AIR MATA SEMALAM
oleh: suteraungu
BAB 4
Mengapa Harus Terjadi
Mengapa Harus Terjadi
Air mengalir lesu dari sungai yang menghubungi air terjun kedengaran riak-riaknya seakan-akan mendendangkan lagu-lagu cinta yang sungguh indah. Air yang mengalir itu seakan-akan lesu bersama Leya. Tidak pernah disangkanya Salihah sanggup merobek perasaan setianya bersahabat. Leya juga sudah mula cemburu dengan Hafis. Entah mengapa perasaan cemburu selamanya ini yang tidak pernah ada pada dirinya, tiba-tiba saja hadir.
Pagi itu Hafis mengajak Leya keluar bersiar-siar ke sungai dekat kampungnya. Sememangnya dia dan Leya ke situ kalau ingin melepaskan rasa kerinduan untuk bersama sekalipun sering bertemu di sekolah. Namun keindahan percintaan lebih dapat dirasakan jika ianya berduaan.Walaupun tempat itu jauh dari kehadiran orang ramai, terutama penduduk kampung, itu tidak bermakna kesempatan untuk mereka berdua melakukan perkara yang kurang sopan. Mereka masih dapat mengawal perasaan dan menghormati budaya dan agama.
“Leya... Abang ada perkara nak jelaskan pada Leya.Tapi Leya jangan pulak nanti anggap abang yang bukan-bukan.”
“Ada apa bang?”
“Semalam...”
“Kenapa dengan semalam?”
“Kan abang ajak Leya ke sekolah, abang ada latihan sepak takraw.”
“Kenapa pulak? Abang jatuh yer sebab Leya tak ada? Atau abang kalah dengan lawan abang masa latihan sebab Leya tak beri sokongan?”
“Tak, bukan sebab itu.”
“Kalau tak sebab itu, kenapa pulak?”
Hafis menghampiri Leya, agak rapat. Sejak tadi masing duduk agak jauh. Leya memandang tepat mata Hafis. Dia seperti sedang menduga sesuatu dari lubuk hati Hafis. Sememangnya Leya dapat menghayati apa yang terkandung dan tersirat didalam hati Hafis. Begitulah setiap kali mereka bertemu dan bercerita apa juga perkara sama ada masalah atau perkara-perkara yang menggembirakan.
“Leya rasalah abang ni ada buat salah di belakang Leya.” Leya menduga hati Hafis. Berdegup jantung Hafis bila Leya berkata seperti itu. Hafis memang sedar yang semalam dia memang buat salah. Salahnya kerana memboncengkan Salihah pulang dari sekolah dan minum bersama di warung Salih. Dua kesalahan yang tidak sepatutnya dia lakukan ketika itu. Sudah tentu kalau Leya dengar ceritanya itu dari mulut Salih atau sesiapa saja pelajar sekolahnya yang mengenali Leya dan ternampak dia bersama Salihah semalam, sudah tentu Leya sedih. Sudah tentu kekasih hatinya itu kecewa dengan sikapnya.
“Benar Leya... Abang ada buat salah petang semalam. Pada abang satu kesalahan besar yang tidak sepatutnya abang lakukan.” Memang seperti itulah perangai jujur Hafis kepada Leya. Di suka berterus terang.
“Leya tak tahu apa salah abang, tapi Leya harap abang ceritakan dan kalau ianya melibatkan perasaan Leya, Leya harap abang tak akan lakukannya berulang.” Leya memang sporting, namun dia lebih suka mendengar terlebih dahulu pengakuan dari mulut Hafis. “Apa dia bang, cakaplah, Leya sedia mendengarnya.”
“Leya, sekalipun bila Leya dengar apa yang hendak abang katakan ini, Leya tidak dapat maafkan abang, abang terima.”
“Abang... Kita dah berkawan lama, bercinta pun dah dua tahun, nak masuk tiga tahun. Leya kenal abang. Leya faham sikap abang. Kenapa Leya tak boleh bertolak ansur dengan abang?”
“Terima kasih Leya...”
“Cakaplah bang, apa dia yang telah mengganggu fikiran abang ni..” Leya memang manja dengan Hafis, tapi kemanjaannya ada batasnya.
“Leya, semalam semasa pulang dari sekolah selepas latihan takraw, abang tumpangkan Salihah naik motosikal. Abang kesian dia jalan seorang.”
“Abang jumpa dia kat mana masa tu?” Tanya Leya ingin tahu, bukan curiga.
“ Dia datang ke dewan tengok kita orang semua berlatih sepak takraw. Abang nampak dia semasa abang dah habis berlatih. Abang tegur dia. Sebab abang tegur dia tu, abang fikir dia sahabat baik Leya. Tak salahkan?” Hafis cuba memberikan penjelasan tapi belum habis penjelasannya. Masih ada yang tersimpan dan amat sukar untuk dia luahkan. Takut-takut Leya terperanjat dan kecewa nanti.
“Leya ada jumpa dia semalam masa di kedai runcit Pak Mion. Leya tanya dia nak ke mana. Katanya ada projek kat sekolah.”
“Em.. Katanya macam tulah pada abang.” Hafis menyampuk. “Masa abang nak balik abang tanya dia datang ke sekolah naik apa? Dia kata naik bas. Abang tanya nak tumpang tak.”
“Gatalnya abang yeee...” Belum pun sempat Hafis menjelaskan perkara sebanar, Leya telah menyindirnya. Macam cemburu saja gaya Leya ketika itu. Maklumlah selama ini belum ada gadis lain yang dibawa oleh Hafis membonceng motosikalnya kecuali Leya. Dengan manja Leya mencubit lengan Hafis. Terjerit kecil Hafis bila terasa dicubit. Leya bukan cemburu. Cuma sengaja dia hendak mencubit.
