jangan berahsia dengan aku. Aku ni tukang simpan rahsia Hafis, kau tahu tak?” Jelas Munir lagi.
    “Ye ke?” Leya masih enggan untuk menerima apa yang dikatakan oleh Munir.
    “Kalau kau tak percaya, nak aku buktikan pada kau?” Ugut Munir pula.
    “Eh! Kau biar betul Munir.”
    “Aku tahu yang Salihah pernah jatuh hati dengan Hafis. Tapi Hafis menolaknya kerana dia dah ada kau. Betulkan?”
    “Hafis yang beritahu kau ke perkara ni? Atau kau sengaja mengada-adakan cerita, Munir?”
    “Sudahlah Leya, aku letihlah nak cakap dengan kau ni. Kalau itu pun kau masih tak percaya dengan kata-kata aku, biar aku balik dululah. Malaslah nak cakap dengan kau ni. Buang air liur je.” Ujar Munir sambil membelok semula ke arah pulang semula ke kampungnya. Dia mula mengayuh perlahan kemudian sedikit deras.
    “Munir! Munir! Terima kasih...” Leya melambaikan tangan pada Munir, namun Munir tak pula membalasnya. Dia berlalu pergi meninggalkan Leya yang tercegat di simpang jalan masuk ke halaman rumahnya. Leya berjalan perlahan memasuki kawasan halaman rumah. Sampai di tangga dia meninggalkan kasutnya. Kemudian menaiki satu persatu anak tangga rumah yang menghala ke beranda. Leya memberi salam. Seketika kemudian kedengaran seseorang bergegas membuka pintu. Ibu Leya yang muncul didepan pintu. Agak layu dan malas langkah  Leya masuk ke dalam rumah dan kemudian ke biliknya. Langkah Leya itu diperhatikan oleh ibunya.
    “Kau tak makan dulu ke Leya?” Tanya ibunya. Leya tidak menjawab. Sebaliknya terus menghempaskan tubuhnya ke atas katil bertilam separuh empuk. Tilam yang berusia setengah umur Leya. Itulah saja yang mengalas tubuh Leya ketika melelapkan mata. Tilam itulah banyak menyimpan rahsia Leya ketika bersendirian didalam bilik. Ketika Leya menangis, tilam itulah yang menerima tiap titisan air mata Leya. Kalau meleleh air liur pula semasa tidur, bantal pula jadi sasaran air liur Leya meresap.
    Berbagai-bagai peristiwa antara sedih dan gembira, didalam bilik itulah saja tempat Leya melepaskan segala kedukaan, keresahan dan kegembiraan hatinya. Tilam dan bantal menjadi saksi. Kalaulah tilam dan bantal itu boleh berkata-kata, mungkin benda itulah yang mampu melegakan hati Leya yang begitu resah ketika itu.
    “Leya, marilah makan dulu.” Dari ruang dapur kedengaran ibu Leya memanggil Leya berkali-kali. Namun, tidak langsung Leya menjawabnya. Terasa susah hati juga ibu Leya bila langsung Leya tidak menjawab panggilannya. Ibu Leya mengetuk pintu bilik Leya. Namun Leya tidak pun bangun dan membuka pintu biliknya. Ibu Leya cuba membuka pintu bilik itu. Ternyata Leya tidak menguncinya. Dilihatnya Leya sedang meniarap dan meletakkan muka mengiring ke bantal.
    “Leya! Leya! Kau tak nak makan? Mak penat masak. Ada lauk ikan parang masak asam pedas kegemaran kau tu.” Ajak ibu Leya lagi. Namun tak juga disambut oleh Leya. Ibu Leya mendekati Leya, dilihatnya Leya memejamkan mata.
    “Tidur rupanya budak ni. Penat agaknya berjalan tadi.” Fikir Ibu Leya. Kemudian dia keluar dari bilik Leya kerana tidak mahu menganggu tidur anaknya. Dia ingatkan Leya tidur tidak sedarkan diri kerana keletihan. Sebenarnya sengaja Leya memejamkan matanya, malas nak melayan kehendak ibunya. Bukan bermakna dia benci kehadiran ibunya, tetapi kekusutan perasaannya membuatkan dia malas nak bercakap dengan sesiapa pun ketika itu.
    Fikiran Leya jauh melingkar segenap pelusuk kampung, tempat-tempat yang boleh dia bayangkan dimana berkemungkinan Hafis sedang bersendirian ketika itu. Akhirnya bayangan itu hilang dari benak Leya. Leya terlena hingga ke petang.

SENJA itu Leya masih lagi bersendirian didalam biliknya. Dia masih dibayangi dengan segala kata-kata Salihah. Sesekali dia bagaikan malas hendak memikirkan segala apa yang sedang berlaku dalam seharian itu.
    Dalam keadaan separuh malas dan lesu Leya membangunkan dirinya yang sejak pulang dari sekolah terbaring di katil. Waktu Maghrib sudah pun hampir. Leya mengeliat berkali-kali membetulkan urat malasnya kemudian mencapai tuala, membuka pintu bilik dan keluar menuju ke ruang serambi.
    Suasana samar-samar senja menerjah masuk ke pelusuk ruang serambi. Leya mencari kedudukan suiz lampu, menyalakan mentol elektrik. Sekejap itu cahaya mentol elektrik menerangi seluruh ruang serambi rumahnya. Kemudian dia berjalan menuju ke ruang tengah rumahnya dan terus ke dapur. Disitu juga letaknya bilik air.
    Ketika itu tidak kelihatan pun bayang ibunya. Dia tercari-cari di mana ibunya ketika itu. Dijenguknya dari tingkap dapur rumahnya ke luar halaman. Tidak juga ternampak susuk tubuh ibunya. Kemudian dia membuka daun pintu ruang dapur rumahnya yang menghala ke bahagian belakang rumah.
    Leya baru kelihatan ibunya yang sedang terbongkok-bongkok di reban ayam, menghalau ayam-ayam yang degil masuk ke reban. Tersenyum Leya seketika melihat beberapa ekor anak-anak ayam yang dihambat oleh ibu Leya kerana degil tidak mahu masuk ke reban. Riuh pikuk bunyi berketok bapak ayam dan ibu ayam memanggil anak-anaknya masuk ke reban.
    “Syoh! Syoh! Masuk! Degilnya...” Terdengar ibu Leya membebel sambil menghalau anak-anak ayam yang degil itu.
    Setelah diketahui ibunya ada di reban ayam, Leya melangkah masuk ke bilik air. Dia menyiram dirinya, segar semula. Beberapa minit kemudian dia keluar dari bilik air dan masuk semula ke biliknya.
     Suara azan telah pun berkumandang dari corong pembesar suara dari surau hujung kampungnya menandakan telah masuknya waktu Maghrib.
    Di waktu yang sama ibu Leya yang tadinya sibuk dengan ayam-ayam ternakannya sudah pun masuk ke dalam rumah.
    Leya memulakan solat Maghrib. Selesai bersolat, dia berdoa meminta ampun dari Ilahi. Seketika waktu terluang itu juga dia memohon petunjuk dari Ilahi agar masalahnya dapat di selesaikan dan mencari di mana kebenarannya.
    “Hafis... Benarkah kau memungkiri cinta kita?” Bisik hati kecil Leya.


No comments: