KUALA LUMPUR:
Raja Pop Malaysia, Datuk Jamal Abdillah
atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Ali, 57, berkata beliau tidak akan
menolak peluang untuk menjadi calon bertanding semasa pilihan raya,
jika diberi peluang.
Bagaimanapun, katanya, buat masa ini beliau tidak ada kecenderungan ke arah menceburi bidang politik.
"Itu terpulang kepada kepimpinan kita, kalau kepimpinan politik kita
rasa itu yang terbaik, rasanya tak mustahil. Saya suka mengikuti
perkembangan politik semasa," katanya kepada Bernama TV selepas menjadi
tetamu dalam rancangan Ruang Bicara melalui saluran Astro 502 di sini.
"...Saya suka baca isu politik tapi saya bagi komen dari segi
kemanusiaanlah, kadang-kadang dalam itu suka bertengkar, suka tuding
jari pada yang lain, kita daripada bidang yang lain, kita melihatkan
diri kita ini seperti manusia biasa," katanya.
Turut serta dalam program itu ialah Pengerusi Bernama Datuk Azman Ujang bersama pengacara ialah Datuk Dahlan Maamor.
Menyentuh penglibatannya semasa pilihan raya negeri Sarawak, Jamal
berkata beliau terlibat dalam persembahan pentas sepanjang kempen
pilihan raya di beberapa lokasi, antaranya di Limbang, Lawas dan
Kuching.
Tambahnya beliau juga akan menyampaikan beberapa buah
lagu dalam bahasa Iban untuk memenuhi permintaan penduduk di kawasan
tertentu.
"Saya nyanyi lagu dalam bahasa Iban sekali sebab di
sana ramai orang Iban jadi saya cuba penuhi permintaan mereka di sana,"
katanya.
Ditanya mengenai artis tempatan yang beliau kagumi,
Jamal menyenaraikan Datuk Siti Nurhaliza, Yuna dan Shila Amzah, kerana
menurutnya, mereka telah berjaya menonjolkan lagu masing-masing ke
peringkat antarabangsa.
Jamal juga berkata walaupun bertuah
kerana dianugerahi bakat dan suara yang menjadikan beliau diminati
ramai, pengetahuan mengenai penjagaan suara dan imej adalah penting
dalam kerjaya beliau.
Mengulas lanjut mengenai anaknya, Osama Yamani, 15, yang semakin
mengikuti jejak langkahnya dalam bidang seni, Jamal berkata beliau tidak
mengesan bakat anaknya itu sehinggalah beliau melihat video yang dimuat
naik oleh sekolah anaknya di YouTube.
"Saya nampak dia meminati
bapanya sampai dia ikut semua cara menyanyi. Dia main alat muzik di
sekolah seni yang dia belajar sekarang di Johor Baharu. Tapi saya tetap
nasihatkan pentingkan pelajaran selain muzik.
"Memang saya
nampak banyak perubahan, dia dah boleh baca skor, main instrumen, tapi
saya tetap ingatkan kemahiran penting, jadi cari kemahiran di samping
akademik yang jitu," katanya yang pernah berlakon enam filem sepanjang
kerjaya seni seperti 'Azura' dan 'Ghazal untuk Rabiah'.
petikan dari: Bernama April 14, 2016 00:23 MYT
No comments:
Post a Comment