“Bukan macam itu Leya. Tak terniat abang nak mengambil kesempatan. Kebetulan dia tu kan sahabat Leya. Tinggal pun dekat rumah Leyakan.” Jelas Hafis lagi.
“Alaa.. Kalau setakat Lihah, Leya tak kisah kalau dia abang tumpangkan. Diakan sahabat Leya dari kecil.” Leya percaya yang Salihah adalah sahabat baiknya, mana mungkin Salihah dan Hafis berbuat perkara tak baik di belakangnya.
“Sebab itulah abang tumpangkan. Tapi...” Hafis masih ada lagi sesuatu yang ingin diberitahunya pada Leya. Namun dia agak teragak-agak untuk menerangkannya.
“Apa pulak yang tapi... Tapinya bang?”
“Leya, semalam juga abang singgah warung abang Salih. Abang minum dengan Salihah kat situ.”
“Sempat berdua-duaan tu.” Leya mula rasa cemburu bila dia mendapat tahu dari mulut Hafis perkara itu. “Beraninya abang yer? Tak rasa segan ke dengan abang Salih?” sindir Leya lagi. Agak sedikit rasa marah mula terluah dari mulut Leya.
“Entahlah Leya, kenapa abang boleh buat macam itu. Abang tak berniat langsung sebenarnya nak ajak dia minum kat situ semalam, kebetulan saja tiba-tiba abang boleh ajak dia minum.” Hafis cuba menjelaskan perkara sebenar.
“Dah tu abang pergi mana?”
“Tak ke mana pun lepas tu.”
“Abang hantar dia sampai ke rumah ke?”
“Tak, dia balik jalan kaki sendiri.”
“Laaa... Kenapa tak hantar?”
“Leya, macam menyindir saja ni.”
“Abang, Leya tahu dia sahabat Leya. Leya percaya dia dan Leya percaya abang juga. Kenapa pulak abang kata Leya menyindir pulak. Macam termakan lada aje abang ni.” Terasa benar hati Hafis bila sekali lagi tersindir Leya. Dia tahu Leya belum tahu lagi perkara sebenar. Dia bimbang nanti Leya merasa sedih kalau dia terus memberitahu perkara sebenar pada Leya. Tapi dia perlu berterus terang sebelum ada orang lain terlebih dahulu memberitahu perkara sebenarnya. Hafis takut Salihah atau sesiapa saja dan mungkin Salihah sendiri memberitahu Leya apa yang sebenarnya berlaku semalam.
“Macam ni Leya, ketika abang minum bersamanya semalam, Lihah ada bercakap dengan abang tentang...tentang...erm...” Tak sanggup Hafis hendak meneruskan penjelasannya kepada Leya.
“Tentang apa, bang? Cakaplah kenapa teragak-agak ni?” Tak sabar Leya hendak mengetahui perkara sebenar. Sudah sejam lamanya mereka ditepi sungai itu, masih belum ada penjelasan sebenar Hafis kepada Leya. Leya ternanti-nanti cerita Hafis tentang apa yang sebenarnya telah berlaku antara Hafis dan Salihah petang semalam tanpa pengetahuannya.
“Leya... Salihah beritahu abang yang dia sebenarnya menaruh harapan terhadap abang dalam diam selama ini.” Terpaksalah Hafis berterus terang pada Leya. Tergamam Leya ketika itu. Dipandangnya tepat mata Hafis. Lama dia bertentang mata. Kemudian Leya menunduk. Seketika itu pula air matanya tiba-tiba saja menitis membasahi pipi.
“Leya....Leya...” Hafis cuba memujuk.
Leya diam...Namun air matanya tidak pula mahu berhenti mengalir dari kelopak. Leya melempar jauh pandangannya ke arah air sungai yang mengalir.
“Leya... Leya, dengar sini sayang. Abang tak salah dalam perkara ini dan abang pun tak tahu. Kalau abang tahu yang Salihah ada niat sepert itu, mungkin abang tak tumpangkan dia semalam.” Hafis cuba menjelaskan niatnya sebenar.
“Abang terima dia?” Terlontar kata-kata itu dari mulut Leya. Hafis tergamam.
“Leya, kalau abang terima, bermakna abang bermain api. Abang tak terima pun. Abang kata abang anggap dia kawan dan tak lebih dari itu.” Jelas Hafis sungguh-sungguh.
“Itu saja alasan abang untuk menolak harapan dia?”
“Yer...”
“Kenapa tak cakap yang abang dah ada kekasih?” Berderau semangat Hafis bila persoalan seperti itu dilemparkan kepadanya. Hafis tak tahu hendak kata apa lagi. Namun dia perlu menenangkan perasaan Leya kekasihnya yang murung dan dia tahu Leya sudah mula curiga dengannya.
“Tak....” Terlontar sesingkat itu dari mulut Hafis. Leya memandang Hafis sekali lagi.Kali ini lebih lama matanya merenung mata Hafis.
“Kenapa? Ada niat serong?” Leya melepaskan perasaan curiganya. Hafis menggeleng berkali-kali.
“Tak.... Abang bimbang rahsia cinta kita diketahui oleh semua pelajar. Abang takut nanti Salihah gembar-gemburkan.”
“Baguslah...” ujar Leya singkat sambil memalingkan mukanya memandang ke persekitaran tumbuh-tumbuhan menghijau di tepi sungai itu.
“Kenapa pulak?” Hafis kebingungan.
“Tak ada apa-apa.” sambut Leya.
“Abang tak faham dengan apa yang Leya katakan ni.”
“Leya kata tak ada apa-apa, cuma Leya kata baguslah abang tak beritahu Salihah perkara sebenar tentang kita.” Leya tidak ada niat untuk memaksa Hafis supaya patuh dengan caranya. Ada baiknya percintaan antara dia dan Hafis tidak diketahui oleh Salihah. Dia tak mahu Salihah putus persahabatan dengannya. Persahabatan yang begitu erat sejak dari kecil lagi.Tetapi dia sedikit kecewa bila dia dapat tahu yang Salihah juga ada hati dengan Hafis kekasihnya. Memang agak terkejut bila mendengar penjelasan Hafis tentang apa yang tersirat dihati Salihah. Kasihan juga dia dengan sahabatnya itu. Tapi apa yang mampu dia lakukan sedangkan Hafis adalah kekasihnya. Selama ini tiada tanda-tanda yang Salihah mencintai Hafis. Malah Salihah tidak pernah bercakap dengan Leya tentang Hafis apa lagi menyebut tentang perasaan yang dipendamnya terhadap Hafis.Tidak pernah pula Hafis begitu rapat dengan Salihah sebelum ini. Leya merasa pelik benar, mengapa tiba- tiba saja petang semalam Salihah dan Hafis boleh bertemu dan bercerita tentang perasaan pula.
“Leya... Leya, maafkan abang yer. Abang tak ada niat untuk berlaku curang dan tidak setia terhadap Leya.” Ujar Hafis dengan rasa bersalah.
“Tak apalah bang. Leya faham... Cuma Leya tak sangka yang Salihah ada menyimpan perasaan terhadap abang. Kesian dia. Kalaulah dia tahu yang Leya ini adalah kekasih abang, sudah tentu dia tak mahu bersahabat dengan Leya lagi.”
“Mungkin. Itulah yang abang fikirkan. Sebab itu abang lebih dulu berterus terang dengan Leya supaya Leya tidak dengar cakap-cakap dia. Manalah tahu dia tokok tambah pulak nanti.” Ujar Hafis.
“Dahlah bang, kita lupakan tentang dia. Kita ke mari nak cerita pasal kita kan? Nanti pandailah Leya cakap dengan dia. Leya berselindung. Leya tak cakap tentang hubungan kita.” Leya mula tersenyum. Senang benar hati Hafis bila Leya berpendirian terbuka dan bersedia menerima hakikat peristiwa semalam antara dia dan Salihah.
“Terima kasih sayang.” Hafis cuba mengambil hati Leya. Leya tersenyum manja bila perkataan sayang terluah dari mulut Hafis. Memang itu yang dia mahukan setiap hari tapi manalah ada kesempatan kalau di sekolah untuk menuturkan perkataan sayang berkali-kali bila bersama. Bahaya kalau didengar oleh guru.
“Bukankah kerana itu abang ajak Leya kemari kan?”
“Kebetulan saja kita ke mari, lantas abang mahu berterus terang. Kita ke mari sebab nak lepaskan perasaan rindu abang terhadap Leya.” ujar Hafis.
“Di sekolahkan dah tiap-tiap hari jumpa.”
“Di sekolah kita sebut, Leya, Hafis, Leya, Hafis itu saja mana ada sayang, sayang, abang, sayang.” Leya ketawa kecil bila mendengar kata-kata Hafis itu.
“Kat sekolah tak boleh bermanja-manjakan?” Sambung Leya.
“Kat sini pun tak boleh, bahaya, setan banyak.” Sampuk Hafis.
“Sikit-sikit bolehlah...”
“Leya... Leya ni nakallah.”
“Abang lagi nakal.”
“Apa pulak?”
“Tadi tu sempat juga pegang tangan Leya, tak nakal tu namanya.”
“Kebetulan tu, masa tu kan Leya nak menangkah alur sungai tu. Lagipun tangan je bukan tempat lainkan..” Balas Hafis sambil ketawa kecil. Leya mengerling manja.
“Abang memang gatal...”
BILA Hafis ingatkan semula kisah zaman sekolahnya dulu, tidak pernah dia terfikir yang dia akhirnya bertunang dengan Leya. Percintaan mereka begitu unik hinggakan ianya menjadi kejutan kepada semua teman-teman sekolahnya. Malah ada dikalangan anak dara sekampung dengannya turut terkejut dan sedikit kecewa bila mendapat tahu yang Hafis akan bertunang dengan Leya.
Ibu bapa Hafis juga terkejut dengan keputusan Hafis untuk bertunang dalam usia yang masih muda. Jika diukur usia pada era zaman ini, usia 23 tahun adalah terlalu muda untuk seorang lelaki berkahwin. Namun anggapan orang kampung usia seperti itu amat sesuai pada anak dara. Menjangkau usia 25 tahun bagi anak gadis sudah dikira hampir menjadi andalusia. Jika 23 tahun sudah dikira sedang elok berumahtangga.
Hafis tidak dapat melanjutkan pelajarannya ke universiti bukan kerana dia gagal dalam peperiksaan SPM. Dia pelajar terbaik berbanding dengan pelajar-pelajar seangkatan dengannya. Hafis telah memohon dan mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Kebangsaan Malaysia, malangnya ketika itu keluarganya tidak berkemampuan untuk mendahulukan wang masuk ke pengajiannya. Maklumlah dengan tulang empat kerat ayah Hafis bertungukus lumus diladang sawit, manalah mungkin dapat mengumpul sejumlah wang agak dikira banyak. Sekalipun sejumlah RM1,800 itu jika dikira oleh orang berada, ianya dikatakan tidak banyak. Tapi bagi orang kampung jumlah wang sebanyak itu sukar utuk dikumpulkan. Tambahan pula harga kelapa sawit tidak menentu, Jika sekarang harga kelapa sawit melambung tinggi seperti suatu ketika dulu, mungkin Hafis masih ada peluang untuk melanjutkan pelajarannya.
Desakan hidup yang tidak dikatakan miskin dan ianya disifatkan sederhana, wang yang diperolehi dari pendapatan harian Haji Seman bertungkus lumus di ladang dan juga sedikit sebanyak dari hasil mengambil upah memperbaiki rumah-rumah orang kampung yang rosak amat perlu untuk anak-anak yang lain yang masih memerlukan pelajaran sekurang-kurangnya mencapai peringkat menengah. Pada fikir Haji Seman, kejayaan anaknya Hafis mendapat keputusan terbaik dalam peperiksaan SPM sudah cukup berilmu dan setidak-tidaknya dapat juga Hafis mencari pekerjaan yang bersesuaian dengan sijil yang ada berbanding jika tidak berpelajaran langsung. Haji Seman juga tidak mahu anak-anaknya yang masih belajar dibangku sekolah rendah dan ada yang sekolah menengah tercicir dek kerana ingin memodalkan Hafis ke universiti.
Haji Seman bukan tidak teringin dan bangga kalau anaknya masuk universiti. Ayah mana yang tidak bangga melihat anaknya membawa segulung ijazah dan digelar graduan. Tapi, dia harus memikirkan soal anak-anaknya yang lain juga. Dia tahu yang Hafis faham masalahnya. Dia berharap Hafis dapat membantunya membiayai pelajaran adik-adiknya pula dengan bekerja selepas tamat SPM.
“Hafis, ayah harap kau tidak kecil hati dengan ayah kerana ayah tak mampu nak bagi kau pelajaran sampai univerisiti tu.”
“Hafis faham ayah, Hafis pun bercadang, biarlah Hafis cari kerja dulu, yelah.. untuk membantu keluarga kita ni. Adik-adik pun masih sekolah lagi.”
“Mak pun macam tu Hafis, emak mana yang tak suka anaknya melanjutkan pelajaran ke universiti. Mak harap kau faham masalah keluarga kita ni.”
“Ayah, mak, Hafis faham dan Hafis pun berniat untuk membantu emak dan ayah.”
SEJAK lepas sekolah, bermulalah Hafis mencari pekerjaan. Lepas satu kilang ke satu kilang dia temuduga, namun dia masih tidak mendapat satu pekerjaan yang sesuai dengan kehendaknya. Hafis bukan tidak mahu kerja sebagai operator kilang, dia ingin mendapatkan kerja yang berkedudukan sedikit dari pekerja kilang sekalipun di dalam kilang.
Sebulan lamanya Hafis menganggur, selama itulah dia tidak pernah lekat di rumah. Hafis lebih senang duduk di warung Salih, menolong Salih dan Salih pula mampu membayar sedikit sebanyak upah pada Hafis. Bukan Hafis mahu bekerja di warung, dia ada tujuan lain apabila berada di warung Salih. Salah satu sebabnya, dia tidak perlu membeli surat khabar semata-mata untuk melihat iklan kerja kosong. Di samping itu, perutnya terisi juga tanpa menyusahkan mak bapaknya menanggung makan. Ketiganya, yang ini paling membahagiakan hatinya, bila tiap-tiap pagi dan petang dia dapat bertemu dengan buah hatinya yang sudah bekerja di kilang elektronik di bandar.
Kebetulan tempat pekerja kilang menunggu bas kilang datang berhadapan dengan warung Salih. Maka tidak perlulah Hafis bersusah-susah untuk bertemu janji dengan buah hatinya bila dia rindu. Kalau dulu semasa bersekolah, mereka boleh bertemu di sekolah. Selepas tamat sekolah, tiada cara lain yang sesuai untuk kerap bertemu selain dari menunggu kekasih hatinya waktu pergi kerja dan pulang kerja.
Lebih kurang sebulan setengah Hafis mencari pekerjaan melalui iklan di akhbar, akhirnya dia berjaya juga memohon beberapa jawatan yang dia rasakan bersesuaian dengan jiwa dan kemampuan dirinya.
“Bang, esok saya lewat sikit ke mari bang.” Beritahu Hafis pada Salih.
“Kenapa pulak?”
“Macam ni bang, esok saya ada temuduga kerja di bandar.”
“Kerja apa?”
“Teknikal...”
“Besar gajinya Hafis?”
“Entah... Belum temuduga manalah saya tahu. Tapi, menurut tawarannya dalam iklan surat khabar minggu lalu tu, adalah RM1,500.”
“Besar tu Hafis. Abang berniaga kat warung ni pun tak dapat sebanyak itu sebulan.”
Hafis sudah tekad kalau dia berjaya dalam temuduga pertamanya ini, dia akan adakan kenduri kesyukuran selepas mendapat gaji pertamanya. Dia berhajat mahu membelikan ayahnya kain pelekat, sejadah dan kopiah. Selalu sangat dia lihat ayahnya pakai kain pelekat yang dah lusuh. Kopiah ayahnya pun dah penuh dengan tahi lalat. Sejadah yang digunakan oleh ayahnya juga dah lekuk berserabut benang dah lekang akibat terlalu banyak sejadah itu menerima dahi ayahnya ketika bersujud. Untuk ibunya pula dia berhajat untuk membelikan kain batik, telekung dan tudung. Dah bercapuk-capuk warna telekung ibunya di makan hari. Dia juga berniat untuk membelikan adik-adiknya sepasang kasut sekolah, baju dan kain sekolah serta tudung. Hafis mahu adik-adiknya cantik ke sekolah dan kelihatan bersih serta kemas.
Hafis juga tidak melupakan buah hatinya. Dia akan belikan kekasihnya sehelai tudung berwarna biru. Hafis sukakan kekasihnya bertudung, tambahan pula kalau berwarna biru. Tersenyum Hafis pagi itu sendirian duduk di kerusi mendagu di meja sambil membelek-belek akhbar. Dia sedang mengelamun.
“Apa yang kau ngelamunkan tu Hafis?” Usik Salih. Tersentak sedikit Hafis ketika itu.
“Tak de lah bang, saya dok fikir kalau saya dapat kerja nanti macam-macam yang saya nak buat dengan duit gaji pertama saya tu.” Jelas Hafis.
“Kenapa? Kau nak kahwin ke?” Usik Salih.
“Eh... Merepek ajelah abang ni, ada ke sampai kesitu. Baru kerja manalah boleh kahwin dulu. Tunggulah setahun ke, dua tahun ke.. Baru fikir tentang kahwin.”
“Buat apa lama-lama nanti awek kau tu kena kebas nanti. Awek cantik, mengancam pulak tu. Kat kilang tu ramai lelaki. Manalah tahu ada yang tersangkut kat awek kau tu nanti...”
“Taklah bang dia setia dengan saya bang, macam saya setiakan dengan dia.”
“Itu kata kau, kata hati dia, manalah tahu tiba-tiba saja termakan budi, terjatuh hati. Hati perempuan ni mudah cair, Hafis....”
“Abang ni... Jangan doakan macam tu.”
“Takut kau yer...” Tergelak Salih bila memandang, ada riak curiga pada raut wajah Hafis ketika itu.
“Mestilah takut. Siapa yang tak sayang awek. Abang pun kan sayangkan awek abang juga.”
“Hafis, aku ni manalah ada awek. Manalah anak dara kampung ni yang berkenan dengan aku. Kalau adapun, sudah tentu anak dara tu entah malang apa agaknya.” Salih merendah diri.
“Elehhh.... Konon tak ade awek, tu si...”
“Siapa?”
“Macamlah Hafis tak tahu.”
“Siapa Hafis, jangan serkap jarang. Jangan buat tanggapan tak tentu pasal.”
“Macamlah Hafis tak tahu yang abang berkenan dengan Jemah anak Wak Dolah dodol tu.”
“Oo...” Tergelak kecil Salih bila dia mendengar nama Jemah di sebut Hafis. “Jemah tu yang kau kata aku syok dengan dia? Eh... Tak ada orang lain ke yang hendak kau pasangkan dengan aku ni Hafis? Kalau si Intan ke, si...” Menggeleng kepala Salih bila memikirkan tentang Jemah. Bukan dia tak suka Jemah. Dia pun ada pasang niat mahukan Jemah. Cuma dia tak tahan dengan perangai angkuh Wak Dolah dodol tu. Mulutnya mengalahkan pisau dan parang tajamnya kalau bercakap pasal memilih menantu. Setakat ini sudah lima pemuda kampung dan dari luar yang masuk meminang si Jemah, semuanya ditolak bulat-buat. Kesian juga Salih kalau-kalau diingatnya nanti si Jemah jadi andalusia pulak. Sekarang ni pun dah jejak 26 tahun usia si Jemah. Tahun depan sudah 27, macam mana pulak nanti lima tahun akan datang masih belum ada yang berkenan di hati Wak Dolah untuk jadi menantunya.
“Siapa lagi yang abang nak cuba-cuba ni? Anak dara mana pulak yang abang berkenan lagi. Abang ni mata keranjanglah, tak boleh tengok tumit merah, mulalah rambang mata.”
“Apa kata kalau aku sukakan si Salihah tu? Kau boleh tolong rekemenkan?”
Terkejut Hafis bila Salih menyebut nama Salihah. Hafis terdiam sejenak.
“Kenapa dia, Hafis? Kau tak suka kalau abang beristerikan si Salihah tu?”
“Tak...” Teragak-agak jawab Hafis.
“Kau kata tak? Kenapa?”
“Bukan macam tu bang, maksud saya, saya setuju je kalau abang beristerikan Salihah tu. Tapi bab nak rekemenkan ni... payahlah sikit bang. Abang kena tanya sendiri aje lah.” Ujar Hafis. Dia tidak mahu campur tangan perkara seperti itu. Bukan dia tidak boleh membantu Salih untuk memberitahu niat Salih itu pada anak dara yang Salih berkenan. Cuma yang dia tak mahu menolong Salih disebabkan Salihah. Dia tak mahu nanti Salihah tersalah anggap pulak bila dia bertemu dengan Salihah.
“Sebut pasal Salihah ni bang... dia belajar lagi ke atau dah kerja?” Hafis mengalih tajuk perbualan.
“Entah. Aku dengar dah kerja di bandar. Kerja apa pun aku tak tahu.”
“Kalau abang tak tahu dia dah kerja ke belum ke macam mana abang nak dating dengan dia nanti.”
“Eh...Kau ni merepek ajelah Hafis. Bukan senang nak dating dengan Salihah tu tau.”
“Kenapa pulak?”
“Kau nak tahu?”
“Apa dia bang?” Salih yang duduk agak berjauhan sedikit dari Hafis bangun dan duduk berdepan dengan Hafis. Salih hendak bercakap dengan Hafis, seolah-olah ada rahsia yang mahu disampaikan oleh Salih tentang Salihah pada Hafis.
“Apa dia bang?” Tak sabar Hafis mahu mendengar cerita tentang Salihah.
“Aku pernah nampak Salihah tu kat bandar. Waktu tu aku ke bank. Kebetulan tengah hari tu, aku singgah kat satu restoran yang ada class sikit.”
“Hai... Dah ada warung nak makan kat restoran pulak?” Hafis mencelah.
“Apa kau ingat aku ni tak ada keinginan nak rasa makanan yang mewah sikit ke?” Macam marah saja nada suara Salih memecah gegendang telinga Hafis.
“Abang marah saya cakap macam tu?” Tanya Hafis.
“Tak, suka... Ni... Kau nak dengar tak aku cerita ni?”
“Bukan bercerita ni bang, ni dah kira mengumpat ni bang.”
“Tak kiralah, kalau kau nak dengar, kalau tak nak aku tak cerita.”
“Lantak abanglah, nak juga saya dengar. Apa dia yang abang nampak”
Tengah hari itu Salih cuba memasuki sebuah restoran ternama, kononnya hendak merasa kelazatan makanan yang disajikan di restoran itu dan disamping hendak menyejukkan badannya dengan kedingian hawa dingin, Salih terpandang Salihah berkepit dengan lelaki. Pakaian Salihah bukan main seksinya. Tudung tidak kelihatan di kepala, kain pula belah sana belah sini, dadanya yang bidang pun macam mahu melompat keluar sepasang daging pejal yang membonjol. Rambut pun sudah bercorak lain warnanya. Membutang mata setiap lelaki yang terpandang akan Salihah ketika itu sekalipun disebelahnya ada lelaki yang mungkin temannya. Tak kurang terbeliaknya mata Salih memandang dari atas hingga ke bawah tubuh Salihah. Terliur juga Salih ketika itu. Alangkah cantiknya Salihah berbanding sewaktu zaman persekolahannya.
“Macam tulah ceritanya Hafis...” Ujar Salih.
“Hebat tu dia sekarang.” Sambut Hafis dan tersenyum.
“Tulah yang aku nak kau tolong uruskan agar aku dapat bertemu dengan dia. Apa orang kata tu Hafis? Dating? Aaaa macam tulah bunyinya.” Pinta Salih.
“Nantilah bang, kalau saya terjumpa dia, saya beritahu yang abang kirim salam padanya.” Ujar Hafis. “Tapi saya tak janji tau.” Jelasnya lagi.
HARI esok yang dinantikan hanya tinggal beberapa jam saja lagi akan tiba. Petang itu Hafis berhajat untuk bertemu Leya. Seperti biasa sebelum warung Salih ditutup ketika hampir senja, Leya akan sampai di simpang. Ketika itulah Hafis masih tertonggok di depan warung setiap petang menunggu kepulangan Leya dan menghantar Leya pulang ke rumah. Tapi, petang ini dia ingin bersama dengan Leya lebih lama dari selalu. Dia tidak akan terus menghantar Leya pulang ke rumah. Hafis bercadang hendak memberitahu tentang Leya yang esok dia akan ke temuduga.
Jarum jam yang dipakai di tangan Hafis sudah menunjukkan pukul 6 petang. Hanya beberapa minit saja lagi sampailah bas kilang yang membawa Leya pulang dari kerja.
Seperti yang dijangkakan bas kilang yang membawa Leya pulang dari kerja telah pun berhenti di simpang jalan masuk ke kampung. Berduyun-duyun turun anak dara dari pintu bas. Antara beberapa orang anak dara itu, kelihatan Leya menuruni anak tangga bas. Dari jauh dia sudah tersenyum memandang Hafis yang tertonggok di warung Salih. Hafis juga tersenyum melebar bila terpandangkan Leya. Leya berjalan lemah lembut bersopan mendapatkan Hafis.
“Abang...” Tegur Leya. Hafis hanya tersenyum.
“Leya nak minum dulu?” Pelawa Hafis.
Leya menggeleng tanda tidak mahu. “ Tak naklah bang,” ujarnya.
“Leya nak pulang terus ke?”
“Kenapa?” Tanya Leya kehairanan.
“Abang ingat nak berbual dengan Leya lama sikit.” Beritahu Hafis.
“Kalau macam tu kita nak pergi mana?”
“Apa kata kita pergi ke....”
“Kemana?”
“Taman permainan kanak-kanak dekat dewan masyarakat tu.” Ujar Hafis sambil menuding jari menunjuk ke arah taman permainan kanak-kanak yang jauhnya beberapa meter saja dari warung Salih.
“Boleh juga, tapi jangan lama tau, emak tak tahu ni Leya nak balik lambat.” Ujar Leya setuju.
“Ok...” Hafis bangun dari duduknya di kerusi dekat warung Salih, terus ke motosikalnya. “ Bang! Saya balik dulu ye..” Beritahu Hafis pada Salih. Kemudian dia beberapa kali menekan pedal untuk menghidupkan enjin motosikalnya. Enjin motosikal jenama Honda telah berderum. Leya membonceng di belakang. Mereka berdua berlalu meninggalkan kawasan warung Salih menuju ke destinasi yang telah dipersetujui. Disitulah Hafis memberitahu Leya tujuan kenapa dia ingin berbual dengan Leya petang itu agak lama sikit dari waktu-waktu selalu.
“Baguslah bang... Leya doakan abang berjaya dalam temuduga tu nanti.”
“Kalau abang dah kerja lama sikit, nanti kita boleh bertunang.” Leya tunduk malu bila mendengar kata-kata janji Hafis. Berderau juga jantungnya bila mendengar perkataan bertunang. Gembira hatinya tidak terkira kalaulah dia dipinang oleh keluarga Hafis nanti. Terfikir ketika itu macam mana nanti selepas bertunang dia akan jadi isteri.
“Abang... Kenapa abang sejauh itu fikirkan tentang kita?” Leya masih tunduk malu, namun begitu sempat juga dia mengutarakan soalan yang agak cepu emas baginya. Dia ingin Hafis menjawab betul-betul membuatkan hatinya gembira dan biarlah jawapan itu dari hati Hafis sendiri dan bukan dari cantuman dua bibir Hafis semata-mata.
“Leya... Hafis sayangkan Leya, Hafis mahu kita dapat hidup sebagai sepasang kekasih yang sentiasa didalam kegembiraan dan bahagia.” Ujar Hafis. Tiba-tiba saja tangan Hafis mengangkat dagu Leya, dia mahu menatap wajah Leya yang dia tahu ketika itu begitu malu. Leya mengikut saja apa yang Hafis lakukan padanya. Sekadar memegang dagu dan menatap wajah satu perkara yang Leya relakan sekalipun dia tahu itu juga berdosa.
Leya menatap puas-puas wajah kekasihnya itu. Kemudian senyum. Hafis turut senyum. Hati mereka berdegup, berdebar tidak menentu sekalipun sudah biasa bertemu. Inilah darah muda yang mengalir deras dek kerana cinta.
“Hanya itu saja yang abang inginkan dan tidak selebihnya?” Tanya Leya. Hafis tersipu malu. Dia melemparkan pandangannya jauh ke suatu sudut alam yang diliputi dengan keindahan kehijauan pepohon rendang dan adunan warna senja yang begitu mengharukan perasaan ketika mentari sudah mula menutup tirai siangnya.
“Leya... Bukan sekadar itu sebenarnya. Abang mahu berjanji, rasanya takut abang tak mampu menunaikannya. Manalah tahu kalau abang mati dulu. Sudah tentu janji tidak tertunai. Tapi apa yang ada dalam hati abang, abang mahu Leya jadi isteri abang dan kita akan hidup bahagia bersama anak-anak nanti.” Ujar Hafis, serentak itu dia menatap tepat kesudut mata Leya. Dari sudut mata Leya terpancar cahaya kegembiraan yang tidak terkira bila mendengar kata-kata Hafis.
“Leya faham, Leya pun tak mengharapkan itu semua. Takdir yang menentukan segalanya. Kita hanya merancang abang.” Sambut Leya manja dan sentiasa tersenyum.
“Leya tak takut kalau nanti kita berkahwin?”
“Apa yang nak Leya takutkan...”
“Yelah... Leya tak takut menanti indahnya malam pertama?”
“Alaaaa... abang ni ke situ pulak... abang gatal ye?” Tersipu-sipu malu Leya bila Hafis mengutarakan pertanyaan seperti itu. “ Abang...”
“Apa dia sayang?”
“Bila ada cinta, ada sayang maka ada kerelaan. Bukankah itu satu tanggungjawab Leya untuk membahagiakan abang.” Ujar Leya manja.
“Ye ke Leya?”
“Kenapa? Tak percaya?”
“Habis tak takut?”
“Abanggggg.....” Leya mencubit lengan Hafis. Terjerit kecil Hafis bila kena cubit. Kemudian tergelak kecil. Dia tahu Leya malu dengan apa yang telah dia katakan.
“Sudahlah tu abang, dah nak senja ni, jom kita balik. Hantar Leya, bang.” Leya mengalih bicaranya. Dia tidak mahu keterlaluan dalam pergaulan meskipun dia dan Hafis adalah sepasang kekasih. Bagi Leya sekalipun dia sayangkan dan cintakan Hafis tidak bermakna kesempatan itu boleh berlebih-lebih batas susila. Dia masih belum jadi hak Hafis sebenarnya. Batas pergaulan perlu dijaga supaya tidak akan adanya rasa bersalah dan dosa sekalipun pada suatu ketika nanti dia mungkin jadi pasangan suami isteri.
Hafis juga beranggapan seperti itu. Hafis lebih menghargai kejujuran, keikhlasan dan kesopanan ketika bersama Leya. Biarlah hati dan hati bercantum dan janganlah kerana hati itu bercantum kerana perasaan sayang hingga terlupa akan noda.
“Jom, marilah abang hantar Leya. Macam biasa.” Hafis tidak membantah apa yang Leya mahukan darinya.
SEWAKTU di rumah semasa makan malam bersama keluarga, Hafis memberitahu ayah dan ibunya tentang panggilan temuduga kerja yang diterimanya.
“Mudah-mudahan kau dapat kerja tu Hafis. Ringan sikit beban ayah kau tu.” Ujar ibunya.
“Saya tak mengharap Hafis membebankan diri kerana keluarga kita, maknya. Cukuplah sekadar dapat membantu adik-adiknya meneruskan pelajaran.” Sampuk Haji Seman.
“Pukul berapa kau nak ke bandar esok?” Ibu Hafis bertanya.
“Pagi mak...” beritahu Hafis.
“Temuduga pukul berapa abang?” Sampuk Ima adik Hafis yang sedang menuntut tingkatan tiga. Tahun ini adalah tahun baginya menguji kepintaran dalam pelajaran. PMR akan bermula hanya tinggal 10 bulan saja lagi.
“Abang temuduga pukul 11.00 pagi mengikut pada surat panggilan itulah. Tapi mungkin lewat kot kalau ramai yang bertemuduga.” Jelas Hafis pada adiknya.
“Sudah kau gosok pakaian kau Hafis?” Tanya ibunya. “Kalau belum biar mak gosokkan.”
“Sudah mak.”
“Kau ada tambang tak nanti nak ke bandar tu?” Haji Seman bertanya.
“Ada ayah. Duit upah saya membantu abang Salih masih ada lagi. Cukuplah untuk minum dan makan nanti.” Jelas Hafis.
“Nanti kalau abang dapat kerja jangan lupa tau belikan Ima kasut sekolah baru.” Sampuk Ima adik kedua Hafis. Hafis mengangguk.
“Idah juga nak bang...” Adik ketiga Hafis berusia 12 tahun turut meminta.
“Jangan lupa Ila bang... Ila nak juga..” Si kecil sekali dalam keluarga Hafis turut meminta. Hafis hanya mengangguk berkali-kali tanda setuju.
“Isssh!. Kau orang ni semua, kenapa minta sekarang. Abang Hafis kau baru nak temuduga tu. Belum kerja pun.” Celah Ibu Hafis.
“Temuduga tu apa abang?” Ila, si kecil molek berusia 7 tahun yang tidak tahu apa erti temuduga bertanya.
“Temuduga tu, abang kena jumpa orang yang nak ambil abang kerja, berkenalan dulu, kalau dia sukakan abang baru dia beri abang kerja. Bila dah kerja baru dapat gaji.” Jelas Hafis pada adik bongsunya.
“Oooo...” Terangguk-angguk kepala Ila memahami apa yang diterangkan oleh Hafis. Sekalipun dia kurang faham dia akur dengan keterangan Hafis. Konon-konon dia faham benar. “Abis ayah tak payah temuduga pun dah kerja?” Memang benar Ila belum mengerti tentang kehidupan. Sehingga apa yang dikatakan oleh Hafis dia belum dapat memahaminya.
“Ila, ayah kerja sendiri, tak ada orang bayar gaji.” Beritahu Hafis lagi.
“Tu yang tauke Aming bagi kat ayah duit banyak-banyak tu, bukan gaji ke?” Tanya Ila lagi.
“Itu bukan gaji sayang. Itu duit ayah jual kelapa sawit yang ayah ambik kat kebun kita tu.” Ima menyampuk.
“Ooo, cakaplah... Baru Ila faham.” Tersenyum kambing Ila ketika itu. Hafis turut tersenyum dengan gelagat adik-adiknya. Cuma Ida kurang bercakap. Dia lebih suka bersendirian dan pendiam orangnya. Namun begitu Ida pandai belajar.
MALAM itu hujan tiba-tiba saja mencurah-curah lebatnya. Sejak petang kedengaran guruh di langit telah berdentum. Mujurlah kampung Hafis penduduknya telah menggunakan paip air. Air tidak perlu lagi ditimba, air telah pun masuk terus ke dalam rumah dan hanya perlu diputar penguncinya, maka keluarlah mencurah air dari batang paip. Hanya penduduk kampung perlu membayar bilnya saja. Maka, tidaklah lagi kalau saja mendengar guruh di langit, maka air ditempayan dicurahkan. Cuma kadang kala hujan yang mencurah tidak berhenti itu, menjadikan kebimbangan penduduk kampung tentang berlakunya banjir kilat. Ini semua berlaku akibat daripada sistem perparitan yang tidak teratur lagi dan tersumbat dek kerana adanya projek pembangunan kilang di hujung kampung sedang dibina. Katanya kalau siap kilang-kilang itu, maka peluang pekerjaan akan menyenangkan penduduk kampung itu juga.
Tetapi peringkat pembinaan inilah yang kadang kala menjejaskan keharmonian penduduk kampung akibat banjir kilat dan berlakunya kerosakan jalan tar yang berlubang sana berlubang sini disebabkan bebanan lori hantu yang membawa tanah dan batu keluar masuk dari simpang hingga ke hujung kampung. Akibatnya berlaku kemalangan yang mengakibatkan kenderaan seperti motosikal bila terlanggar dengan lubang yang tidak diturap lagi. Ada yang tertonggeng dan ada pula yang terjerumus masuk ke longkang tepi jalan bila malam hujan lebat, mereka tidak dapat melihat lubang yang ditutup dengan air dan berlopak itu.
Rungutan orang kampung sudah berkali-kali diadukan oleh Tok Penghulu kepada wakil rakyat, namun masih belum ada jalan penyelesaian yang dapat dilakukan. Cuma alasan yang menjelaskan tentang permasalahan itu hanya sementara waktu selagi belum siapnya projek pembinaan kilang di hujung kampung.
Hafis yang sejak pukul 9.00 malam terlentang baring di katil biliknya masih belum mampu melelapkan mata sekalipun kedinginan angin yang bertiup sepoi sesekali menembusi masuk dari lubang-lubang tingkap menyinggah ke tubuh Hafis yang tidak berbaju.
Fikiran Hafis jauh menerawang ke suatu daerah ilusi yang membayangkan tentang masa depannya. Dia inginkan apa yang sedang dia khayalkan ketika itu. Hatinya benar-benar bahagia kalau dia berjaya membina satu kebahagian hidup keluarganya nanti. Malam yang perlahan-lahan berlalu mengikut detik waktu dapat melenyapkan khayalan Hafis bila matanya terpejam lena.
No comments:
Post a Comment